15: Luahan Rakyat

770 86 1
                                    

Tengku Afkar merenung tidak puas hati kepada gadis yang sedang menghentikan perbuatannya itu. Baginya lelaki itu perlu dihukum agar tidak membuat kesalahan yang sama lagi.

"Lepaskan sahaja lelaki ini." kata gadis itu lagi.

Tengku Afkar mengerutkan dahi. Rasanya dia hendak menghukum juga gadis ini. Mungkinkah konco lelaki peragut ini?

"A-ampunkan hamba, ampunkan hamba, Tuan muda, Cik muda," lelaki peragut tadi segera berlutut meminta ampun berkali-kali.

"Adakah tuan hamba juga adalah orang-orang seperti ini? Peragut? Biasa melakukan kesalahan dan melepaskan sahaja pesalah itu?" tuduh Tengku Afkar.

Tun Haseen mencekak pinggang. 'Ewah, sedap pula dia mengata kita!'

"Patik tidak seperti itu! Tetapi patik boleh tahu kenapa Pak Cik ini melakukan kesalahan! Tuan hamba juga jangan sewenang-wenangnya menghukum dan memukul orang yang lemah!" balas Tun Haseen.

Tengku Afkar mencebik muka sambil berpeluk tubuh. " Humph!"

Tun Haseen turun berlutut di hadapan Pak cik peragut yang menahan kesakitan akibat tendangan pada bahu dan tumbukan di muka itu. Dia membelek wajah Pak cik itu dan kemudian menjelingkan matanya kepada pemuda yang sedang berdiri.

"Sakit ya, pak cik?" tanya Tun Haseen lembut.

"Ampunkan pak cik, nak. Pak cik tak berniat hendak menyakiti cik muda. Pak cik hanya takut," Pak cik itu mengerling pandang kepada pemuda yang membuatnya kesakitan.

"Huh! Tanpa niat, tetapi hendak mengambil nyawa manusia serta beraninya menjadi maling di pasar!" herdik Tengku Afkar dengan sengaja.

Tun Haseen bergeleng kepala mendengar kata-kata itu.

"Cubalah tuan hamba mendengar dulu apa yang pak cik ini ingin luahkan." tegur Tun Haseen.

Tengku Afkar semakin tidak puas hati. Matanya tajam menikam pandangan gadis yang berani-berani melawan kata-katanya ini.

" Beta- ..."

"Pak cik, apa yang membuat pak cik menjadi peragut? Dan mengapa pak cik terburu-buru?" tanya Tun Haseen terus kepada lelaki tadi.

"Pa-pak cik telah kehilangan rumah, dan tanah. A-anak pak cik sedang sakit di belakang lorong... I-isteri pakcik juga telah lari dibawa ke rumah pembesar," jawab pak cik itu sambil mengesat air matanya.

Tengku Afkar berdehem kasar. Dirinya diserbu rasa bersalah. Pastinya selepas ini dia akan terkena sindiran pula daripada gadis ini.

"Tuan hamba, jika tuan hamba merasa bersalah, ayuh temankan patik melawat anak pak cik yang sedang sakit ini ... dan kalau boleh, Tuan hamba papahkan pak cik ini. Mungkin sukar dia ingin berjalan kerana kesakitan," pinta Tun Haseen.

Tengku Afkar memandang tidak puas hati.

'Beta disuruh memapah lelaki busuk? Huh, jika mereka tahu siapa diri beta sebenarnya, pasti tiada siapa yang berani hendak melawan,' bisik hatinya.

Tun Haseen lantas masuk ke pondoknya dan mengambil beberapa jenis dedaunan kering yang telah dibungkus.

"Ayuhlah, lekas ... Tak kanlah patik yang perempuan ini memapah seorang lelaki bukan muhrim pula?" kata Tun Haseen selepas mengambil beberapa keperluannya.

Mahu tidak mahu Tengku Afkar turutkan juga permintaan gadis itu. Lagipula dia masih ingin tahu punca pak cik ini kehilangan rumah dan tanah. Serta isteri pakcik ini yang dibawa lari ke rumah pembesar? Pembesar yang manakah? Dan mengapa?

Usai menidurkan Warda, anak kepada Pak cik Samad yang meragut tadi, Tun Haseen mula mengemaskan barangan herbanya.

Mujur ayahandanya seorang yang terpelajar hal-hal perubatan herba. Sedikit sebanyak, Tun Haseen turut mempelajarinya.

Kawasan pondok buatan daun nibung ini dipandang sayu. Pak cik Samad dan pemuda tadi sedang berdiri di luar menunggunya.

