40: Tempoh

631 72 1
                                    

Tengku Afkar berjalan mendekati dayang Nurin yang sedang duduk di bawah tangga di belakang istananya. Gadis itu dilihatnya sedang teresak-esak sambil menyeka air mata. Sekarang baru dia mengerti mengapa selama ini gadis itu seperti orang yang ketakutan. Rupa-rupanya jalan hidup gadis ini juga amatlah kasihan sehingga menyebabkannya menjadi gaguk teruk.

Tengku Afkar menarik nafas dalam. Sepatu yang dipilihnya di pasar pagi tadi, dihulurkan kepada gadis itu.

"Nah, sepatu baru untuk dayang. Sudah-sudahlah mengenangkan perkara lalu ... biarkan ia jadi pengajaran, jalani saja kehidupan sekarang bersama semangat yang baru." ucapnya.

Nurin lekas-lekas menyeka air mata kerana tidak mahu terlihat lebih buruk di hadapan Tengku mahkota. Sepatu berwarna hijau itu diperhatikan lama tanpa sebarang reaksi. Ingin sahaja dicapai, tetapi cepat-cepat tangannya disembunyikan.

"Mengapa? Adakah sepatu ini tidak sesuai dengan citarasa dayang?" tanya Tengku Afkar apabila melihat dayang ragu-ragu untuk menyentuh sepatu itu.

"Bu-bukan .., a-ampunkan hamba. Ha-hamba su-suka se-sepatu ini, te-tapi hamba ti-tidak layak me-menerimanya ... ha-hamba hanya-lah orang ba-wahan, tuan-ku," jelas Nurin. Bukan dia tidak sudi, tetapi dia tidak mahu tersalah akan kebaikan Tengku mahkota terhadapnya. Kelak dia juga yang akan merana hati.

"Hmm, apakah dayang sudi dihukum sekiranya menolak pemberian beta?" tanya Tengku Afkar dengan nada yang serius.

Dayang Nurin tergamam. Cepat-cepat kepalanya digelengkan.

Tengku Afkar tersenyum puas hati.

"Kalau mahu dihukum katakan sahaja .., sejak pulang dari Istana Bukit Naura, beta belum pernah lagi menghantar sesiapa ke rumah pasung,"

Dayang Nurin terdiam lagi. Sepatu yang dihulurkan mula dicapai dan dimuatkan ke kakinya. Memang cantik sekali sepatu pilihan Tengku mahkota itu. Sungguh dia rasa terharu dapat memakainya.

"Cantik, bukan?"

Dayang Nurin sekadar mengangguk sambil tersenyum.

"Jikalau suka katakan suka .., tak usahlah berdalih tidak sudi menerima pemberian beta." pesan Tengku Afkar lantas berlalu meninggalkan gadis itu sendirian.

Dayang Nurin masih berdiam di tempatnya. Tangannya mengenggam hujung baju kurung yang dipakai. Kelibat Tengku mahkota yang berlalu pergi ditatap lama.

Ambilah rotan buatkan raga,
    Raga dipunggah di atas perahu,
Dalaman laut boleh diduga,
    Dalaman hati tiada siapa tahu.

Tanpa mereka sedari, ada mata yang telah menyaksikan mereka berdua sejak tadi. Si pemerhati itu lekas-lekas menghilangkan diri di dalam penyamarannya apabila pandangan gadis itu berkalih ke arah tempatnya berada.

❇❇❇

"Minum, tuanku," cawan yang berisi air bancuhan teh dihulurkan kepada Tuanku sultan.

Tuanku Sultan berdehem dan menyambut jua huluran itu. Akan tetapi air itu tidak terus diteguk. Cawan itu lantas diletakan di atas meja kecil di sebelah kanan singgahsana.

Permaisuri Tun Seri Jasmin terkilan melihat air yang diberikan itu tidak terus diteguk oleh Tuanku Sultan. Hatinya tiba-tiba jadi membara.

"Sebelum hari perkahwinan Tengku Mahkota diadakan, beta ada satu perkara yang perlu diselesaikan." titah Tuanku Sultan di hadapan kedua-dua isterinya itu. Kedengarannya seperti perkara yang begitu besar sekali.

Wajah Permaisuri Tun Seri Jasmin dan Tun Seri Dahlia dipandang silih berganti. Terasa bebanan yang berat sudah ditanggung begitu lama dan ingin diselesaikan segera, akan tetapi dihatinya masih ada rasa kasihan.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now