Mawar putih yang tumbuh subur di dalam pasu di tepi rumah itu disentuh bunganya. Dibawa hidung rapat kepada bunga yang mekar itu dan dihidu. Harumannya wangi sekali.
Seketika bayangan wajah seseorang kembali ke kotak memori. Senyuman manis yang penuh pengertian dan membawa ketenangan menghiasi wajah itu. Mungkin dia dikatakan buta kerana cinta sehingga sanggup berpaling dari keluarganya.
Namun mereka bukan berada di tempatnya, dia faham pasti akan ada yang mengatakannya anak yang tidak mengenang budi. Meninggalkan keluarga hanya kerana seorang lelaki.
Cinta mungkin membutakan, namun jika cinta itu membawanya ke arah yang lebih baik, mana mungkin dia melepaskannya. Kerana dia, Farha lebih menghargai erti sebenar kehidupan.
Tiada pusara untuk dikunjungi, namun cukup hanya doa dia hadiahkan buat suami tercinta.
"Dani! " Suara seseorang mematikan lamunan Farha. Pandangan beralih ke arah suara itu. Seorang anak kecil kelihatan berlari anak di jalan kecil yang menghubungkan rumah-rumah di resort itu.
Melihatkan keriangan si kecil, dia turut bahagia. Dia ingat anak kecil itu, anak kecil yang menangis kerananya. Farha hanya diam di tempatnya. Duduk bertinggung berhampiran pasu bunga sambil memandang si kecil.
Sesusuk tubuh lampai yang mengejar si kecil muncul di hadapannya. Dari pandangan sisi lelaki itu, membuatkan jantung Farha bagaikan terhenti seketika. Senyuman di bibirnya pudar serta-merta.
Bangun dari duduk, matanya berkaca memandang wajah itu. "Abang? " Bibir menggumam perlahan. Langkah dia atur untuk menghampiri lelaki itu.
Namun langkah pantas lelaki itu mengejar si kecil membuatkan jarak di antara mereka semakin jauh. Farha akhirnya hanya kaku di tempatnya. Tidak mungkin itu suaminya. Tetapi mengapa wajah mereka terlihat sangat persis?
Tanpa sedar, airmata jatuh ke pipi. Tangisannya sudah tidak mampu ditahan. Hanya tuhan yang tahu betapa perit hatinya ketika itu. Merindui insan yang telah tiada.
Dia berpaling dan masuk ke dalam rumah. Tidak mahu terlalu berharap kepada sesuatu yang mustahil. Berada berhampiran dengan laut, semestinya membawa kenangan lalu.
"Dani, berapa kali papa pesan, kalau nak jalan-jalan di luar kena pakai kasut. " Wildan menepuk tapak kaki anaknya membersihkan kotoran yang mungkin melekat di kaki kecil itu sebelum menyarungkan kasut kecil.
Anak tunggalnya itu sangat aktif berbanding anak kecil seusianya. Usia belum pun menginjak 4 tahun, sudah aktif berlarian ke sana ke mari. Dani tayang sengih. Walaupun sudah memahami apa yang dibicarakan orang lain, sehingga kini dia masih belum mengucapkan sepatah kata pun.
Sambil mendukung Dani, dia berjalan di persisir pantai menikmati pemandangan pagi yang indah. Laut sudah sebati di dalam kehidupannya. Angin bertiup lembut menyapa wajah mereka. Dani tergelak riang. Suka dengan tamparan lembut sang bayu.
Duduk termenung di balkoni bilik, Farha hanya mampu menikmati keindahan pantai dengan pandangan mata. Ingin sekali menjejak kaki ke atas pepasir pantai yang putih, namun kesenduan hatinya tidak mengizinkan.
"Farha, jom keluar lunch." Zana yang baru sampai dari menjenguk sepupunya menegur riang. Farha hanya mampu tayang senyum nipis.
Farha sengaja mengenakan kaca mata hitam untuk menutupi bengkak matanya kerana semalaman menangis.Restoran berdinding kaca yang menyerlahkan pemandangan indah laut dimasuki dengan jiwa yang tenang. Indah sekali tempat itu. Setelah memesan satu set hidangan steambot, mereka mengambil beberapa keping gambar bersama sebagai kenangan.
Haruman bunga mawar putih yang diletakkan di dalam pasu di atas meja menusuk ke deria mereka. Sekali lagi bayangan itu menyapa di minda. Farha tersenyum nipis.
"Awak tahu tak simbolik bunga mawar putih? " Terngiang di telinganya persoalan lelaki itu. Pada waktu itu, Farha bukan seorang penggemar bunga.
"Bunga mawar putih ini melambangkan kesucian, cinta pertama dan cinta sejati. " Kata-kata lelaki itu terpahat di ruang minda. Bersama senyuman yang menenangkan jiwa.
