Langit yang kelam dipandang sayu. Tangan kanan diletakkan di atas dahi manakala lengan kiri mengalas belakang kepala. Mata dipejam seketika.
Keluhan berat dia lepaskan. Bercampur-baur perasaannya tika itu. Rasa sedih. Kesal. Kecewa. Marah. Semuanya membuatkan dia tak tenang. Airmata juga tidak mahu menitis. Walaupun sebak semakin menghimpit.
Tangan kanan diluruskan ke sisi. Jauh dia merenung ke langit yang suram tanpa sinaran bulan mahupun bintang. Sambil mindanya menerawang jauh.
"Kau faham ke tidak?!" Terkejut adiknya mendengarkan jerkahan kasar itu.
Budak lelaki berumur 4 tahun itu mengangguk pantas sambil tunduk memandang lantai. Tidak berani memandang wajah bengis si abang yang penuh kebencian.
"Kau keluar sekarang! Aku tak nak tengok muka kau dalam bilik aku lagi! Selangkah kau jejak kaki kau dalam bilik ni.. Nahas kau aku kerjakan!"
Serentak itu, tubuh kecil adiknya ditolak kasar sehingga terbaring di hadapan pintu biliknya sebelum pintu dihempas kuat. Tangisan si kecil mula kedengaran. Rasa simpati timbul, namun ego menguasai.
"Zahiril." Panggilan ayahnya membuatkan langkah Zahiril terhenti. Dengan wajah dinginnya, dia menghampiri si ayah yang sedang membaca akhbar di ruang tamu.
"Nak ke mana?" Si ayah melipat akhbar tersebut dan menumpukan perhatian kepada anak sulungnya.
"Keluar." Tanpa memandang wajah si ayah, dia menjawab selamba.
"Kenapa kurang ajar sangat ni?"
"Kurang ajar? Heh. Siapa yang tak ajar."Pangg! Pipinya terasa pedih.
Pipi yang terasa pedih disentuh.
"Eh! Aku lebih rela tak ada ayahlah daripada ada ayah macam kau!"
Dia berlalu pergi bersama amarah yang membuak. Pertama kali seumur hidupnya pipi mulusnya di sentuh begitu. Dia nekad membawa dirinya jauh dari insan tersebut.
Hatinya sakit. Namun ego masih menguasai. Airmata masih juga degil untuk keluar. Lagipula, dia fikir dia tidak punya sebab untuk menangis.
Daripada posisi baring, dia kini duduk. Sudah sebulan dia meninggalkan mahligai itu. Mahligai yang kelam dan suram. Dingin dan beku. Tak berseri. Tiada sinarnya ibarat langit yang menjadi silingnya tika itu.
"Cu... Masuklah. Sejuk dah ni." Panggilan Tok Man mematikan lamunannya.
"Ya tok..." Dia turun dari pangkin kecil di halaman rumah dan masuk ke teratak kecil Tok Man, yang baginya lebih indah berbanding mahligai ayahnya. Penghuninya yang membuatkan keadaannya jadi berbeza.
"Sudah sebulan kamu tinggal dengan tok. Ayah kamu mesti risau." Tok Man yang sedang menaip menggunakan mesin taipnya yang sudah usang bersuara tiba-tiba. Zahiril menarik nafas dalam.
"Tak mungkin tok." Perlahan dia menjawab.
"Air dicencang tak akan putus." Tok Man menyudahkan taipannya. Zahiril tunduk. Faham dengan maksud datuknya itu.
"Tok tahu kamu kecewa dengan keputusan ayah kamu. Namun, berkahwin lain bukan satu perkara yang salah. Zahiril dah besar. Zahiril kena faham situasi sekeliling."
Zahiril meraup wajahnya."Saya sedih tok..." Zahiril mula membuka cerita. Tok Man setia mendengar.
"Saya kecewa dengan keputusan ayah. Seolah-olah dia menduakan mama. Saya sedih bila fikirkan balik yang mama setia pada ayah sampai akhir hayatnya. Tapi ayah..." Zahiril membuka apa yang selama ini terbuku di dalam hatinya.
"Kadang-kadang seseorang melakukan sesuatu bukan atas kehendak sendiri." Tok Man bangun dari duduknya. Wajah tuanya menampakkan raut kesedihan.
"Maksud tok?" Zahiril bingung.
Tok Man senyum nipis.
"Kamu akan faham. Masalah tidak akan selesai jika kamu terus melarikan diri daripada masalah. Belajarlah hadapinya dengan tenang dan berfikiran rasional." Kata-kata itu menusuk tepat ke dalam jiwanya.
Villa yang mewah itu dipandang lama. Sunyi sahaja keadaan di sekelilingnya. Seperti sebelumnya.
"Tuan Muda!" Satu suara menyapanya lantang. Kelihatan Budin, penjaga rumah meluru ke arahnya. Zahiril menayangkan wajah biasanya. Tak berperasaan.
"Syukurlah tuan sudah balik." Budin mengesat airmatanya perlahan. Berkerut dahi Zahiril melihatnya.
"Kenapa?" Kesedihan yang jelas tergambar pada wajah lelaki lembut di hadapannya itu merisaukannya.
Airmatanya akhirnya menitis. Setitis demi setitis gugur dan akhirnya menjadi banyak. "Ayah... Maafkan Zahiril..." Dia terduduk melutut di tepi pusara yang masih merah itu.
"Zahiril berdosa pada ayah..." Tangisannya cuba dikawal. Budin hanya mampu memandang dengan wajah keruhnya.
"Zahiril tak sempat nak minta maaf pada ayah... Ayah..." Wajah diraup kasar.
Ahli korporat ternama maut bersama isteri dalam kemalangan jalan raya. Anak lelaki mereka yang berusia 4 tahun tidak ditemui walaupun didakwa bersama-sama mereka di dalam kereta.-Akhbar
Rasa kesal yang menghimpit jiwa membunuh ketenteramannya. Kata maaf yang sering diucap... Tidak tahu bila akan berakhir. Walau apapun, kehidupan perlu diteruskan.
12 tahun kemudian...
"Bos, makan tengahari di mana?" Budin bertanya ceria.
"Mana-mana yang kau nak." Dingin jawapan Zahiril.
"Baik bos!"
Masuk sahaja ke dalam restoran tersebut, Zahiril tertangkap kelibat seseorang.
Seorang lelaki berpakaian seragam sekolah sedang duduk sendirian di satu sudut.
Hatinya tertarik untuk menghampiri."Bos."
"Adam?"Matanya berkaca. Dia kenal tanda lahir di leher remaja itu. Remaja lelaki itu memandangnya dengan dahi berkerut.
"Maaf, abang ni siapa ya?" Remaja lelaki itu bertanya hairan.
*To be continued*
YOU ARE READING
My Stories [ Himpunan Cerpen ]
RandomHimpunan cerita pendek dan mungkin juga panjang. Cerita yang tidak diketahui bila akan berakhir. It comes from the soul.