Cuaca pada hari itu cerah sahaja. Tiada pun tanda-tanda hari akan hujan. Farha yang sedang sibuk membuat kerja di mejanya langsung tidak memandang sekeliling.
Hanya apabila masuk waktu solat, barulah dia bangun dari tempat duduknya untuk ke surau.
Selalunya Zana akan membawanya keluar untuk makan tengahari, namun sudah dua hari Zana ke luar negeri atas urusan kerja. Setengah jam kemudian, Farha sudah kembali ke kubikelnya.
Matanya tertancap pada satu gubahan bunga mawar putih yang mempunyai 15 kuntum semuanya. Haruman mawar putih itu menusuk masuk ke rongga hidung.
Masih segar. Dia pandang sekeliling untuk bertanya daripada siapa namun kelihatan rakan sekerjanya masing-masing sibuk.
Tiada nota yang tertulis di atas kad. Akhirnya Farha hanya membiarkan bunga itu di tepi meja lalu menyambung kerjanya.
Wildan yang berdiri di satu sudut merenung ke arah Farha. Wanita kesayangannya itu sudah banyak berubah. Pergerakannya, riak wajahnya. Dia sudah kurang tersenyum.
Ingin sekali dia menghampiri wanita itu. Menyuarakan kerinduan dan memohon maaf di atas segala yang terjadi, namun dia tidak mampu. Rasa bersalah membuatkan dia takut untuk menghampiri Mawarnya.
"Wildan, maaf buat kau menunggu. " Khairil yang baru masuk dari bermesyuarat di luar menegur temannya. Mereka beriringan masuk ke dalam pejabat Khairil.
Beberapa hari itu, Farha sering mendapat bunga mawar putih. Kadang-kadang gubahan mawar putih dengan 15 kuntum, kadang dengan 3 kuntum.Hampir setiap hari pasu bunga kecil di tepi meja yang dia beli setelah mendapat bunga mawar itu penuh dengan bunga mawar putih.
Zana yang akhirnya kembali ke pejabat setelah hampir seminggu di negeri orang berhenti di kubikel Farha. Farha ke tandas sebentar setelah masuk ke pejabat tadi.
Bunga mawar putih yang masih segar di atas meja Farha dipandang penuh musykil. Tidak pernah-pernah Farha menyimpan bunga di mejanya. Lagi-lagi bunga hidup, mawar putih pula tu. Bukankah mahal?
Di bawah meja Farha pula ada satu bekas plastik yang besar. Penuh dengan bunga yang sudah layu. Terkejut Zana dibuatnya. Hendak dibuat apa dengan bunga yang layu itu? Hendak dijerukkan ke?
Farha yang baru tiba terus meletakkan beg di dalam laci. Wajah Zana dipandang. Zana turut memandangnya. Sejujurnya dia dapat lihat perubahan pada wajah Farha.
Wajah Farha terlihat makin ceria. Berseri-seri pula dilihatnya. Farha tersenyum. Senyuman yang jarang sekali Zana dapat lihat namun sejak dia pulang malam tadi, selalu saja dia dapat.
"Ada apa-apa ke yang terjadi sepanjang aku tak ada seminggu ni? " Zana pandang wajah Farha penuh rasa ingin tahu.
"Tak ada apa pun. " Farha duduk di tempatnya. Zana tidak berganjak. Malah dia bersandar di meja Farha dan memandang wajah itu lama.
"Sejak bila kau beli bunga? " Zana bertanya lagi. Farha pura-pura mencari fail. Namun itu tidak mematahkan semangat Zana. Dia mendekatkan pula wajahnya ke wajah Farha.
"Apa yang cuba kau sembunyikan daripada aku? " Dia bertanya separuh berbisik. Keadaab pejabat masih lengang memandangkan belum masuk waktu kerja. Mereka berdua memang selalu datang awal.
"Ada orang bagi aku bunga. Dah lima hari. " Akhirnya Farha mengaku. Senyuman manis terukir di wajahnya. Zana kerut dahi. Siapa pula yang bagi?
"Siapa yang bagi? "
"Tak ada nama. " Farha menjawab jujur. Namun kenyataan yang satu itu tidak dia beritahu kepada Zana. Bahawa dia tahu siapa yang berikan bunga itu kepadanya.
YOU ARE READING
My Stories [ Himpunan Cerpen ]
RandomHimpunan cerita pendek dan mungkin juga panjang. Cerita yang tidak diketahui bila akan berakhir. It comes from the soul.