Prolog
Telefon bimbit di hadapannya ditenung lama. Sesekali mata bulatnya digesek sebelum dibuntangkan seluasnya untuk pastikan dia tak salah melihat atau silap membaca. Tapi dah berkali dia baca, masih ayat yang sama tertera di skrin telefonnya. Tak ada berubahnya hatta satu huruf. Waktu itu juga hatinya sudah mula rasa kacau. Libang-libu. Berbulan lamanya dia tenang menjalani kehidupan seharian dengan harapan selamanya keadaan kekal begitu. Harapan tinggal harapan. Dan isi WhatsApp yang dia terima tadi mengesahkannya.
Sah! Memang dah sah!
Ian mendengus perlahan. Biarpun dia tahu satu hari nanti hari seperti ini akan datang juga, debar dalam hati tetap tak mampu untuk dia sorok. Jangankan hati, tangan pun tak habis lagi menggeletar bilamana nombor itu timbul dalam pesanan WhatsApp petang itu.
Aku tahu, ini nombor telefon kau. Sampai bila kau nak menyorok ni?
Kepalanya digeleng berkali-kali cuba menidakkan telahan sendiri sejak mesej itu dia terima. Tak. Tak mungkin dia berpaling tadah. Perjanjian mereka berdua memang pasti. Tambahan pula biasanya janji antara lelaki memang kuat. Biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Lagi pula kalau ia berkait pada kelangsungan hidup masing-masing. Jadi mana mungkin dia mungkir janji dan pecahkan rahsia yang mereka simpan selama ni.
Blue tick but, no respond. Should I call you to confirm it?
Allahu! Kepalanya ditepuk berkali-kali dah gaya orang kalah judi. Sah! Memang si pemberi mesej ni dah tau siapa dia. Kalau tidak, takkan sampai beria-ia nak call segala? Mengenali tuan punya diri selama bertahun lamanya, memang sikapnya yang satu ini tak ramai yang boleh tahan dan sabar. Sikap curiositynya sememangnya terlalu tinggi. Walaupun dizikirkan dekat telinganya setiap hari, curiosity kill a cat. Tapinya, sesedap rasa dia saja menjawab - kucing ada sembilan nyawa. Makanya selama itulah dia akan terus tanya dan bertanya sampai jawapan yang diyakini dia terima.
Keluhan panjang dilepaskan seiring mata dipejam rapat. Puas sudah dia fikirkan dan ternyata sekarang dia sudah tak ada pilihan lain. Bila pelan A tak menjadi, baginya pelan Z harus dia jalankan secepat mungkin. Langsung nombor pada contactnya didail.
"Assalamualaikum. Mar. Yup. I'm ready. Yeah. Sure. Nanti kita lepak diskusi semula. Thank you, bro."
Usai saja panggilan ditamatkan, telefon bimbitnya langsung dimatikan. Sim card pada telefon dikeluarkan lalu puntung rokok di tangannya dicucuh pada sim card. Biar rosak terus. Jangan ada sisa.
Laci mejanya kemudian ditarik keluar lalu sepucuk surat yang sudah lama ditaip dikeluarkan. Kepalanya diangguk berkali-kali seakan-akan menyokong dirinya sendiri untuk yakin dengan keputusannya waktu itu.
Perlahan-lahan wajah muramnya bertukar senyum sesudah helaan panjang dilepas kasar.
"Welcome, Ian! Lets move on!" tuturnya perlahan sebelum bingkas bangun menuju ke arah pejabat.
Bab 1
"Ma, busy ke tu?" soalnya. Punggungnya dilabuhkan di atas recliner single sambil tersenyum ke arah mama yang sibuk melipat baju sambil menonton rancangan SIS yang dirakam terlebih dahulu.
"Ada buat appointment tak ni?" balas Mama tanpa memandang. Ian gelak besar.
"Hamboi. Kemain lagi sampai kena buat appointment segala. Tak ada appointmentlah, sis. Tak boleh walk in, ya?" usik Ian sebelum dapat hadiah jelingan mata helang daripada mama. Tak lama lepas tu kain pelekat miliknya pula menyusul melekat elok dekat mukanya hasil lemparan padu juga daripada mama.
"Perli, ya? Perli... Mama tahulah yang mama ni dah terlebih umur nak dipanggil sis tapi tak salahkan mama layan rancangan ni? Bagus tau. Banyak info yang mama boleh dapat. Nanti senang mama nak tulis dalam kriteria menantu pilihan mama. Gitu."
Awalnya Ian nak gelak tapi bila mama sebut pasal menantu, langsung keluhan dilepaskan. Menantu lagi! Tak habis-habis mama dengan topik klise dia tu. Tanpa dipinta tangannya laju sahaja melipat kain pelikat tadi.
"Kita bincang hal ni lain hari dan lain masa la ya, mama? Ada hal lebih penting daripada itu. Ian ada hal nak bagi tahu mama ni. Taaapi..."
"Ian dah jumpa calon? Siapa? Di mana? Anak siapa?" soal mama, teruja.
