Bersuamikan Hantu Raya

848 23 1
                                    


Tanpa bertangguh-tangguh lagi datuk pun menceritakan, apa yang kami alami dalam hutan Ulu Kinta pada orang-orang kampung Ulu Kinta yang menanti kami di depan Balai Polis Tanjung Rambutan.Saya tidak melibatkan diri ketika datuk bercerita. Saya lebih senang duduk di pangkal pokok kelapa di rusuk kanan balai tersebut. Balai itu kini sudah dirobohkan, digantikan dengan bangunan yang baru.
"Pelik juga ceritanya, betul ke ni?" Saya terdengar salah seorang daripada orang kampung itu bersuara. Sepasang mata datuk merenung tepat ke arah batang hidung orang itu.
"Terpulanglah pada awak, sama ada awak mahu percaya atau tidak, saya dan cucu sudah merasa dan mengalaminya."
"Apa yang orang tu berikan pada awak."
"Beri apa? Awak gila ke." Suara datuk mula meninggi dan orang itu terus diam.
Seorang anggota polis menghampiri kumpulan orang yang mengerumi datuk lalu bertanyakannya: "Apa halnya ni."
"Orang hilang ni dah jumpa di sini," seorang lelaki berbadan tegap memberitahu anggota polis yang sudah berusia hampir lima puluh tahun itu. Tanpa diminta datuk pun menceritakan apa yang dialaminya pada anggota polis itu.
Kemudian anggota polis itu mengakui apa yang dialami oleh datuk itu pernah dialami oleh beberapa orang penduduk di sekitar Tanjung Rambutan yang pergi memburu ke kawasan itu.

"Tapi, saya belum pernah bertemu dengannya," suara anggota polis itu merendah. Menurutnya, dalam waktu-waktu tertentu lelaki berserban hijau itu pernah muncul di Market Tanjung Rambutan. Anehnya, dia hanya bersalam saja dengan siapa yang disukainya, bila orang yang disalami mahu bertanya sesuatu padanya dia akan hilang dengan sekelip mata sahaja.

"Bagi saya perkara ni, sudah jadi perkara biasa," anggota polis itu menamatkan ceritanya dengan datuk. Datuk tidak puas hati dengan apa yang dicakapkan oleh anggota polis itu.

"Biasa macam mana?"™ Datuk mendesak Anggota polis yang mahu melangkah masuk ke dalam balai berpatah balik.

Dia berdiri betul-betul di depan datuk. Matanya cukup tajam menyorot wajah datuk kemudian dia senyum sinis.

"Awak orang luar, mana awak tahu." Termenung sejenak datuk mendengar cakap anggota polis itu.

"Memang, saya bukan orang di sini, tentulah banyak perkara yang tidak saya tahu."datuk merendah diri.

"Saya orang Tambun, saya tahu serba sedikit tentang orang yang awak kata itu."

"Itulah yang mahu saya dengar."

"Begini, orang itu namanya Haji Lokman. Masa zaman Jepun dulu, dia membunuh tiga orang askar Jepun di Pekan Tambun."

"Sebabnya?"

"Dia tak tahan melihat penyiksaan yang dilakukan oleh askar-askar Jepun pada orang kampung."

"Jepun tak tangkap dia?" soal datuk lagi.

Anggota polis yang berbadan tegap itu memicit pangkal dagunya sambil mengkerutkan kening lebatnya.

"Jepun cuba menangkapnya tapi tidak berjaya. Akhirnya dia ditangkap ketika menunaikan sembahyang Zohur. Dia dikurung, pada sebelum malamnya dia berjaya melepaskan diri, sejak itu dia tidak pulang ke rumahnya."

"Agaknya dia dibunuh Jepun, cerita dia melepaskan diri waktu malam tu sengaja diada-adakan," celah datuk.

"Itulah yang anehnya, nak dikatakan mati, orang selalu berjumpa dengannya. Kalau dia hidup apa faedahnya menyiksa diri dalam hutan meninggalkan anak bini."

"Betul juga cakap awak tu."

"Tapi awak jumpa dia bukan?" soal anggota polis itu. Datuk angguk kepala.

"Lupakan saja perkara itu," tambah anggota polis itu sambil meninggalkan datuk, Orang-orang dari Ulu Kuang yang berhimpun di situ berpandangan sama sendiri.

"Sudah, anggaplah ini pengalam yang berharga untuk awak, sama ada orang mahu percaya atau tidak itu bukan soalnya, tapi awak sudah melihat dan bercakpa dengannya," salah seorang penduduk Kampung Ulu Kuang membisikan ke telinga datuk.

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 1 )Where stories live. Discover now