"Kekanda Tengku, mengapa kanda tidak memberitahu hendak bertandang? Ayah sedang berada di dalam. Sudah dua hari ini ayah gering." Tun Haseen menyambut dengan sopan tetamunya, Tengku Hamzaa.
Tengku Hamzaa sekadar tersenyum dan menuruti langkah Tun Haseen yang membawanya ke kamar di mana Tun Abdul Rasyid beristirehat.
Tun Abdul Rasyid segera membangunkan dirinya dari pembaringan. Walaupun badannya masih kurang sihat, akan tetapi, tetamu yang berketurunan kerabat haruslah dilayan dengan cara yang penuh beradab.
"Tok guru, patik hanya datang sebentar, tidak perlu Tok guru bangun." ujar Tengku Hamzaa. Dia berasa simpati akan keadaan Tun Abdul Rasyid yang kelihatan pucat di wajahnya.
"Patik masih boleh duduk menghadap Tengku, tidak perlu Tengku melihat patik berbaring ..." balas Tun Abdul Rasyid sambil tersenyum manis.
Beberapa waktu kemudian, Tun Haseen muncul semula di kamar Tun Abdul Rasyid sambil membawa dulang yang berisi air teh di dalam teko dan juga beberapa biji cawan cukup untuk mereka bertiga.
"Ke mana Umar dan nenek? Sedari tadi patik tidak melihat kelibat mereka." tanya Tengku Hamzaa setelah mencicip air minuman yang dihidangkan oleh Tun Haseen.
"Umar membawa nenek ke hutan untuk mencari penawar buat ayah." kata Tun Haseen.
Tun Abdul Rasyid mengangguk dan tersenyum. Bimbang benar wajah mereka jika diamati sebelum mereka bertolak ke hutan pagi tadi.
"Oh, begitu,"
"Mengapa pula Tengku datang bersendirian ke mari? Ada apa urusan daripada Tuanku Sultan kah?" soal Tun Abdul Rasyid pula.
Sesungguhnya hati Tun Abdul Rasyid berasa kurang senang kerana sudah dua hari tidak masuk ke Istana. Dia berasa bimbang sekiranya Tuanku Sultan menghadapi masalah di pentadbiran bersama beberapa orang pembesar.
Tengku Hamzaa menghembus nafas seketika, kemudian dia melihat satu-persatu wajah insan di hadapannya,
"Bonda Tun Seri Dahlia tiba-tiba sahaja gering saat ini. Beliau ada pesanan untuk Tun Haseen yang lulus ujian pertama pemilihan bakal puteri mahkota itu." jawab Tengku Hamzaa.
Tun Haseen dan Tun Abdul Rasyid berpandangan seketika.
"Bagaimana patik boleh lulus? Sedangkan ... dan mengapa Tun Seri boleh tiba-tiba gering? Seingat patik, wajah Tun Seri kelihatan bersinar, menunjukan dalaman badannya juga sihat." ulas Tun Haseen. Baginya ini adalah dua kejutan.
"Tuanku Sultan pula bagaimana?" tanya Tun Abdul Rasyid ingin tahu.
"Ayahanda kelihatan biasa. Dengan keadaan baginda yang selalu tidak sihat, akan tetapi kini semakin pulih. Patik berasa bimbang, keadaan ini mengingatkan patik pada masa dahulu ..," Tengku Hamzaa mengerutkan dahi sambil menekur matanya ke tikar mengkuang tempat dia duduk bersila.
"Usahlah Tengku bimbang jika keadaan Tuanku kelihatan semakin pulih. Ia adalah berita gembira, dengan ini, pemerintahan akan kembali mutlak kepada kuasanya kelak." potong Tun Abdul Rasyid.
Tun Haseen dan Tengku Hamzaa yang mendengarnya mengangguk setuju. Keadaan berkenaan amatlah ketara kerana pada ketika ini, walaupun Tuanku Sultan adalah pemerintah dan pemilik kerajaan negeri, akan tetapi segala urusan berkaitan negeri, diuruskan sepenuhnya oleh pembesar yang telah dilantik.
Pembesar-pembesar ini pula ada yang mempunyai konspirasi tersendiri sehingga mengutip cukai dengan berlebihan daripada rakyat miskin. Jika ada yang tidak mampu melaksanakan cukai, pembesar berkenaan akan merampas segala hak milik rakyat, termasuk rumah dan tanah.
"Apa pula pesanan Tun Seri kepada anakanda patik?" pertanyaan Tun Abdul Rasyid menyentakan fikiran Tengku Hamzaa. Perlahan dia cuba mengingati apa yang telah dipesani oleh Tun Seri Dahlia pagi tadi.
YOU ARE READING
Cinta Sang Putera
Historical Fiction❁❈#1 in Historical Fiction❈❁ ❁❈ Covers Thanks To Friends and Readers ❈❁ ❁❈ Puisi : Cinta Sang Putera ❈❁ Ada cerita lama terkisah, Kisah bermula dari istana, Hampa datang bersama gelisah, Kisah duka putera dan cinta. Raja adil disanjung rakyat, Rakya...