Dia melangkah pantas memasuki pintu masuk utama bangunan pencakar langit itu, peluh sudah merenik di dahi. Sapu tangan di poket kot dikeluarkan untuk mengesat peluh.
Beberapa orang pekerja menegurnya hormat apabila mereka berpapasan dan dibalas dengan senyuman. Dia menggunakan lift khas untuk naik ke tingkat pejabatnya. Seluruh bangunan itu merupakan milik keluarganya.
Sebagai salah seorang pewaris, dia memiliki jawatan yang agak tinggi di perusahaan itu. Namun bukan semudah itu dia mendapatkannya. Dia bermula dari bawah. Setelah ayahnya yakin dengan kebolehan yang dia miliki, barulah jawatan itu diperolehi.
Masuk saja ke dalam pejabat, dia terus duduk bersandar pada kerusi. Butang telekom ditekan, dia perlu meneruskan kerjanya. Jika tidak, nanti akan semakin bertambah.
"Fail yang saya minta pagi tadi dah siap? " Dia bertanya kepada setiausahanya apabila talian bersambung. "Sudah, tuan. Saya hantar masuk sekarang. " Talian dimatikan.
"Terima kasih." Terkenal dengan dirinya yang murah dengan senyuman, dia sememangnya seorang atasan yang dihormati.
Tepat pukul lapan malam, dia meninggalkan pejabat. Sudah menjadi kebiasaan baginya untuk pulang agak lewat dari waktu pejabat. Lagipula, tiada sesiapa yang menunggunya di rumah.
Butang untuk ke tingkat apartmentnya ditekan. Termenung dia di dalam lif. Sampai sahaja di rumah, dia terus mandi dan menunaikan solat isyak. Selesai solat isyak, dia masak sedikit untuk diri sendiri.
Selesai makan malam, dia duduk di beranda memerhati keindahan lampu neon di kotaraya yang sibuk itu. Dia duduk di situ dengan segelas kopi hangat. Hanya kronologi hariannya yang biasa. Beberapa hari lagi, genaplah usianya 29 tahun.
Setakat usianya itu, dia sudah boleh dikatakan berjaya. Mempunyai rumah sendiri, kereta sendiri, pendapatan hidup yang lebih daripada cukup. Namun dia masih juga merasakan ada sesuatu yang kurang.
Tepat jam sebelas, dia sudah menutup lampu bilik untuk tidur. Berharap agar esok lebih baik.
"Sejuk hati aku tengok Sara tu Lijah. Dahlah cantik, manis, lemah lembut pula tu. " Mak Leha memuji anak sulung Mak Lijah setelah gadis itu berlalu ke dapur.Kopi yang dihidangkan Qaisara dihirup perlahan. 'Pandai buat kopi lagi tu.' Mak Leha memuji dalam hati. Mak Lijah hanya mampu tersenyum. Mereka berbual dalam keadaan tenang sambil makan kuih pisang.
"Mak oh mak! " Hampir tersedak Mak Leha dibuatnya mendengarkan suara itu. Wajah tenang Mak Leha berubah agak menggerunkan. Malu dia dengan perangai anaknya yang satu itu. Terpekik-pekik di rumah orang.
"Nur Halwani! Apa yang kamu terpekik-pekik ni?! " Tidak mampu menahan rasa geramnya, Mak Leha terus memekik di tingkap rumah. Ke mana jatuhnya kuah kalau bukan ke nasi.
"Abah panggil balik. Abang dengan kak Wadiha dah sampai. " Setelah Halwani mengatakan itu, wajah Mak Leha terus berubah manis. Teruja dengan kepulangan anak dan menantunya.
"Lijah. Kak Ngah balik dululah. Rauf dah sampai tu. " Mak Leha terburu-buru meminta diri kepada adik iparnya. Mak Lijah hanya mampu tersenyum melihat gelagat dua beranak itu.
"Yalah kak. " Rumah Mak Leha hanya terletak beberapa rumah dari rumahnya, jadi dia hanya berjalan kaki untuk pulang. Halwani pula tidak terus pulang.
"Mak Su! Ini ada buah tangan dari abang. " Seplastik buah-buahan segar ditunjukkan. "Terima kasih. Buat susah-susah je. " Halwani geleng kepala.
"Tak susah pun. Biar Wani yang hantar pergi dapur. Sara ada kan? " Mak Lijah anggukkan kepala dengan senyuman. Walaupun anak buahnya yang satu itu berperwatakan agak kasar, dia seorang anak yang baik.
YOU ARE READING
My Stories [ Himpunan Cerpen ]
SonstigesHimpunan cerita pendek dan mungkin juga panjang. Cerita yang tidak diketahui bila akan berakhir. It comes from the soul.