Memburu Raja Pukau

761 28 2
                                    


Datuk mengambil keputusan untuk pulang saja ke perkampungan orang asli. Bah Lanjut tidak membantah dengan keputusan yang di buat oleh datuk itu. Kami meredah hutan untuk pulang. Kami sampai di perkampungan orang asli ketika bulan sudah berada di pucuk tualang bercabang lima. Malam itu datuk tidak dapat tidur dengan lelap. Dia selalu saja terjaga dan datuk akan melompat ke halaman dan berjalan sambil mengelilingi pondok. Saya mempersetankan saja telatah datuk itu.

Bila datuk selesai sembahyang subuh, dia membakar sehelai kain buruk vang baunya cukup wangi. Datuk hanya membakar sebahagian saja dari kain buruk itu. Dan abunya datuk isikan dalam buluh yang beruas pendek. Buluh itu datuk letakkan di hujung bendul pokok.

Bila matahari mula kembang di kaki langit, Bah Lanjut sudah terpaku di halaman pondok. Dia memberitahu datuk, bahawa sepanjang malam anak buahnya berjaga makhluk ganjil berbulu tebal tidak datang mengacau anak dara di tempatnya. Bah Lanjut mengucapkan ribuan terima kasih pada datuk. Dia yakin, datuk telah melakukan sesuatu untuk keselamatan anak buahnya.

"Itu cara kebetulan saja tok batin," kata datuk.

"Kita tak percaya, awak memang handal."

"Terpulanglah pada tok batin sendiri," jawab datuk sambil tersenyum lalu merapati Bah Lanjut.

Datuk berbincang sesuatu dengan Bah Lanjut. Kemudian datuk naik ke pondok lalu menghampiri saya.

"Ke mana?" balas saya agak ragu.

Datuk merenung muka saya dengan renungan yang cukup tajam. Datuk ambil kain selimpang lalu turun. Saya termanggu tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Akhirnya, saya juga melompat turun kehalaman. Saya renung muka Bah Lanjut mengajukan pertanyaan.

"Biarkan dia, kalau dia nak ikut siap," jawapan itu bukan saja ditujukan oleh datuk pada Bah Lanjut, malah ditujukan juga pada diri saya. Fahamlah saya, bahawa mereka mahu menjejak makhluk yang berburu tebal itu.

Sebelum panas terik mencengkam perkampungan orang asli, kami pun berangkat menuju ke gua tempat makhluk ganjil menghilangkan diri.
Sampai saja di hadapan pintu gua, datuk dan Bah Lanjut terus duduk di situ. Saya menyapu peluh di muka dengan tapak tangan. Waktu saya menoleh ke kiri, saya lihat datuk sudahpun duduk bersila sambil membentangkan kain hitam atas tanah. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Datuk bangun, berjalan di depan pintu gua tiga kali.

"Kita masuk," kata datuk sambil menjeling ke muka Bah Lanjut. Saya lihat wajah Bah Lanjut agak cemas.

"Ini kerja mati," Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam hati saya. Dia rapat pada saya lalu menjentik telinga saya,

"Kau jangan banyak kerenah," cukup lembut nada suaranya memukul gendang telinga saya, tetapi mempunyai kesan yang amat pahit bagi diri saya.

"Sediakan mancis," datuk memberitahu Bah Lanjut lalu menyerahkan segumpal kain buruk pada saya. Datuk melangkah ke dalam gua. Bah Lanjut dan saya mengekor dari belakang. Memang sukar berjalan dalam gua yang agak gelap itu. Akhirnya kami sampai ke satu kawasan lapang. Kiri kanan kawasan itu didinding oleh batu pejal. Disudut sebelah kanan, terdapat satu lagi lubang gua yang lain.

"Kita berada betul-betul di tengah antara dua gunung," beritahu datuk pada saya. Bah Lanjut angguk kepala. Dari kawasan lapang itu, saya dapat melihat awan dan langit. Sekiranya berlaku hujan kami pasti basah, kalau masuk ke dalam perut gua. Menurut datuk keadaan seperti itu memang terdapat dalam kebanyakan gua di Malaysia.

Tiba-tiba kami terdengar bunyi sesuatu, saya pun merenung ke atas, terdapat seekor ular hitam menyusur perhalan-Iahan pada akar-akar kayu yang berjuntaian di lurah gunung itu. Ular itu terus bergerak dan berpaut pada sebatang pokok kecil yang tumbuh di tepi lurah.

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 1 )Where stories live. Discover now