Kalaulah bukan datuk yang mengejutkan saya di tengah malam buta itu sudah pasti kena penendang sulung saya. Kerana datuk, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Terpaksa saya terima dengan manis muka, mestipun hati meradang dengan perbuatannya.
"Kenapa tok?" tanya saya sambil mengesel-gesel kelopak mata. Datuk tersenyum sambil meraba-raba misai bengkoknya yang macam tanduk seladang jantan. Sekali-kali misainya turut bergerak.
"Kita sudah hampir pada matlamatnya."
"Matlamat apa tuk?"
"Mencari orang yang jadi tuan toyol."
"Kalau kau faham baguslah."
Datuk merebahkan badannya di sisi saya. Memang saya tidak sedar waktu mana datuk bangun. Bila saya buka kelopak mata, datuk sudah sudahpun selesai sembahyang subuh. Dia memaksa saya pergi ke perigi sendirian untuk mengambil air sembahyang. Saya patuh dengan cakapnya itu.
Datuk tidak dapat dapat melupakan kebiasaannya berjalan berbatu-batu sambil membasuh muka dan badannya dengan air embun waktu pagi. Datuk pula tidak mengambil semua air embun di daun kayu untuk membasuh muka dan badannya. Dia memilih jenis daun yang tidak miang atau gatal. Cara dia menyapu air ke muka juga agak ganjil. Dia memulakan dari pangkal dagu membawa ke atas hingga sampai ke gigi rambut. Kemudian baru dia membasuh kedua belah keningnya. Paling akhir sekali dilakukannya ialah memasukkan air ke dalam lubang hidung hingga bersin.
Kemudian datuk akan memijak rumput hijau tujuh kali ke arah matahari naik dan enam langkah ke arah matahari jatuh. Kebiasaannya itu, dibuatnya juga semasa dia berada di Ulu Kuang dekat Chemor, apa yang datuk lakukan saya terpaksa membuatnya dan datuk berjanji, pada suatu hari kelak, bila umur saya genap dua puluh satu tahun dia akan memberi beberapa mentera yang perlu dibaca bila mandiair embun.
Pagi itu, berjalanlah saya bersama datuk di pinggir Kampung Ulu Kuang sambil mandi air embun. Saya terasa seronok melihat matahari pagi dengan sinar yang kilau-kilauan di celah-celah pokok besar. Bila sinar matahari itu menikam air embun di hujung daun, kelihatan bermanik-manik dan sungguh menarik sekali.
Damai dan terhibur hati saya mendengan bunyi kicau beburung hutan yang bermacam ragam dan bermacam rupa yang terbang dan melompat dari dahan ke dahan. Sambil berjalan datuk memberitahu nama-nama burung yang saya nampak. Bilan matahari mula meninggi satu galah, saya dan datuk sudah jauh meninggalkan pinggir Kampung Ulu Kuang. Kami memasuki satu lorong kecil menuju ke arah sebuah anak bukit. Di kaki bukit itu ternampak sebuah pokok berdinding tepas dan beratapkan daun rumbia. Tiangnya dari kayu hutan jenis bulat. Dalam jarak lima puluh langkah mahu sampai ke halaman pondok itu datuk berhenti berjalan.
"Kenapa datuk?" tanya saya ragu-ragu. Datuk diam, kedua belah tangannya dilekapkan atas dada. Kedua belah kelopak matanya dirapatkan. Datuk melangkah tujuh tapak ke depandan berdiri atas kedua belah tumit kakinya beberapa detik. Bila mata dibuka dan kedua belah tangan diluruskan serta tapak kaki memijak bumi, datuk kelihatan tersenyum.
"Memang tidak salah penglihatan aku malam tadi, cahaya dari tanah kubur itu menuju ke sini, "dengan tenang datuk bersuara. Saya jadi termanggu-manggu.
"Kita balik, kalu kita maju, kita bahaya," datuk pun menarik tangan saya. Kami berpatah balik menuju ke rumah adik datuk.
Sepanjang jalan pulang itu datuk tidak banyak bercakap. Dia lebih banyak memerhatikan gerak geri rumput dan dedaun. Saya faham benar, bila datuk berbuat demikian ertinya dia menumpukan seluruh perhatinnya pada sesuatu benda yang tidak dapat dijangka oleh akal fikiran manusia biasa. Saya kira, fikiran dan perasaannya tertumpu ke satu alam yang lain.
Saya tidak berani bertanya padanya tentang hal itu. Saya takut dia naik angin. Kalau datuk naik angin, saya kena maki dengan percuma. Kalau datuk tidak maki, dia akan menjegilkan biji matanya sebesar telur ayam hutan."Jauh berjalan pagi ni," soal adik datuk sebaik saja kami tiba di kaki tangga. Dia baru saja melepaskan ayam di reban. Saya tidak menjawab kecuali tersenyum panjang.
"Macam biasa," balas datuk. Kami terus membasuh kaki dan memijak tangga naik ke rumah.
Di rumah tengah rumah sudah tersedia sarapan. Air kopi pekat dan rebus ubi kayu serta kelapa parut.
"Rumah siapa dekat belukar tu," datuk mengkemukakan soalan. Adik datuk terdiam mengingati sesuatu.
"Rumah Kidon."