Dan Wansi segera bangun. Datuk juga begitu. Dalam beberapa saat saja lelaki itu hilang dari penglihatan datuk dan Wansi. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan Latifah yang cukup keras dan nyaring. Datuk dan Wansi segera masuk ke dalam bilik Latifah.Latifah Berguling-guling atas lantai, kedua belah tangannya memegang batang leher. Matanya kelihatan merah. Haji Azhar dan isterinya tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada menangis. Wansi segera memegang pergelangan kaki kiri Latifah. Ditekannya dengan sekuat hati atas lantai. Jeritan Latifah berhenti dan tidak lagi berguling-guling atau meronta-ronta. Wansi menyuruh Haji Azhar mengangkat anaknya ke atas tilam. Datuk rapat kepada Wansi dan mendengar dengan tiliti apa yang dicakapkan oleh Wansi padanya. Dtuk keluar dari bilik untuk beberapa minit. Masuk kembali dengan kain hitam terselipang di bahu. Wansi menyambar kain hitam itu lalu melibas ke badan Latifah tiga kali berturut-turut.
Datuk duduk di hujung kepala Latifah. Dia membaca sesuatu. Tiga kali dahi Latifah ditamparnya dengan belakang tangan. Latifah bangun dan terus duduk.
"Apa yang kau nampak nak?" tanya Wansi.
"Orang hitam mengajak saya keluar," sura Latifah merendah.
"Lagi apa yang dibuatnya pada kau," sanggah datuk.
"Dia lari dengan tiba-tiba," jawab Latifah tenang.
Wansi terdiam seketika. Dia meminta pensel dan kertas. Bila kertas dan pensel sudah ada di tangannya. Dia menulis sepotong ayat al-Quran. Kertas yang sudah ditulisnya itu diserahkan pada Haji Azhar.
"Bacalah ayat ini, ke telinga Latifah bila dia agak resah. Dan kau harus mengamalkannya," ujar Wansi.
"Caranya?" tanya Haji Azhar.
"Baca seratus kali selepas kau sembahyang yang lima waktu, bila dia sebati dengan dirimu, banyak faedahnya. Untuk menghalau hantu syaitan." Cukup lebut nada suara Wansi. Serentak dengan itu dia menyerahkan sebatang besi pendek yang berbentuk tulang. Menurut Wansi besi itu adalah besi tulang lengan mawas.
"Besi ni saya tinggalkan pada awak untuk tiga minggu, lepas tu saya ambil balik," tambah Wansi. Besi tulang mawas bertukar tangan dari Wansi ke tangan Haji Azhar.
"Untuk apa?"
"Untuk mengubat penyakit anak kau," sahut datuk.
"Kalau dalam tempoh tiga minggu, anak saya tak baik macam mana?"
"Dengan pertolongan Allah anak kau akan baik. Percayalah, dengan syarat selama tiga minggu, jangan beri sesiapa menemui Latifah, kecuali kau dan emaknya," Wansi memberikan sebuah keyakinan dan harapan pada Haji Azhar.
Haji Azhar tersenyum. Sebelum meninggalkan bilik Latifah Wansi berpesan pada Haji Azhar supaya mengunci bilik dari dalam. Dan jangan memperhiraukan dengan apa yang berlaku di luar. Haji Azhar angguk kepala.
Rumah Haji Azhar cukup besar. Ada lapan bilik di dalamnya. Jarak bilik Latifah dengan anjung rumah memang agak jauh juga jaraknya. Pada mulanya Haji Azhar menawarkan dua bilik penginapan untuk kami, tetapi datuk dan Wansi menolak dengan alasan tidur di anjung lebih baik. Tidak panas serta mudah menjalankan kerja-kerja untuk mengubati Latifah.
Saya resah tidak menentu. Dua tiga kali saya memejamkan mata. Saya tidak juga mahu tidur. Lampu gasolin sudah lama dipadamkan. Digantikan dengan lampu minyak tanah sengaja dipendekkan oleh datuk. Cahayanya sekadar cukup menerangi wajah datuk dan Wansi, tetapi lingkaran cahaya lampu itu sampai juga ke muka saya, agaknya kerana itulah saya tidak dapat tidur.
Saya merenung ke arah datuk dan Wansi. Mereka sedang membalut rokok daun sambil bercakap sesuatu. Saya mula terdengar kokok ayam bertalu-talu, saya kira sudah hampir pukul dua malam. Dugaan saya tepat sekali. Tidak lama lepas itu, terdengar bunyi jam loceng Haji Azhar berbunyi dua kali berturut-turut.