"Bagi saya, awaklah mawar putih saya." Memori indah.
"Farha. " Panggilan Zana mematikan lamunan Farha. Terus saja dia kembali ke alam realiti.
"Makanlah. " Tidak sedar makanan sudah dihidangkan di atas meja. Mereka mula makan tanpa berbicara. Ketenangan mereka terganggu oleh keriuhan dari satu arah di restoran itu. Para pelanggan yang lain turut menumpukan perhatian ke arah yang sama.
"Siapa yang hidangkan peanut cake tu?! He's allergic to peanut! " Satu suara lantang kedengaran. Masing-masing memicingkan pendengaran.
"If anything happen to him, you all are fired!" Seketika kemudian, seorang lelaki berlari keluar dengan seorang kanak-kanak yang lemah di dukungannya. Melihatkan anak kecil itu, jantung Farha berdegup kencang. Anak kecil bernama Dani.
Tanpa berfikir panjang, langkah terus diatur mengejar mereka. "Farha!" Zana tidak mampu menahan apabila Farha sudah menjauh.
"Dani, stay there baby. " Zaidan bagaikan hendak menangis melihat keadaan anak buahnya. Ruam merah mula kelihatan pada tubuhnya. Belum sempat dia menghidupkan enjin kereta, seseorang merempuh masuk ke tempat duduk belakang.
"Who are you?! " Dalam cemas, nada suaranya naik seoktaf. "Saya ada ubat alahan. It's okay." Tanpa berfikir panjang, ubat suntikan yang sentiasa dia bawa bersama dikeluarkan dari beg tangan.
Zaidan yang tidak mampu berbuat apa hanya mampu berharap.
"Teruskan memandu. " Mendengarkan arahan daripada wanita yang terlihat tenang itu, Zaidan terus memandu keluar dari perkarangan resort menuju ke hospital terdekat.
Setelah menyuntik ubat alahan dalam kadar yang sedikit kepada Dani, Farha memeluk tubuh kecil itu erat. Jujur dia risau dan takut jika dos yang diberikan berlebihan. Sebagai seorang yang juga mempunyai alahan terhadap kekacang, dia pernah mengalami hal yang sama.
Kerisauan ibu bapanya akhirnya dapat dia rasakan sendiri. Seolah-olah Dani itu anaknya sendiri.
Sampai sahaja di hospital, Dani terus dihantar ke wad kecemasan. Mujur ubat alahan yang diberikan
mampu mengawal alahan itu. Farha berdoa agar segalanya baik-baik saja."Cik," Zaidan yang baru keluar dari bilik Dani menegur Farha yang menunggu di luar bilik. Senyuman kelegaan terpancar di wajahnya.
"Terima kasih banyak sebab dah tolong anak buah saya. Saya tak tahu macamana nak balas budi baik cik." Ikhlas Zaidan mengucapkan penghargaannya.
"Sama-sama. Boleh saya jumpa anak buah awak?" Pinta Farha berharap. Zaidan tidak menolak dan menjemputnya masuk.
Tubuh kecil yang terbaring di atas katil dengan bantuan pernafasan itu dipandang sayu. Ruam-ruam pada tubuhnya sudah beransur hilang. Dahi Dani dikucup penuh sayang. Walaupun mereka itu orang asing, dia merasa dekat.
"Cepat sihat, sayang ibu..." Bicara itu keluar dari mulutnya tanpa dipaksa. Mindanya dipenuhi memori semasa anaknya masih berada di dalam kandungan. Dia sering berbicara dengan anaknya yang belum lahir.
'Sayang ibu... '
Sedar akan keterlanjurannya, Farha beristighfar panjang. Matanya kembali berkaca. Kaca mata hitam ditanggalkan sebelum dia mengesat airmata dengan hujung lengan bajunya.
"Cik ni siapa? " Mendengar akan suara itu yang tepat di belakangnya, Farha cepat-cepat memakai kaca mata hitamnya. Tidak mahu insan itu melihatnya menangis.
Serentak tubuhnya dipalingkan menghadap si empunya suara, dia terus terpaku. Tubuhnya terus kaku. Dahi Wildan berkerut melihat wanita asing itu. Langkah diatur melintasi tubuh Farha menghampiri anaknya.
Farha menekup mulut. Jantung berdegup lebih kencang. Terkejut, rasa ingin menangis, perasaannya bercampur-baur. Lelaki itu Benar-benar persis suaminya, Wildan Iskandar!
....
YOU ARE READING
My Stories [ Himpunan Cerpen ]
De TodoHimpunan cerita pendek dan mungkin juga panjang. Cerita yang tidak diketahui bila akan berakhir. It comes from the soul.