Salam berdiri tegak di hadapan dua buah makam. Setelah selesai membacakan surah-surah untuk disedekahkan, dia kembali berdiri dan merenungi tanah yang telah ditumbuhi rumput itu.
"Pastinya patik bakal menyusul kemudian hari. Berjumpalah kita di sana kelak." kata Salam dengan nada tenang.
Penutup mulutnya segera dipakaikan apabila mendapati seseorang sedang melintasi. Kehadirannya tidak boleh diketahui memandangkan dia sudah 'mati'!
Tun Abu Jabaar tersenyum sinis di balik batang pohon yang berada tidak jauh daripada makam tersebut. Benarlah kata risikan Tun Kasim, Salam masih hidup! Dan kini sedang berada di Istana Kota. Peluang kali ini tidak akan dia sia-siakan lagi.
.❇.❇.
Tun Seri Dahlia menyambut kedatangan ketiga-tiga putera itu dengan senyuman manisnya. Wajah Tengku Afkar ditatap lama. Jelas ternampak raut Almarhum Tuanku Permaisuri pada wajah itu kini. Kini usia Tengku Afkar sudah lima belas tahun. Sudah layak untuk dicarikan calon isteri.
Tun Seri Dahlia tersenyum memikirkannya. Jika Tuanku Permaisuri masih ada, pasti mereka akan sama-sama mencarikan calon yang sesuai buat tengku mahkota ini.
Tengku Afkar memandang tidak puas hati wanita di hadapannya ini. Biarpun sudah lima tahun berlalu, hatinya masih belum menerima isteri ketiga ayahandanya ini sebagai kerabatnya.
"Tun Seri, patik Tengku Nadhir dan ini Tengku Eijaz, kami bersepupu." Tengku Nadhir menyalami wanita itu dan memperkenalkan diri mereka.
"Iya, Pak Hamid sudah memperkenalkan kalian dari utusannya." balas Tun Seri Dahlia. Sopan sungguh anak muda berdua ini, lain daripada Tengku mahkota. Fikirnya.
"Dimanakah ayahanda beta? Beta tidak sabar hendak bertemu dengannya." potong Tengku Afkar, dia kembali dengan nada angkuhnya.
"Tuanku sedang di balai Istana ..." walaupun pertanyaan itu dengan nada yang tidak sopan, tetap Tun Seri Dahlia jawabkan dengan lembut juga.
Tengku Afkar segera melangkahkan kakinya. Tidak betah menghadap muka ala tulus suci murni itu.
...
"Adakah ini keputusannya?" tanya Tuanku Sultan. Nadanya cuba ditenangkan.
"Patik sudah berfikir mengenainya. Dan patik tidak mahu kiranya hukuman kali ini juga ditangguhkan." Salam membalas dalam senada tanpa riak.
"Salam, ampunkan beta! Memang salah beta kerana menghukum tanpa usul periksa. Janganlah Salam meningalkan beta sendirian di sini lagi. Selama ini beta telah hidup dalam keadaan terhukum kerana itu, Salam. Bantulah beta semula sebagai sahabat baikmu ..." Tuanku Sultan cuba memujuk sahabat baiknya ini.
Salam mengangkat kepala memandang wajah Sultan Aqhar Al-Maisur itu. Ternyata manusia itu bersifat sementara, hanya sebentar sahaja raut wajah yang dahulunya tampan berubah kepada wajah lelaki berusia. Tidak terkecuali, walaupun berketurunan pemerintah tertinggi sekalipun.
"Patik sudah tidak sanggup hidup dalam kematian ini. Patik juga tidak larat lagi hendak memberi bantuan kepada sesiapa. Lambat atau cepat, pasti patik akan mati jua di tangan mereka.Jadi biarlah patik membawa diri jauh dari negeri ini. Jauh daripada hidup ini." kata Salam lagi.
Hukuman berat harus ditanggungnya. Dia ingin keluar daripada negeri tanah airnya ini. Mencari-cari sebuah kehidupan yang telah lama tiada dalam hidupnya.
"Beta tidak mahu melepaskan Salam. Beta masih memerlukan Salam." Tuanku Sultan berdiri lantas meninggalkan Salam yang masih duduk berlutut di bawah singgahsananya.
Salam bertunduk kembali dan menghela nafas berat. Maafkan patik, sahabat. Patik hanya mahu keluar dari negeri ini. Tidak betah kiranya hendak berlama. Pastinya ada pembelot yang sedang merancangkan sesuatu untuknya. Hatinya mula berbisik tidak enak.
YOU ARE READING
Cinta Sang Putera
Fiction Historique❁❈#1 in Historical Fiction❈❁ ❁❈ Covers Thanks To Friends and Readers ❈❁ ❁❈ Puisi : Cinta Sang Putera ❈❁ Ada cerita lama terkisah, Kisah bermula dari istana, Hampa datang bersama gelisah, Kisah duka putera dan cinta. Raja adil disanjung rakyat, Rakya...