Roh Bayi Mencari Ibu

655 27 0
                                    

Datuk menggigit bibir. Sepasang matanya berpaut pada wajah Norlin yang kelihatan cemas itu. Dari wajah Norlin, mata datuk beralih ke wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.

"Mahu halau siapa? Tidak ada seorang pun yang masuk ke sini?", ulang datuk dengan nada suara yang cukup lembut.

"Ada. Dia selalu ganggu saya, kalau diusir diaaaa...", dan Norlin terus menghentak-hentakkan kaki ke lantai sambil meronta-ronta. Ibunya terus memeluk dengan erat dan kemas. Datuk terdiam, tidak tahu apa yang harus di buatnya. Suara bising di bilik atas membangunkan Pak Ayub Naim dan isterinya yang tidur di bilik bawah. Mereka naik ke bilik Norlin. Waktu Pak Ayub dan isterinya sampai, Norbaya sedang menyapu peluh yang tumbuh di dahi Norlin. Isteri Pak Ayub Naim terus bertanya:

"Apa yang dah jadi Norlin?"

"Saya takut makcik", suara Norlin terketar-ketar. Kemudian Norbaya memberitahu isteri Pak Ayub Naim bahawa kakaknya seperti melihat sesuatu di luar bilik mahu mengacaunya. Norbaya terus membaca ayat-ayat suci, tiba-tiba dia mendapati Norlin jatuh pengsan.

"Badannya terus jadi panas makcik", ujar Norbaya. Isteri Pak Ayub Naim resah dan berkata pada suaminya:

"Apa yang harus kita buat?" Pak Ayub Naim terdiam. Dia berjalan berpusing-pusing di hadapan Tok Kaya Sendi Diraja lalu berhenti di hadapan datuk.

"Norlin diganggu oleh sesuatu. Setahu aku, penjaga rumah tua ni tidak akan membuat kacau, apa lagi terhadap keluarga Tok Kaya", tutur Pak Ayub Naim. Mukanya merenung muka datuk dan Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub terus menyambung:

"Kalau pun dia menampakkan dirinya, itu sebagai tanda salam perkenalan.

Isteri Pak Ayub Naim secara tiba-tiba berdiri. Matanya mula merah merenung ke wajah Norlin.

"Sama ada salam perkenalan atau tidak, dia tetap syaitan. Saya tahu setiap kali Norlin cuti dia jadi korban", nada suara isteri Pak Ayub Naim cukup keras. Semua yang ada dalam bilik itu berpandangan sesama sendiri.

"Kita harus mengatasi masalah ini. Saya tak mahu anak saya jadi korban", kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja.

"Siapa orangnya boleh menolong kita?", sahut Pak Ayub Naim. Pertanyaan Pak Ayub Naim tidak mendapat jawapan. Datuk terus bercakap sesuatu dengan Tok Kaya Sendi Diraja. Kemudian Tok Kaya Sendi Diraja pula membisikkan sesuatu ke telinga Pak Ayub Naim.

"Baik", tiba-tiba suara Pak Ayub Naim meninggi lalu keluar dari bilik.
Sepuluh minit kemudian Pak Ayub Naim masuk ke bilik dengan membawa air dalam mangkuk putih.

"Berikan padanya", ujar Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub Naim meletakkan mangkuk putih berisi air di hadapan datuk. Datuk memasukkan separuh jari hantunya kedalam mangkuk putih.

"Ambil air ini dan sapukan ke mukanya", beritahu datuk pada isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Perintah datuk segera dilakukan. Bila jari jemari isteri Tok Kaya Sendi Diraja menyapu air ke muka Norlin, saya lihat Norlin lemah dan terus terlena.

Norlin pun diletakkan ke atas katil dengan di temani oleh ibunya. Tok Kaya Sendi Diraja, datuk dan Pak Ayub Naim keluar dari situ dan terus menuju ke bilik saya dan datuk menginap. Mereka berbincang panjang. Datuk dengan rasa rendah hati ingin membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh keluarga Tok Kaya Sendi Diraja.

"Saya sekadar mencuba. Sama ada jadi atau tidak terletak pada kuasa Allah. Kalau Allah memberkati, kita akan berjaya", ujar datuk.

"Saya faham", sahut Tok Kaya Sendi Diraja.

"Mencuba apa salahnya", celah Pak Ayub Naim pula. Akhirnya mereka pun berpisah.

Esoknya Norlin terus jatuh sakit. Tubuhnya sekejap panas, sekejap sejuk. Datuk tidak melakukan sesuatu pada sebelah paginya bagi mengubati sakit Norlin. Menurut datuk Norlin demam kerana lemah semangat. Pada sebelah petangnya, baru datuk memulakan tugasnya. ltupun sesudah membuat beberapa persiapan rapi di biliknya. Datuk meminta izin pada Tok Kaya Sendi Diraja untuk masuk ke bilik Norlin.

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 1 )Where stories live. Discover now