"A-ampun tu-tuan-ku-ku ..," ucap Nurin dengan berhati-hati.
Hari ini merupakan hari pertama dia belajar dengan seorang guru yang bakal membuatkan tuturnya lancar seperti orang lain. Dia merasa sungguh bertuah kerana tengku mahkota sudi mengupahkan guru khas untuknya.
Pada hari pertama dia belajar juga, tengku mahkota sudi menemaninya. Nurin melihat sekilas tengku mahkota yang sedang duduk di bawah pohon kayu di laman istananya. Dilihatnya tengku sedang menajamkan sebatang ranting menggunakan pisau. Satu senyuman tipis terukir di bibirnya.
"Ehem!" suara berdehem seseorang membuatkan Nurin menumpukan semula pandangannya kepada tok guru di hadapan ini.
Tengku Afkar tersenyum melihat wajah merah padma dayang Nurin yang sedang diajari oleh tok guru, Tun Ali. Dia faham perasaan gadis itu yang masih malu dan takut lagi dengan kekurangan yang dimilikinya, kerana itulah dia sudi menemani hari pertama gadis itu berguru pada hari ini.
Sesekali dia terlihat dayang Nurin terangguk-angguk mendengar tutur tok gurunya. Kemudian dia disuruh menguatkan suara. Cara Tun Ali sememangnya tegas kepada muridnya.
"Ampun tuanku, ... tuanku sultan sedang menunggu tuanku di Balai Anggerik." ucap Awang Wadi yang baru datang membawa pesanan.
Tengku Afkar bergaru kepala.
"Sekarang ini?"
"Ya, sekarang, tuanku." Jawab Awang Wadi lagi.
Tengku Afkar melangkah ke arah Tun Ali dan dayang Nurin serta memberitahu kepergiannya.
Tun Ali mengangguk begitu juga dayang Nurin. Akan tetapi di dalam hatinya merasa sedikit hampa.
"Usahlah pipit mendambakan enggang, yang eggang sama enggang, pipit sama pipit." kata Tun Ali. Sedari tadi, dia memahami pandangan mata anak gadis ini. Dia cuba menasihati agar gadis ini tidak mengharap terlalu tinggi.
Nurin menundukan kepalanya. Dia sangat faham maksud kata tok guru ini. Dia juga sedar akan taraf kedudukan dirinya. Sedaya upaya dia menepis segala perasaan yang mungkin ada di dalam hatinya.
❀❁❀❁❀❁
"Ampun tuanku," sembah salam Tengku Afkar kepada tuanku sultan.
Ayahandanya itu dilihat sedang duduk di atas singgahsana bersama Tun Seri Dahlia yang juga duduk di sisinya.
Entah mengapa hatinya terdetak simpati melihat Tun Seri Dahlia yang kelihatan sedikit pucat. Di tangan kanannya juga terdapat sehelai sapu tangan untuk dia menutup mulut jika berbatuk.
"Anakanda ... sebelum ayahanda memulakan bicara ini, ayahanda harap anakanda tidak terasa hati ataupun melenting secara tiba-tiba," tuanku sultan menarik nafas dalam-dalam serta melihat sekilas wajah Tun Seri Dahlia di sisinya.
Tengku Afkar juga melakukan hal yang sama. Perkara yang bakal dibicarakan oleh ayahandanya ini seakan sudah dapat dia teka arahnya.
"Bonda Seri Dahlia telah memilih beberapa calon terakhir untuk penilaian ayahanda memilih bakal tengku puteri ... ada tiga orang gadis ..," tuanku sultan menghembus nafas lega. Tun Seri Dahlia pula berbatuk-batuk kecil.
"Tiga orang? Bukankah sepatutnya hanya dua orang sahaja calon terakhir yang perlu ayahanda nilaikan? Mengapa ada tiga orang pula?" soal Tengku Afkar kehairanan.
Tuanku sultan dan Tun Seri Dahlia berpandangan.
"Ini adalah atas nasihat daripada bendahara Tun Abu Jabaar. Dia telah mencadangkan anak Tun Kassim bagi mengelakan penilaian ini tidak terlihat seperti pemilihan berat sebelah, kerana anakanda kepada sahabat lama ayahanda juga terpilih ..." jelas tuanku sultan.
YOU ARE READING
Cinta Sang Putera
Historical Fiction❁❈#1 in Historical Fiction❈❁ ❁❈ Covers Thanks To Friends and Readers ❈❁ ❁❈ Puisi : Cinta Sang Putera ❈❁ Ada cerita lama terkisah, Kisah bermula dari istana, Hampa datang bersama gelisah, Kisah duka putera dan cinta. Raja adil disanjung rakyat, Rakya...