Diresapi Semangat Monyet

835 23 0
                                    


Langit di Batu Enam Belas Jalan Tapah-Cameron Highlands malam itu cukup cerah. Bah Lanjut dan datuk terus berjaga di pangkal pokok Jelutung patah dahan. Saya terus mencampakkan dahan dan ranting kayu ke dalam unggun api di belakang pondok. Bahang dari unggun itu menghilangkan rasa dingin yang menyelimut tubuh saya. Sesekali terdengar bunyi dahan kayu berlaga sesama sendiri, dirempuh angin malam, lalu melahirkan satu nada irama yang memanjang. Embun jantan mula menitik atas kepala saya.

"Sudah dinihari," keluh datuk. Bah Lanjut angguk kepala.

Matanya merenung tajam ke arah hutan tebal di sebelah kanan pondok. Saya terus mencampakkan puntung-puntung kayu ke dalam unggun, bila puntung kayu berada di dalam anggun api, ia kelihatan marak dan bunga api berterbangan ke udara. Saya kira sudah pukul dua lebih. Suara binatang buas terdengar sayup-sayup di kaki bukit. Saya lihat datuk tertidur di pangkal pokok Jelutung. Bah Lanjut terus bergerak ke hulu ke hilir sambil memaut golok di pinggang. Saya tidak memperdulikan mereka.

Tiba-tiba saya terasa kelopak mata cukup berat. Lepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku, bila saya membuka mata kembali, saya lihat Bah lanjut pula tertidur di pangkal pokok Jelutung dan datuk pula bertindak sebagai pengawal. Datuk, saya dan Bah Lanjut merasa cukup kecewa. Lembaga hitam yang dinantikan sepanjang malam, tidak juga menjelma.

"Dia bagaikan tahu kita menantinya," kata datuk pada Bah Lanjut sesudah melihat fajar subuh bangun di kaki langit.

"Dia takut agaknya," sahut Bah Lanjut.

"Boleh jadi juga," balas datuk dan Bah Lanjut kecewa. Bah Lanjut meminta diri pulang kerumahnya. Saya dan datuk beredar menuju ke arah sebuah anak sungai. Kami mengambil air sembahyang. Hari mula beransur cerah.

Waktu datuk mahu mendaki anak bukit ke pondok, di terserempak dengan tapak kaki binatang, sebesar tapak kaki gajah, anehnya tapak kaki menyerupai tapak kaki manusia, tetapi mempunyai empat jari. Jari sebelah kanan berbentuk bulat macam anak lesung batu. Datuk membuat kesimpulan, itulah ibu jari kaki lembaga hitam. Datuk menandakan kesan tapak kaki binatang itu dengan sebatang pokok kecil yang dipatahkan dua. Sebelum beredar datuk baca sesuatu di situ.

"Supaya jangan hilang bila dicari," datuk memberitahu saya. Dan saya cuma tersenyum sambil angguk kepala dua tiga kali.

Selepas menunaikan sembahyang subuh dan bersarapan pagi, saya dan datuk di halaman pondok. Beberapa minit kemudian Bah Lanjut datang. Wajahnya nampak riang.

"Kita kena bertolak pergi ke sana," katanya. "Jalan kaki," sahut Bah Lanjut.

"Susah tu," celah saya.

"Tak susah sebelum matahari condong sampailah kita ke sana." Bah Lanjut memberikan satu keyakinan dalam diri saya. Datuk termenung panjang. Datuk berjalan dua tiga tapak keliling halaman pondok. Berhenti betul-betul di depan kaki tangga pondok.

"Begini tok batin, tok batin pergi dulu, kami ikut kemudian." "Nanti sesat, susah."

"Tak apa, syarat utamanya bila tok batin sampai ke sana, tandakan kawasanitu dengan kain merah," datuk mengemukakan cadangan.

"Cara?"

"Ikat kain merah pada buluh, dan buluh itu dicacakkan atas tanah lapang."

"Baiklah."

Bah Lanjut pun melangkah ke arah utara. Sebelum hilang ditelan oleh pokok-pokok hutan yang tebal itu, Bah Lanjut sempat melambaikan tangan ke arah saya dan datuk. Saya lihat cukup tangkas Bah Lanjut bergerak, saya tidak dapat melihat bayang atau tubuhnya kecuali melihat pokok-pokok yang bergerak saja. Tidak sampai lima minit, saya tidak dapat mendengar suara Bah Lanjut menjawab laungan dari datuk. Matahari bertambah tinggi, tetapi rasa sejuk masih kuat mencengkam diri. Bibir saya terketar-ketar. Datuk mengambil dua tiga helai daun kayu muda. Digosoknya ke tapak tangan beberapa kali.

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 1 )Where stories live. Discover now