Datuk tersenyum memandang saya. Dengan pertolongan cahaya bulan yang samar-samar itu, saya lihat ketua pukau terus berdiri dekat tengkorak kering. Tengkorak itu masih juga mengeluarkan buih dan sejenis habuk seakan-akan asap. Menurut datuk, tengkorak itu diambil dari tengkorak orang mati dibunuh, ketika hujan panas.
Lebih berkesan lagi kalau tengkorak itu dari tengkorak orang yang mati kena tikam. Tidak kira, sama ada orang yang mati itu orang Islam atau tidak. Mengambil tengkorak orang yang mati dibunuh itu , harus melalui beberapa ujian yang tertentu.
Bila tengkorak itu diambil dari tanah perkuburan, harus dipisahkan dengan badannya, tengkorak yang sudah di pisahkan dengan badan itu tidak boleh menyentuh tanah atau dipegang. Mesti dibawa pulang dengan mengandarnya.Orang yang mengandarnya mesti ditutup kedua matanya dengan kain. Mesti sampai ke rumah sebelum subuh. Tengkorak itu akan disalai sampai kecut, kemudian dipuja oleh orang-orang yang tahu dengan kerja-kerja syaitan itu. Lepas itu baru diserahkan pada orang yang memerlukannya dengan syarat, bila memasuki rumah orang, tuan rumah jangan dianayai, kecuali tuan rumah itu bercakap besar atau takbur dan mahu menguji kebolehan orang yang menyimpan tengkorak tersebut.
"Sebenamya, ilmu pukau ini ada bermacam-macam cara, tetapi memukau dengan tengkorak cukup berkesan. Kekuatan ghaibnya mengatasi ilmu-ilmu pukau yang lain", begitulah yang dinyatakan oleh datuk pada saya secara ringkas.
"Lihat mereka sudah bersedia untuk masuk ke dalam rumah," kata datuk dengan nada suara yang cukup perlahan. Memang benar cakap datuk itu, saya lihat ketua pukau dua tiga kali berjalan di hadapan anak tangga. Dia memerintah anak buahnya memijak anak tangga pertama dengan hati-hati.
Saya terdengar selak pintu jatuh. Serentak dengan itu daun pintu terbuka. Tuan rumah tercegat dan mempersilakan kaki-kaki pukau memijak lantai rumahnya .
"Kau tidurlah, kami tak ganggu kau", cukup lantang suara ketua pukau. Tuan rumah angguk kepala lalu merebahkan diri di muka pintu.
"Bukan di situ, tempat kau dibilik", mendengar suara ketua pukau, tuan rumah segera bangun dan menuju ke bilik tidur. Ketua pukau mengambil tengkorak lalu melekapkan pada hujung gelegar rumah dekat tiang seri. Dia bagaikan bercakap sesuatu dengan tengkorak tersebut. Ketua pukau ketuk dinding rumah tiga kali berturut sambil berkata:
"Mulakan. Ingat niat kita hanya mengambil barang, jangan ganggu anak isteri tuan rumah."
Habis saja ketua pukau berkata-kata, seluruh perut rumah terang benderang. Anak buah ketua pukau pun masuk ke rumah. Mereka mencari barang-barang berharga. Lebih dari setengah jam mereka menjalankan kerja tersebut. Anak buah ketua pukau menurunkan barang yang dicuri. Semua barang-barang itu diserahkan pada ketuanya. Saya lihat ketua pukau memasukkan barang-barang kemas dalam beg kulit hitam, kemudian menghitung wang yang dicuri.
"Dah selesai?" tanyanya pada anak buah.
"Ambil daun tujuh helai dan ranting berkapit dua", ketua pukau memberitahu anak buahnya. Perintah itu segera dipatuhi oleh anak buahnya. Daun dan ranting berkepit dua lalu diletakkan di bawah rumah. Ketua pukau lagi sekali berhadapan dengan tengkorak kecut. Dia bercakap sesuatu di situ.
"Apakah yang mesti kita buat sekarang tok", saya menyoal datuk bila melihat ketua pukau dan anak buahnya meninggalkan kawasan rumah yang di curi.
"Biarlah mereka pergi", pendek saja datuk memberikan jawapan.
Bila kumpulan itu sudah pergi jauh dan datuk yakin jentera kereta kumpulan pukau sudah dihidupkan dan kereta mereka sudah bergerak, datuk pun mengambil ranting berkepit dua dan sehelai daun di bawah rumah. Semua benda-benda itu datuk bawa pulang ke pondoknya.
Sebaik sahaja datuk sampai ke pondok, dia segera menyalakan pelita dan menghidupkan bara api di tempatnya. Daun yang sehelai itu dilayarkan ke api pelita, manakala ranting berkapit dua dipatah-patahkan lalu ditaruh kedalam tempat bara api.