Mawar Putih I

337 26 15
                                    

Melangkah longlai keluar dari biliknya, tangisan yang didengari semakin lama semakin perlahan. Jantung sudah berdegup kencang apabila tangisan itu menghilang tiba-tiba. Dengan tenaga yang masih tersisa, dia cuba melajukan langkahnya. Dia memerhati sekeliling. Kelibat insan itu terlihat di satu sudut.

"Mak cik! Mana anak saya?" Dia bertanya lemah. Wanita separuh umur yang berkebaya itu menunjukkan wajah bengisnya. Di tangannya terlihat sekeping sampul berwarna coklat yang agak tebal.

"Kau dah jual anak kau! Yang kau cari lagi tu dah kenapa?" Dia jatuh terduduk.

Jual?

"Mak cik! Saya nak anak saya! Saya tak pernah jual anak saya! Tolong mak cik, saya nak anak saya..." Tangisannya pecah di situ. Bergema tangisannya di ruangan kecil tempat yang asing itu. Wanita separuh umur itu tidak mengendahkannya. Malah, sampul coklat itu dilempar ke mukanya.

"Ini, duit hasil jualan anak kau!" Dia terpaku seketika. Dia tidak pernah menjual anaknya! Tidak sekalipun pernah menjual anaknya! Anak itu anak dia, tidak mungkin dia menjualnya!

Ingin sekali ditumpahkan segalanya, namun tubuhnya terlalu lemah. Ayat-ayat itu tenggelam di balik tangisannya. Betapa beratnya rasa itu... Menerima sesuatu yang bukan kehendaknya... Apakah kesalahannya sehingga diperlakukan sebegitu?

"Farha?" Panggilan Zana mematikan lamunan Farha. Dipandang wajah teman sekerjanya itu dengan senyuman. Suasana pejabat sudah sunyi dan sudah pun gelap. Cuma ada beberapa kubikel yang diterangi cahaya lampu. Ada yang bekerja lebih masa untuk menyiapkan kerja.

"Tak nak balik ke? Dah pukul 6 ni." Zana melirik jam di tangan. Farha turut melakukan hal yang sama dan terus menyusun barang-barangnya. Terlalu mengelamun menyebabkan dia terlupa akan segalanya.

"Maaf, aku lupa nak tengok jam." Mereka beriringan turun dari bangunan. Sudah hampir 3 tahun mereka tinggal bersama dan selama itu lah juga mereka bekerja di pejabat yang sama.

"Kau ni dah selalu macam ni. Kau yakin ke tak ada masalah yang kau nak kongsi dengan aku?" Farha hanya senyum. Kepala digelengkan perlahan.

"Aku ok. Banyak fikirkan kerja je." Zana hanya mengiakan walaupun dia tahu Farha menyembunyikan sesuatu daripadanya. Namun, jika Farha tidak mahu berkongsi, dia tidak mahu memaksa.

"Oh ya, sebelum aku lupa nak bagitahu. Hujung minggu ni sepupu aku kahwin. Kau dapat ikut kan?" Sengaja Zana bertanya begitu memandangkan Farha sering menolak jika Zana mengajaknya ke mana-mana.

"Aku..."

"Alah please... Aku malulah nanti datang sorang-sorang." Farha akhirnya hanya mengangguk setuju. Sudah seringkali dia menolak ajakan Zana untuk ke mana-mana, apa salahnya untuk kali itu dia pergi.

Desir angin petang menyapa lembut wajahnya yang terlihat suram. Pandangan dihalakan ke arah laut yang terbentang luas. Senja kian melabuhkan tirainya. Sudah 4 tahun berlalu, memori pada hari itu masih segar di ingatannya. Hari di mana dia dipisahkan daripada anaknya.

Belum sempat pun dia mengucup dahi anak kecilnya, mereka membawanya pergi tanpa izinnya. Dia hampir gila kerana itu. Syukur Zana ada di sisinya pada saat itu, dia tidak pernah penat untuk membawanya berubat. Bagi Farha, Zana merupakan sahabat terbaik yang dia pernah ada.

"Farha, dah siap ke?" Zana yang sudah lengkap memakai jubah bridesmaid yang dikirimkan sepupunya untuk majlis pada malam itu menghampiri Farha di balkoni. Balkoni bilik resort yang disewakan oleh sepupu Zana itu menghala tepat ke laut.

"Dah," Farha mengenakan gaun labuh ringkas berwarna biru muda dengan selendang merah muda melilit kepalanya labuh hingga paras dada. Melihatkan itu, Zana tersenyum manis. Sesiapapun yang melihat Farha pasti akan terpegun dan tidak akan menyangka bahawa dia sudah pernah melahirkan anak.

My Stories [ Himpunan Cerpen ]Where stories live. Discover now