"Ampunkan patik!"
Rayu seorang wanita. Dia sudah tidak peduli akan darjatnya. Apa yang penting sekarang ialah, dia perlu merayu agar dapat terus hidup. Sebilah cemeti dengan rotan yang panjang, laju menghempas kulit dengan kuat. Kesakitan yang dirasakan semakin hari semakin kuat.
Pap! Untuk kesekian kalinya kulitnya lumat hancur dibilah tali cemeti.
"Tidak!"
Tun Seri Dahlia pantas bangun dari lenanya. Peluh dingin yang membasahi wajahnya disapu lembut. Turun naik dadanya semakin kencang. Entah mengapa mimpi seperti itu menjadi rutin tidurnya. Hampir setiap malam dia terjaga dihening malam kelam kerana ketakutan daripada mimpi tersebut.
Wajah wanita yang diseksa itu juga tidak jelas. Sepertinya tubuh wanita muda. Entah apa kesalahannya sehingga diseksa sedemikian.
"Ampun tuanku," kedengaran suara salah seorang pengawal istana menyapa seseorang di luar. Pastinya tuanku sultan. Tun Seri Dahlia tersenyum lega. Benar tekaannya, sejurus saja pintu kamarnya dibuka, wajah tuanku sultan terpancul.
"Seri Dahlia ... adakah beta menganggu lena adinda?" tanya tuanku sultan.
Tun Seri Dahlia mengeleng lembut. Wajah kerisauan tuanku sultan jelas terpancar.
"Tidak sama sekali tuanku, patik sudah terjaga sejak tadi."
Lega hati tuanku sultan mendengarnya. Mata isterinya itu kemudian, ditatap lama.
"Adakah Seri Dahlia sudah bersiap untuk malam ini?" lembut nada tuanku sultan bertanya.
Tun Seri Dahlia sekadar tersenyum. Walau apapun terjadi, malam ini dia harus kuat. Dia lantas bangun mempersiapkan dirinya. Usai bersiap dalam beberapa minit, kamarnya ditinggalkan.
Mujur Tengku Adwan sudah biasa tidur di kamarnya sendiri. Mudahlah bagi tuanku sultan membawa Tun Seri Dahlia keluar mencari penawar pada malam hari.
***
Tok-tok-tok!
"Sampai bila beta harus dikurung di dalam bilik ini?"
Jerit pekik wanita itu tidak diendahkan sama sekali. Tangannya ralit menaburi abu-abu yang berbisa ke atas bara sambil mulut terkumat-kamit membaca mantera hitamnya.
"Abu putih, abu hitam,
kuseru namamu dalam kelam;
Bawakan daku kuasa alam,
Agar bisa aku tentukan siapa Tuhan."Semakin lama, semakin kuat jeritan mantera itu. Permaisuri Tun Seri Jasmin yang terkurung di dalam sebuah kamar gelap berhenti dari menjerit dan mengetuk dinding.
Suasana sekitarnya mulai berubah. Asap hitam berkepul-kepul masuk melalui celah pintu. Bunyi-bunyian unggas daripada hutan juga turut berdecit bingit di tengah malam rimba.
"Nek Piah, nek Piah, nek Piah!" jerit Permaisuri Tun Seri Jasmin.
Terasa dadanya mulai sesak dengan asap yang masuk ke rongga hidungnya. Permaisuri Tun Seri Jasmin berbatuk-batuk kesesakan dada. Perlahan-lahan pandangannya berbalam-balam. Sebelum matanya tertutup rapat, anak mata Permaisuri Tun Seri Jasmin sempat menangkap sepasang mata berwarna merah padma.
"Urgh!" mata Nek Piah terbeliak.
Tiba-tiba dada wanita tua yang sedang berdiri menyembah asap hitam itu terasa sakit. Seperti ada lembing yang terhunus tepat ke jantungnya. Serta merta pegangannya kepada asap hitam itu terlepas.
"Urgh! Ssa ... kit," rintih wanita tua itu.
Permaisuri Tun Seri Jasmin turut segera tersedar. Dia lantas bangun. Pintu yang tadinya terkunci, dengan mudah terbuka. Dilihatnya tubuh wanita tua itu rebah ke lantai. Tanpa sekelumit perasaan, terus sahaja Permaisuri Tun Seri Jasmin meningalkan wanita tidak bernyawa itu.
***
"Bagaimana?"
Tuanku Sultan dan Tun Seri Dahlia berpandangan sesama sendiri. Apa yang pasangan itu dengar daripada lelaki tua ini amatlah mengejutkan.
"Tetapi mengapa?" tanya Tun Seri Dahlia.
"Rasanya, tuanku tahu akan sebabnya ..." kata lelaki tua yang berjanggut putih itu.