Tengku Afkar memerhatikan kawasan belakang lorong ini. Tidak pernah dia tahu akan kewujudan kawasan ini di kerajaan ayahandanya. Pondok-pondok buatan daun nibung dibina kecil dan besar di sana sini. Seperti sebuah penempatan sementara atau lebih tepat, penempatan penduduk larian!

"Inilah tempat kami kini setelah tidak bertanah. Kebanyakan kami di sini adalah dari kawasan kampung timur dan selatan. Mengharap ihsan Tuanku memberi selembar tanah buat mendirikan semula sebuah rumah. Tetapi, setelah menunggu beberapa purnama dan tahun, Tuanku masih belum membalaskan apa-apa. Jika tuan muda ingin katakan kami ini penceroboh tanah ini, maka kami akan mencari tempat yang lain. Tetapi kami juga tidak tahu hendak kemana lagi ... Isk, isk.." Pak cik Samad mula teresak-esak.

Tengku Afkar diam bertunduk.

"Pak cik, berapa ramai penduduk kanak-kanak di sekitar ini?" tanya Tun Haseen. Dia yang baru keluar, berdiri di sebelah pemuda tadi.

"Termasuk Wardah, ada lebih kurang lima belas semuanya, hampir separuh dari mereka juga telah pergi dipanggil Ilahi akibat penyakit wabak dan kekurangan makanan. Oleh itu, pak cik benar-benar takut sekiranya Wardah akan meninggalkan pakcik seperti mereka. isk, isk.." jawab Pakcik Samad. Hujung bajunya yang koyak digunakan untuk mengelap air mata.

"Mengapa Tuanku tidak lagi ambil peduli hal rakyat miskin seperti kami? Apa kami ini sudah tidak layak menjalani kehidupan? Mengapa utusan-utusan kami tidak pernah sampai? Atau Tuanku benar-benar tidak memerlukan rakyat hina seperti kami lagi?" adu Pak cik Samad dalam sendunya.

Beberapa orang yang berada di sekitar situ, yang mendengar luahan Pak cik Samad juga mengangguk tanda setuju. Mereka juga merasai hal yang sama.

Tun Haseen dan pemuda itu berpandangan seraya mengeluh kecil. Kawasan ini telah menandakan kemunduran kerjaan pimpinan Tuanku Sultan tanpa mereka sedari.

***

"Ampunkan patik kerana tersalah sangka dan menuduh tuan hamba tadi." kata Tengku Afkar.

Tun Haseen mengangguk.

"Humm. Tak mengapa ... patik juga bukan dari keturunan mulia yang tiada melakukan kesalahan." balas Tun Haseen.

"Bukan patik ingin mengatakan sedemikian, hanya tadi patik berasa marah ... tetapi selepas pulang daripada pondok Pak Samad, patik merasa bersalah," jelas Tengku Afkar.

Sambil berjalan pulang menghantar Tun Haseen. Mereka berdua memerhatikan kawasan sekitar mereka.

Keadaan rakyat banyak yang semakin daif dan uzur akibat kenaikan cukai dari pembesar. Rakyat mula kehilangan harta apabila tidak mampu membayarkan cukai. Anak-anak membesar dengan tidak sempurna. Penyakit wabak mula tersebar kerana makanan yang tidak seimbang.

Tengku Afkar semakin serba salah. Dahulu semasa adanya almarhum bonda, rakyat sentiasa kelihatan tersenyum dan gembira. Hampir setiap hari bonda kelihatan ceria bertemu rakyatnya. Rakyat jelata juga tak putus-putus memberikan jamu-jamuan sekiranya bonda turun melawat. Kemajuan rakyat juga tidak ketinggalan. Akan tetapi, keadaanya kini jauh berbeza.

Tun Haseen mengesat laju air mata yang hendak gugur dari tubir matanya. Dia juga hampir berfikiran seperti Pak Cik Samad. Tetapi ayahandanya, Tun Abdul Rasyid selalu berpesan padanya agar percayakan  Tuanku Sultan.

'Tuanku, tidakkah Tuanku bukakan mata dan hati demi rakyat yang telah daif ini? Mengapa hanya golongan bangsawan menerima kemajuan dan rakyat miskin terbiar?' bicara hati Tun Haseen.

'Ayahanda harus segera turun daripada takhta. Biar anakanda yang membela nasib rakyat seperti Pak cik Samad dan Wardah. Golongan pembelot juga harus segera ditumpaskan demi keamanan rakyat! Beta akan beri hukuman setimpal kepada mereka!' desis hati Tengku Afkar.

...
❁❈ Bersambung ❈❁
Edited 19 Nov 2018

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now