"Maaa... Ian belum habis cakap lagi. Kan awal tadi Ian dah buat disclaimer? Tiada kaitan antara hidup dan mati pasal jodoh ke calon ke..."
"Alaaa..." rungut Mama sambil terus melipat pakaian yang berbaki.
"Nanti-nantilah ya, ma? Jodoh Ian tengah mundar-mandir lagi tu. Belum dapat nur. Maybe dia masih awek orang ke... Tunang orang ke... Bini orang ke..."
"Mulut Ian ni kan. Isy, mintak dijauhkan. Biarlah dia sekarang girlfriend orang ke, tunang orang ke tapi minta dijauhkanlah bini orang. Ian... Ian..."
Ian senyum tipis bila maksud sebenar mamanya tadi baru dapat dicerna. Pantang betul mama kalau sebut pasal bini orang ni. Macamlah muka dia ada peratusan tinggi nak jadi perampas bini orang!
"Kalau dah jodoh..."
"Jodoh boleh dipilih, Ian. Bukannya mama paksa kamu pejam mata main sebat aje ambil sesiapa..."
"Ma. Ian serius ni, ma. Ian tak kesah kalau jodoh Ian Allah tentukan dengan bekas bini orang. Mama macam mana? Okey tak? Mama nak cepat ada cucu, kan? Ian cari yang dah ada anak sorang, okey?" soal Ian lagi dengan wajah kali ini sengaja diseriuskan. Terkebil-kebil mama dibuatnya mencari jawapan sebelum kepalanya digeleng perlahan.
"Ian nak cakap pasal apa tadi sebenarnya? Yang awal-awal tadi tu..." sambung mama.
Ian gelak kecil tanpa suara. Yes. Rancangan dia berjaya juga akhirnya. Itu aje cara paling mujarab nak hentikan mama daripada terus bercakap pasal jodoh. Caranya? Kita cakap pasal jodoh juga tapi versi annoying.
"Ian nak ke KL. Mama ikut, ya?!"
Bibir mama panjang senyumnya. Mama memang pantang sungguh kalau disebut aje dua huruf ni memang hilang terus mood merudum mama. Soal jodoh pun terbang hilang. K.L.
"Ian ada conference lagi macam tahun lepas, ya? Nak! Nak! Dah lama mama tak bau asap KL, marathon bayar tol tanpa henti. Best sangat!" balas mama teruja. Pecah tawa Ian dibuatnya. Jauh-jauh dari Perlis nak ke KL bau asap KL dengan bayar tol yang mama rindu? Alahai, mama ni...
"Bukan conference, ma. Ian nak terus duduk sana. Ian dah hantar surat resign awal bulan lepas."
"Resign?" soal mama dengan mata membuntang. Ian senyum, tidak menjawab.
"Kenapa? Kerja dekat sini tak okey ke? Ian tak bagi tahu pun yang Ian ada pergi interview dekat sana? Ke Ian kerja lagi dekat..."
Ian geleng perlahan seraya tersenyum.
"Tak, ma. Ian tak ada interview mana-mana pun. Kerja ni bidang baru tau, ma. Ian nak mulakan hidup baru. Kata orang, move on gitu."
"Bidang apa pula ni? Sekarang pun life Ian dah lain, kan? Bukan macam dulu dah. Apa lagi yang kurang? Kita bahagia kan duduk sini? Kenapa nak ke sana? Ian nak cari dia semula, ya?" soal mama dan mula menjurus ke arah dia.
Memek muka teruja mama pun berubah warna. Dari kerutan dahi dan terpeta 1001 kerisauan mama. Tak ada lagi seronoknya seperti tadi. Rasa teruja mama nak ke KL nampaknya dah hilang sama sekali bila usul nak berpindah ke KL dikhabarkan.
"Tak adalah, ma. Kalau Ian nak cari, dari dulu lagi dah Ian cari, ma. Ian sebenarnya dah lama dah niat nak cuba buat benda ni. Ian cuma tunggu masa yang sesuai aje," beritahu Ian, jujur. Tangan mama diraih dan digenggam biar mama tahu yang dia serius.
"Benda ni? Benda apa? Ian tolonglah jangan buat mama risau. Elok-elok dekat sini..."
"Ian dengan Mar nak buka bakers kafe, ma."
Muka mama langsung keras. Tak beriak. Mata tak berkerdip memandang wajah Ian yang tampak serius.
"Apa? Bakers? Kamu nak mencanai tepung pula? Allahu, apa lagi dugaan yang kau bagi pada aku ni, Ya Allah?"
"Maaa! Maaa!" panggil Ian seraya bangun bila mamanya dah terjelepok di tepi sofa.
Pitam.
YOU ARE READING
MAMAT DINGIN HATI RINDU
General FictionTajuk: Mamat Dingin Hati Rindu Penulis: Aifa Batrisya Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-2102-29-8 Muka Surat : 640 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2018 Selepas dikecewakan NAURAH TIHANI a.k.a HANI yang be...