Semenjak Tun Seri Dahlia terkena penyakit misteri, tuanku sultan sedaya upaya mendapatkan pengamal ilmu perubatan. Pak Rajab, ialah bekas tok dukun di Istana. Oleh kerana usianya telah semakin tua, dia memilih untuk bersara dari meneruskan khidmatnya kepada keluarga tuanku sultan.
"Takhta ..." sepatah perkataan terkeluar dari bibir tuanku sultan.
"Apa?" Tun Seri Dahlia agak terkejut mendengarnya. Sangkanya setelah kemangkatan almarhum tuanku permaisuri terdahulu, dia tidak akan mendengar lagi berkenaan konspirasi ini.
"Benar, patik jangkakan ... ada diantara pembesar yang sama-sama hendak memilikinya," ulas Pak Rajab dengan tenang.
Tun Seri Dahlia bertunduk. Air mata yang bertakung tumpah ke pipi. Sungguh dia tidak menyangkakan hal ini turut terjadi kepadanya. Entah apa yang Permaisuri Tun Seri Jasmin mahukan lagi setelah membunuh almarhum tuanku Tun Seri Kadziyah?
"Seri Dahlia," tuanku sultan menggengam tangan isterinya. Dia dapat rasakan perasaan wanita ini.
"Tuanku, patik nasihatkan agar tuanku tidak harus mempercayai kata tuanku permaisuri bulat-bulat. Patik yakin, disebalik keberaniannya ini, pasti ada kekuatan orang lain disekelilingnya." ujar Pak Rajab lagi.
Tuanku sultan mengangguk bersetuju. Walaupun telah lama dia mengesyakinya, namun kekuatannya tiada untuk melawan dek kerana racun yang telah meresap ke tubuhnya. Namun kali ini, dia tidak mahu mengalah lagi.
"Mulai esok, beta akan segera membuat hukuman ke atas Seri Jasmin. Takhta permaisuri tidak layak lagi untuknya." titah tuanku sultan.
***
"Ish ... apa yang bising-bising ni?" Dayang Ina tiba-tiba terjaga dari lena.
Bunyi unggas hutan semakin kuat kedengaran dari kamar inapnya. Nurin yang berbaring di sebelahnya sudah bangun dan duduk bersila.
"Ada apa malam ini, Nurin?" tanya Dayang Ina.
Nurin sekadar menjongket bahu. Dia turut terjaga setelah terdengar bunyi-bunyi yang semakin membingit itu.
***
"Awang Wadi, apa yang berlaku ini?" soal Tengku Afkar. Peradunnya terganggu dek kerana bunyi bising yang sama.
"Ampun tuanku, patik juga runsing mendengarnya." balas Awang Wadi.
Tengku Afkar lantas memberanikan diri untuk keluar dari kamar peraduannya. Sebilah keris panjang disisip ke pinggang. Belum sempat tangannya membuka pintu, bunyi-bunyian itu segera berhenti. Suasana kembali sunyi.
Tengku Afkar berpandangan dengan Awang Wadi. Dahinya berkerut-kerut. Perasaan asing mula terbit di tangkai hati.
"Be-berhenti," tutur Awang Wadi perlahan. Suasana yang kembali sediakala itu lebih menakutkan padanya. Tidak tahu apa yang akan yang terjadi lagi selepas ini.
***
"Ayah, bunyi apakah sebentar tadi itu?" tanya Tun Haseen kepada Tun Abdul Rasyid.
Kedua beranak itu duduk bersila di ruang tamu, ditemani oleh Umar dan Tok Nek. Bunyi unggas yang membingit itu turut mengejutkan seisi kota di negeri itu.
Masing-masing rakyat dan penghuni Istana terjaga dari lena mereka tengah malam itu. Tuanku Sultan dan Tun Seri Dahlia juga turut terkejut mendengarnya daripada rumah Pak Rajab.
Di suatu tempat yang tinggi, wanita yang berpakaian gelap mula tersenyum sinis memandang kota di Istana. Niatnya bersatu dengan jasad. Bau-bauan segar masuk melalui rongga hidungnya.
Bersambung ...
Arr, entahlah ... Jadikah seram? Hahah.
Warning :
Mantera rekaan semata-mata. Jangan diseru pula. Hahah.15 April 2018 , 17:08
YOU ARE READING
Cinta Sang Putera
Historical Fiction❁❈#1 in Historical Fiction❈❁ ❁❈ Covers Thanks To Friends and Readers ❈❁ ❁❈ Puisi : Cinta Sang Putera ❈❁ Ada cerita lama terkisah, Kisah bermula dari istana, Hampa datang bersama gelisah, Kisah duka putera dan cinta. Raja adil disanjung rakyat, Rakya...