Novel: 100 Hari Mengenal Cinta (Bab 6)

2.1K 51 0
                                        

BAB 6

AIRINA pandang kalendar di depannya. Ah diam-diam tinggal lagi seminggu sahaja sebelum dirinya sah menjadi isteri orang! Dada Airina berdebar-debar menantikan hari itu. Debaran itu bukannya muncul kerana perasaan teruja ataupun takut. Sebaliknya Airina mula mempertimbangkan baik buruknya keputusannya itu.

Entah kenapa kebelakangan ini Airina selalu meragui keputusan yang dibuatnya. Wajarkah dia meneruskan perkahwinan ini hanya kerana restu Halim dan Salbiah? Adakah dia akan dianggap berlaku kejam pada Harris? Adakah Halim dan Salbiah akan masih menyayanginya sekiranya dia berubah fikiran di saat akhir? Bagaimana pula dengan perasaan Norli dan Zainal? Ataupun adakah ini yang dinamakan marriage blues?

"Tapi semua ni berpunca daripada aku jugak. Kalaulah awal-awal lagi aku dah reject Harris..." Airina menyalahkan dirinya sendiri pula.

Airina melepaskan keluhan beratnya. Malas mahu melayan perasaannya yang asyik berbolak-balik, Airina mengatur kakinya menuju ke bilik Syida. Pintu diketuk berkali-kali sebelum Airina menolak daun pintu. Katil Syida menjadi destinasinya.

"Kenapa akak masuk bilik Syida ni?" tanya Syida kasar.

Tegak tubuh Airina mendengarkan nada kasar itu. "Saja je. Next week kan akak dah kahwin, nanti akak tak boleh manja-manja dengan Syida lagi.." jawab Airina.

Perkataan 'kahwin' itu berjaya mengundang cemihan Syida. Hatinya seolah terbakar mendengar perkataan itu.

"Kenapa Syida bad mood ni? Syida gaduh dengan boyfriend ke?" tanya Airina lembut. Syida diam sesaat sebelum dia mengangguk.

Mulalah Airina tersenyum meleret. Adiknya yang satu ini selalu sahaja mempunyai masalah dengan kekasihnya. Airina sendiri tidak tahu teman lelaki mana yang dimaksudkan Syida lantaran adiknya itu gemar bertukar pasangan seolah-olah mengganti baju.

"Biasalah, Syida. Suami isteri pun boleh bergaduh, inikan pulak orang yang bercinta. Bincanglah elok-elok dengan dia.." Airina cuba memberi nasihat kepada Syida setakat yang termampu.

Syida pandang Airina dengan pandangan yang sukar ditafsir Airina. Lama matanya tertumpu pada Airina sebelum Syida melontarkan soalannya.

"Macam mana kalau dia ada perempuan lain, kak?"

Soalan itu mengingatkan Airina pada Atikah pula. Sekarang ni memang wajib ada orang ketiga eh dalam relationship? Hati Airina melontarkan soalan itu. Airina pandang Syida semula untuk memberi nasihat kepadanya sebagaimana dia menasihati Atikah sebelum ini.

"Syida tanyalah diri Syida balik. Syida rasa perasaan dia pada Syida ikhlas tak?"

Lambat-lambat Syida mengangguk. Sudah tiga tahun dia mengenali lelaki itu, pelbagai usaha yang dilakukannya untuk meraih cinta Syida. Sewaktu Syida bercinta dengan lelaki lain pun, lelaki itu tetap jua memburu cintanya. Baru kini hati Syida terbuka untuknya dan Syida yakin, dia benar-benar mencintai lelaki itu. Dan Syida juga yakin, lelaki itu benar-benar mencintainya.

"Kalau macam tu, janganlah biarkan orang lain kacau relationship korang. Syida kena percayakan dia. Kalau dia betul-betul sayangkan Syida, mustahil dia akan ada perempuan lain. Betul tak?" Lembut sahaja Airina memberi nasihat kepada Syida.

"Tapi kalau dia sengaja approach perempuan lain untuk jealouskan Syida?"

Tawa Airina meletus.

"That's so lame, Syida. Dia buat macam tu ke?" Airina bertanya semula. Sungguh, dia tidak menyangka cara itu masih diguna pakai di zaman milenium ini. Airina pandang Syida yang menggeleng lambat-lambat.

Syida tersenyum pahit.

"Thanks kak. Syida mintak maaf jugak," ucap Syida perlahan. Tahu-tahu sahaja air mata sudah bertakung di matanya. Syida tundukkan kepalanya.

"Mintak maaf kenapa pulak ni?"

"Untuk everything," jawab Syida. Tangisannya semakin menjadi-jadi. Airina yang tidak memahami apa-apa mula menarik Syida ke dalam pelukannya. Fikirnya, emosi Syida tidak stabil saat ini. Airina menepuk lembut belakang Syida untuk memujuknya.

Syida mintak maaf, kak... ucap Syida lagi di dalam hatinya. 


PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.  

100 Hari Mengenal Cinta [TERBIT - PENULISAN2U]Cerita yang bikin terobses. Temukan sekarang