13: Cita-Cita Tengku Mahkota

901 92 0
                                    

Sepurnama selepas kemangkatan Salam, Tengku Afkar membuat keputusan mendadak! Dia ingin kembali semula ke Istana Bukit Naura.

"Ayahanda tidak benarkan! Bukankah tempoh pembelajaran anakanda sudah habis di sana. Lagipula, siapa yang akan mengajari anakanda di sana?" tegas Tuanku Sultan.

Dia berpaling dari memandang wajah anakandanya itu. Dadanya sebak dan sesak mengenangkan kemangkatan mengejut Salam. Ini ditambah lagi dengan kedegilan tengku mahkotanya ini.

"Anakanda tidak peduli. Anakanda tidak suka cara pengajaran di sini. Sungguh membosankan!" Tengku Afkar paling benci kepada guru tuanya sekarang. Hanya mengajari hal undang-undang yang telah ditentukan.

"Ayahanda telah memilih tok guru paling terbaik. Tun Bendahara sendiri yang memilih lantikan itu. Apa lagi yang anakanda tidak puas hati?" tanya Tuanku Sultan. Tiba-tiba, sakit di hulunya terasa semakin menyengat.

"Mereka adalah orang-orang yang memperbodohkan kerabat. Mengapa ayahanda sudi menjadi boneka raja kawalan mereka?" balas Tengku Afkar.

Berderau terus darah Tuanku Sultan mendengarkan perkataan itu. Tanpa dia
sengaja, tangannya menghampiri pipi kanan Tengku Afkar dengan laju! Pakk!

"Apa yang anakanda cuba katakan ini? Boneka raja? Ayahanda telah berusaha memerintah dengan cara ayahanda! Dengan penyakit ayahanda, menghalangi pelbagai tugasan. Dan mereka ialah orang-orang yang telah banyak membantu kala kesusahan ayahanda!" tegas Tuanku Sultan. Sungguh dia begitu murka dengan kelancangan bicara Tengku Mahkota ini.

Tengku Afkar terkedu! Rasa perit di pipinya tidaklah sesakit mana seperti yang dirasakan di relung hatinya saat ini. Ayahanda sudah angkat tangan kepadanya. Bertambah sakit hatinya.

"Ayahanda tidak pernah bersikap adil! Kematian-kematian yang lalu langsung tiada pengajaran buat ayahanda. Kesemua mereka mangkat kerana pembunuh dan pembelot yang ayahanda pelihara. Dan suatu hari kelak, anakanda akan buktikan yang firasat anakanda ini benar." tegas Tengku Afkar dan terus berlalu dari balairong Tuanku Sultan.

Tuanku Sultan menghela nafas berat. Tidak ada yang mungkin salah apa yang dikata oleh Tegku Afkar itu. Tetapi dia takut untuk menegakan keadilannya. Takut akan kenyataan yang mungkin sukar diterima olehnya kelak! Seperti suatu ketika dahulu saat dia menjatuhkan hukuman kepada Salam.

...

Setelah lebih empat jam perjalanan dari Istana Kota ke Istana Bukit Naura, Tengku Afkar singgah sebentar di makam Tun Sallahuddin yang berada di puncak bukit.

"Ampunkan beta, tok guru. Beta masih lemah dan tidak dapat melindungi tok guru. Sama seperti dulu. Beta sungguh lemah kerana tidak dapat melindungi kekanda Anggerik dan bonda. Kali ini, beta akan terus berlatih lagi. Demi melindungi rakyat jelata beta pada masa akan datang. Kuasa mutlak ayahanda telah lemah, dan beta akan kukuhkannya semula kelak. Beta akan menghukum kesemua pembelot yang bertopeng itu." ucap Tengku Afkar. Dia kemudiannya berlalu selepas menyirami air ke atas pusara Salam.

Tengku Afkar memandang ke bawah bukit. Pemerintahan ayahandanya tidaklah begitu luas seperti kerajaan Melaka dan Siam. Namun keadaan pemerintahan itu kini bertambah merosot. Rakyat miskin mula merasa kesengsaraan dengan pelbagai cukai dari pembesar-pembesar.

Tengku Afkar mengeluh lagi. Semua ini masih di luar bidang kuasanya. Walaupun dirinya seorang kerabat dan adalah Tengku Mahkota, namun kuasa pemerintahan dan undang-undang tidak tertakluk kepadanya.

Dia perlukan lagi lima tahun sebelum layak menaiki takhta! Dan dalam masa lima tahun ini, dia telah berjanji untuk berlatih serta belajar hal-hal pemerintahan dengan lebih bersungguh-sungguh!

"Wahai rakyatku, bersabar dan bertahanlah. Kelak di suatu masa, beta akan janjikan perubahan dan keamanan." desis hati Tengku Afkar.

❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁

* Lima Tahun Kemudian

"Cik Muda, ini sahaja kertas yang patik perolehi dari penjual." kata Umar. Awang pengawal Tun Haseen.

Tun Haseen mengambil kertas yang dihulurkan itu. Hanya terdapat lima helai. Sedangkan kanak-kanak pasar yang sedang belajar ada lebih dari sepuluh orang.

Tun Haseen mengeluh sendiri. Kertas-kertas bekas kerajaan juga telah penuh tulisannya. Bagaimana pelajaran hari ini? Sedangkan dia telah berjanji akan mengajarkan tulisan jawi hari ini.

"Umar, di tempat saudagar luar, telah Umar tanyakan hal kertasnya?" tanya Tun Haseen.

"Sudah, Cik Muda ... Mereka juga kekurangan bekalan kertas." jawab Umar.

Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, entah mengapa rasanya penjualan kertas sangatlah terhad. Bukan sahaja dari penjual dalaman, malah saudagar dari jauh juga tidak membawa bekalan kertas! Tun Haseen berasa sedikit curiga akan pemerintahan Tuanku Sultan kini.

Jika dahulu, rakyat jelata dibenarkan berhubung dengan Tuanku Sultan melalui utusan. Namun kini, bagaimana rakyat hendak mengutuskan sesuatu sedangkan bekalan kertas telah semakin berkurang?

"Umar, nanti tolong patik sediakan air. Kertas-kertas yang lama ini akan kita cuci sebelum digunakan lagi." Kata Tun Haseen.

"Tapi Cik Muda, kertas ini telah kita cuci beberapa kali. Dan uratnya juga telah timbul. Kesan dari dakwat pena juga semakin sukar untuk pudar, Cik Muda," balas Umar.

Tun Haseen mengeluh.

Kertas tebal yang diperbuat daripada kulit kayu itu telah semakin tipis setelah dicucikan berkali-kali. Dan benar kata Umar, kesan dakwatnya juga sukar untuk pudar. Tetapi apakan daya? Hanya itu saja pilihan yang tinggal. Tugasnya selaku pengajar kanak-kanak perlu dia lakukan dengan penuh tanggungjawab!

'Patik perlu bertemu Tuanku dan menyatakan hal ini. Rakyat juga semakin menderita selepas beberapa cukai dinaikkan lagi setiap tahun!' desis hati Tun Haseen.

...

Usai memberikan pengajaran percuma kepada anak-anak pasar, Tun Haseen singgah sebentar di kedai penjual kertas.

"Tuan saudagar, patik ingin membeli kertas mahal." sapa Tun Haseen. Tidak lama selepas itu Tuan pemilik kedai muncul bersama satu lagi pelanggannya.

Tun Abu Jabaar memandang gadis di hadapannya dari atas ke bawah. Senyum gatal terukir di bibirnya.

Tun Haseen yang tidak selesa akan pandangn itu segera menundukkan kepalanya, memandangkan dia tahu 'siapa' di hadapannya ini.

"Ya, Cik Muda inginkan kertas yang bagaimana?" tanya Tuan saudagar kertas itu.

"Ke-kertas yang biasa yang berkualiti," jawab Tun Haseen takut-takut.

"Baik." balas tuan saudagar kertas pula.

"Berikan gadis ini kertas yang termahal itu. Patik dengar dia mahukan jenis berkualiti. Berikan seberapa mana yang dia mahu, patik akan bayarkan sekali." ucap Tun Abu Jabaar.

Tun Haseen tersentak! Dan tuan saudagar kertas sekadar mengangguk dan berlalu mendapatkan kertas.

"Ampunkan patik, tetapi patik tidak mahu berhutang apa-apa kepada tuan hamba, biar patik sahaja membayarkannya," ujar Tun Haseen.

"Patik sedang ikhlas memberikan ihsan. Janganlah segan untuk menerima budi. Manalah tahu kelak cik gadis boleh membantu patik pula ..." kata Tun Abu Jabaar dengan nada lembut lidah berbicara.

Tun Haseen sudah merasa tidak keruan dalam hatinya. Dia berharap inilah kali terakhir dia bertemu lelaki itu!

"Cik Muda, maaflah, kertas yang berkualiti itu telah habis dibeli oleh anak muda yang tadi pagi, hanya ada-"

"Tak mengapa, terima kasih tuan saudagar. Terima kasih tuan hamba,"

Belum sempat saudagar kertas menghabiskan ayatnya, Tun Haseen segera memintas dan bergegas lalu dari kedai itu. Dia mempercepatkan langkah kakinya.

Tun Abu Jabaar sekadar tersenyum sumbing memerhatikan gadis yang baru berlalu itu. Cantik. Bisik hatinya.

❁❈ Bersambung ❈❁

Terima Kasih. Komen. Vote.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now