Bab 10

1.4K 24 0
                                    

Ian tiba awal di KL Sentral. Tepat Pukul 6.45 petang, Smart Forfour milik Ammar yang dipinjamnya sudah parkir elok di ruang parkir. Saja dia datang awal sementelah memang fiil mama yang merupakan pesara guru bab masa ni kuat betul pantangnya. Lewat seminit pun mahu dekat sejam lebih dibebelnya nanti.

Makanya untuk menjamin kesihatan berterusan indera pendengarannya, baik dia datang awal. Laluan trafik dekat Kuala Lumpur bukannya boleh ditebak. Nak elak kesesakan jalan memanglah boleh ikut saranan Waze tapi ke lautlah perginya. Entah jalan mana dibawanya nanti yang mana akan makan masa. Kesimpulannya, baik gerak awal. Kurang-kurang dapat juga dia buat lawatan tapak. Lalu dekat mana-mana bakery ke cari idea sambil memerhati gelagat orang.

Turun saja lif dari ruang parkir bertingkat KL Sentral, Ian macam hilang dalam dunia sendiri. Terpinga-pinga dia melihat kawasan itu sekarang. Agaknya bila kali terakhir dia ke sini? Zaman universiti dulu kalau tak silap. Itu pun dek meneman Hani nak naik komuter sampai ke Serdang. Turun saja bas di Pudu Sentral, bergegas mereka berdua naik bas ke KL Sentral. Kalau ikutkan boleh saja Hani naik terus tren dari stesen Kuala Lumpur. Tapi akalnya nak berjalan ronda-ronda dulu. Nak tak nak, sebagai bodyguard tak berbayar Hani waktu itu terpaksa diturutkan.

"Eskalator ni ke mana pula dah?" bisik Ian perlahan. Terasa ketinggalan zaman betul dia waktu itu. Nampak sangat sebelum ni dia jarang ambil tahu atau pun keluar berjimba. Asyik fikirkan kerja dan Hani.

Ah, nama tu lagi! Hani, Hani. Katanya nak move on tapi dah kenapa asyik nama dia yang dok sebut kebelakangan ini. Pergi sana nama dia, pergi sini nama dia. Agaknya Malaysia dah tak sesuai untuk konsep move on? Kena migrasi? Singapore? Aussie? Ah, Kos lagi!

Jam di tangan dikerling sekilas. Alahai baru 6.55 petang! Tren mama pula dijadualkan sampai 7.30 malam. Nak buat apa, ya? Sekali lagi matanya menerawang pandang ke arah sekeliling. Hmmm. Kalau dia naik eskalator ke bangunan sebelah lepas tu sesat? Naya, oi! Lagi pun dah janji dengan mama nak tunggu betul-betul depan tempat keluar. Ah, lain kali ajelah buat lawatan tapak. Baik layan Burger King!

Kebetulan sangat ada meja kosong dekat hujung restoran makan segera itu. Meja lain? Full house! Dan di meja single sebelahnya seperti dia, seorang gadis rambut berwarna dengan solekan tebal hanya minum jus oren dan kentang goreng. Diet barangkali.

"Yeobosayo? (hello?)"

Gigitan burger Ian terhenti seketika. Terkebil-kebil mata sambil telinga dipasang, mencuri dengar tapi tak faham butir. Dari hujung mata dia curi pandang ke arah meja sebelah. Foreigners ke? Kemain lagi rambut perang, skirt paras paha yang menampakkan pahanya yang kebetulan dipakaikan stoking jaring-jaring hitam. Perghhh! Memang berani mati makhluk ni!

"Mueolago hasyeosseoyo? (Apa dia?)"

Ian tersengih. Tadi sayur, sekarang pun sayur. Bahasa apa ni? Ini Jepun ke China ke atau Korea? Sekali lagi hujung matanya menjeling.

"Mian hamnida... Ihaega jal andoeyo. (Maafkan saya, saya tak faham.)"

Kali ini Ian hanya jongket bahu sambil meneruskan gigitan pada burgernya. Nak curi dengar pun buat apa? Bukannya dia faham. Yang jelas di telinganya cuma sayur, sayur dan sayur.

"Alaaa... Ekau ni... Biarlah dehhh buek cam tu... sportinglah sikit."

Ian rasa burger yang dikunyah tersekat di kerongkong. Laju saja matanya membulat ke arah meja sebelah. Dah kenapa? Rembau most wanted ke rupanya? Dressing kemain! Ian gelak dalam hati berdekah-dekah. Macam-macam hal la!

"Diamlah kau, teh. Ado ni aaa. Dokek KL la. Mano laie. Nunggu bakal mentuo ni hah..."

Baru nak sedut air dari straw, tercekik air pula dia dibuatnya. Mata tak jadi nak berkelip buat beberapa ketika. Laju saja dikalih ke kanan sebelum pandang semula ke arah hadapan. Ini? Dressing nak tunggu mentua? Failed! Kalau mamalah, mesti dia dah pitam bangun semula berkali-kali.

MAMAT DINGIN HATI RINDUWhere stories live. Discover now