Sudah seminggu Hari Raya berlalu, tapi rumah datuk tetap sibuk dengan anak cucu yang datang berhari raya ke rumahnya, pada malam 27 likur yang lalu, datuk turut sama memasang lampu di halaman rumah dengan anak cucu. Datuk membelikan mercun untuk anak cucunya. Sesungguhnya, datuk amat menyayangi semua anak cucunya dan memang menjadi kebiasaan dalam hidup datuk, pada Hari Raya pertama dia akan mungumpulkan anak cucunya di anjung rumah, makan lemang dan rendang bersama anak cucu, kemudian akan mengepalai anak cucunya pergi ke masjid untuk sembahyang Hari Raya.
Lepas itu, datuk akan mengajak semua anak cucunya pergi ke tanah kubur menzdiarahi kubur nenek moyang yang sudah pergi, datuk pun menunjukkan kubur datuk nenek pada anak cucu sambil menyebut keistimewaan datuk nenek masa ada hayatnya dulu. Dalam suasana yang sibuk itu, tiba-tiba datuk menghilangkan diri. Tidak ada siapa yang tahu ke mana datuk pergi. Bila salah seorang cucu mengesyorkan supaya kehilangkan datuk itu dilaporkan pada pihak polis, nenek dengan tenang bersuara :
"Usah bimbang, dia akan balik dalam sehari dua ini."
"Dia berhari raya ke rumah yang lagi satu." Jawapan nenek itu, menghilangkan keraguan anak cucu.Nenek pun menceritakan pada anak cucu, sepanjang bulan puasa yang lalu, datuk tidak pergi turun memburu, dia banyak menghabiskan masanya di kampung orang bunian, bersama isteri barunya, setiap kali datuk pulang, dia membawa buah tangan untuk nenek yang dibekalkan oleh orang bunian. Sebagai isteri yang setdia, nenek tidak pernah bertanya tentang isteri muda datuk. Nenek tahu, kalau ditanya dan disoal jawab nanti datuk naik darah, akibatnya akan berlaku pertengkaran, kalau sudah bertengkar nanti mudah masam muka. Kalau ini terjadi tentulah tidak elok. Malu pada anak menantu dan cucu cicit. Demi menjaga kerukunan rumahtangga dan anak menantu ada baiknya perkara itu dibiarkan. Itulah pendapat nenek. Dia merasa bersyukur pada Tuhan, kalau datuk sihat dan boleh makan dengan baik, itu sudah cukup, bagi nenek kalau dia kasihkan datuk sepenuh hati pun tidak ada gunanya, satu hari, salah seorang daripada mereka akan berpisah juga atas kehendak Allah yang maha besar.
Barang kali esok atau lusa dia akan meninggalkan datuk, bila nyawa miliknya diambil oleh Tuhan, begitu juga dengan datuk, tidak ada yang abadi di dunia ini melainkan Allah yang maha bijaksana. Nenek menghitung semuanya ini, kerana itu dia tetap bersikap tenang dan senang ke atas apa yang terjadi pada diri datuk. Akhirnya anak cucu datuk yang berkumpul di rumah terpaksa meninggalkan rumah datuk kerana urusan diri masing-masing. Ada yang sudah bekerja sendiri dan tidak kurang pula yang makan gaji. Kereta yang bersusun di depan rumah datuk, sebuah demi sebuah meninggalkan halaman rumah datuk, pulang ke tempat masing-masing. Nenek berpeluk-peluk dengan anak cucu sambil mendoakan keselamatan mereka semasa dalam perjalanan. Nenek berharap pada Hari Raya tahun depan anak cucu akan kembali ke kampung.
Cuma yang nenek terkilan hanya satu sahaja, diaitu semasa kereta anak cucunya bergerak, datuk tidak dapat melambaikan tangan. Datuk tidak dapat memeluk anak cucu dengan penuh mesra. Mengingatkan ini semua nenek jadi sayu, perasaannya cukup hiba.
"Sampaikan salam pada datuk," kata Ahmad Zaki cucu datuk yang kedua belas. Matanya merenung muka nenek.
"Boleh, jangan bimbang," nenek memberikan pengakuan. Ahmad Zaki yang lewat sekali meninggalkan rumah datuk. Dia bertugas sebagai guru mengajar di Sekolah Menengah Dr Burhanuddin di Taiping. Bila semua anak cucu sudah pergi, nenek kembali dengan kerjanya membelah pokok sirih di belakang rumah, melihat ayam yang bertelur di reban serta memetik kacang panjang. Kalau diikut kata hati, nenek mahu sahaja mengikut salah seorang dari anak cucunya. Duduk sama mereka. Tidak guna kalau duduk rumah sendiri sedangkan suami selalu sahaja meninggalkannya.
Bila nenek mengkaji semula hal ini dengan sedalam-dalamnya, Dia tidak rela meninggalkan datuk. Da mengira semua yang terjadi atas dirinya adalah atas kehendak Tuhan yang maha besar. Sudah tiga jam anak cucunya pergi, tapi telinga nenek masih dapat mendengar suara anak cucu, bagaikan terbayang tingkah kalu anak cucu di depan matanya. Nenek tidak tahu pukul berapa anak cucunya pergi meninggalkannya yang pasti masa anak cucunya pergi tadi matahari baru naik segalah, tapi sekarang matahari sudahpun berada di pucuk kelapa.