Maaf Kerana Cinta

76 6 1
                                    

      Bunyi kicauan burung mengisi suasana pagi itu. Mentari sudah tidak malu-malu lagi untuk menonjolkan dirinya.

      Gadis yang lengkap berbaju kurung itu melangkah berhati-hati menyusuri denai kecil untuk ke jalan besar.

      "Selamat pagi cikgu bunga!" Beberapa orang pelajar yang mengayuh basikal menegur apabila melihatnya. Azalea membalas dengan lambaian.

      Langkah diteruskan menuju ke sekolah yang memakan masa lima minit berjalan kaki dari rumah sewanya. Dia tidak menyangka tempoh praktikalnya akan tamat di sekolah pedalaman itu.

      Hari itu merupakan hari terakhirnya sebagai seorang guru pelatih. Suasana di tempat itu pasti akan dirindui. Namun dia sudah rindu akan kampung halaman.

       Sudah 4 bulan dia tidak pulang, entah bagaimanalah agaknya khabar si hitam, kucing kesayangannya. Kali terakhir bertemu, si hitam sedang sarat mengandung. Pasti anak-anaknya kini sudah besar.

       Loceng terakhir pada hati itu berbunyi. Kelas terakhir Azalea di sekolah itu berakhir di situ. Senyumannya terlakar indah.
Namun kesayuan sedikit terasa.

       "Terima kasih cikgu!" Azalea menghadiahkan senyuman manis buat para pelajarnya. Pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar pada tahun hadapan.

      "Sama-sama."

      "Satu, dua, tiga!" Serentak kiraan ketiga, nyanyian lagu Semua Tentang Kita oleh Peterpan bergema mengisi ruangan kelas. Azalea tidak mampu menahan senyuman.

Waktu terasa semakin berlalu
Tinggalkan cerita tentang kita
Akan tiada lagi kini tawamu
Tuk hapuskan semua sepi di hati

       Matanya berkaca mendengarkan nyanyian mereka. Beberapa orang pelajar sudah mengalirkan airmata.

Ada cerita tentang aku dan dia
Dan kita bersama saat dulu kala
Ada cerita tentang masa yang indah
Saat kita berduka saat kita tertawa

Teringat di saat kita tertawa bersama
Ceritakan semua tentang kita

       "Terima kasih, cikgu! Kami sayang cikgu!" Airmatanya tumpah jua. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata perasaannya ketika itu. Perasaan terharu yang bercampur dengan kesedihan.

      "Cikgu pun sayang kamu semua... "

      Telefon berdering, mematikan lamunannya. Tertera panggilan daripada nombor asing. Namun sepertinya terlihat tidak asing lagi.

        "Hello? Siapa ni?" Terus saja dia menjawab. Seperti biasa jika mendapat panggilan daripada nombor tidak dikenali. Mungkin saja daripada pelajarnya.

        Talian terus dimatikan. Dahinya berkerut memandang skrin telefon. Pelik. Tumpuannya kembali kepada buku biru di atas riba.

       Azalea yang tersenyum-senyum membaca buku biru itu dipandang sekilas. Remote televisyen di hujung sofa kusyen dicapai menggunakan kaki. Ditekan mencari tayangan yang menarik.

       "Kakak ni tak habis-habis lagi ke baca buku tu?" Azawara mengunyah keropok kentang dengan rakus. Senyuman Azalea memudar.

       Melihatkan Azawara yang sudah berbaring malas di sofa, dia gelengkan kepala. Macam tak sedar saja esok dia bakal menghadapi peperiksaan besar.

       "Adik dah sedia ke nak periksa esok?" Buku di tangan ditutup. Buku yang mengandungi hasil tulisan para pelajar di sekolah praktikalnya dulu.

       "Dah sedia. Adik nak relaks je malam ni." Ketenangan Azawara membuatkan Azalea pula yang risau. Namun jika sudah Azawara cakap begitu, biarlah.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Dec 30, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

My Stories [ Himpunan Cerpen ]Where stories live. Discover now