6: Pemerintahan Pembesar

1.2K 106 1
                                    

Tun Talib lekas-lekas menyuruh orang-orang laut memunggah barangan daripada kapal besar. Untung sungguh nasibnya, banyak barangan dari negeri luar di dalam kapal besar itu. Separuh untuk simpanannya, manakala separuh lagi untuk Tuanku Sultan.

Mujurlah Tuanku Sultan itu mempunyai penyakit misteri. Oleh sebab itu, Tuanku Sultan tidak pernah turun melawati kawasan pelabuhan yang berada di bawah kuasanya.

Pelabuhan di negeri ini sangat kecil jika dibandingkan dengan pelabuhan negeri Melaka. Akan tetapi, terdapat beberapa kapal yang singgah juga di situ bagi menurunkan beberapa barangan yang memberat di dalam kapal sebelum meneruskan perjalanan di Laut Cina Selatan. Antara barangan itu ialah, kain-kain sutera daripada China, rempah ratus daripada Goa dan Siam serta beberapa barangan logam. Pelayar laut menurunkan barangan itu dan meminta ganti bekalan makanan untuk mereka meneruskan perjalanan di lautan luas.

"Bagus-bagus, simpankan untuk patik semuanya." Tun Talib mengosok-gosok kedua tapak tangannya sambil ketawa dengan senang hati.

"Tun, ada lawatan dari Tun bendahara." beritahu salah seorang pengawalnya. Wajah Tun Talib yang tadinya tersenyum panjang terus berubah riak tidak puas hati.

Tun Abu Jabaar perlahan-lahan berjalan menuju ke hujung pelabuhan di mana tempat Tun Talib sedang berdiri. Kedua tangannya disilang ke belakang.

Tun Talib menyimpan cebik di wajahnya. Halkumnya bergerak menelan debar di dada.

"Hahahaa ... Jauh sungguh perjalanan Tun bendahara hingga ke hujung pelabuhan patik ini." kata Tun Talib.

Tun Abu Jabaar kini telah berhenti dan berdiri bersebelahan dengannya.

"Hahahaa ... Patik hanya ingin melihat kemajuan kawasan pelabuhan. Patik dengar terdapat rampasan besar dari orang laut kita ke atas kapal daripada Goa." balas Tun Abu Jabaar sambil mengusap-usap janggut panjangnya dengan penuh makna.

"Be-benar. Inilah kapal daripada Goa itu, tetapi sayang, barangannya tidaklah sebanyak mana untuk dirampas." kata Tun Talib. Kedua tangannya digesakan sesama sendiri. Matanya tidak memandang tepat kepada Tun Abu Jabaar.

Tun Abu Jabaar menoleh pandang ke arah Tun Talib. Dilihatnya lama dari bawah ke atas. Tun Talib menelan liurnya berkali-kali.

"Patik mahu bahagian Tun pembesar sebanyak satu per dua harta itu." pinta Tun Abu Jabaar.

Tun Talib terpinga-pinga. Perkara yang dia jangkakan benar-benar terjadi.

"Ta-tapi, rampasannya tidak banyak, hanya barangan seramik sahaja." beritahu Tun Talib. Perasaan tamak haloba mula menyelinap ke hatinya.

"Jangan cuba-cuba hendak membelot kepada patik. Apa Tun pembesar sudah lupa akan jawatan patik ini? Adakah tun pembesar sudah tidak mahu menjadi pembesar lagi di pelabuhan ini?" tegas Tun Abu Jabaar berbaur ugutan keras.

Tun Talib bertunduk. Tersilap langkah dari perancangan Tun Abu Jabaar, pasti dia akan mati dibunuh seperti Tuanku Permaisuri dan lainnya.

"Ba-baik, akan patik bahagikannya." Tun Talib mengalah akhirnya. Saat ini, biarlah terpisah jiwa daripada harta, daripada terpisah nyawa daripada jasad.

❇❇❇

"Tuan Muda, apakah khabar Tuanku Sultan?" tanya seorang wanita tua bertongkat yang sedang dipimpin oleh cucu lelakinya. Suasana di pasar itu agak hingar bingar di sana sini.

Pasar tamu rakyat itu cukup meriah suasananya. Rakyat jelata turun ke pasar itu untuk mencari rezeki. Dijual sayur-sayuran dan buah-buahan berlonggok di atas tikar jerami. Ada juga yang menambat binatang ternaknya yang hendak dijual. Bersahut-sahutan suara tawar-manawar, cuba menarik perhatian pembeli yang lalu lalang.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now