Datuk menghadapi peristiwa itu dengan tenang. Dan ular terus menghampirinya. Datuk cabut golok perak di pinggang.
"Kalau kau berniat baik kau lalu, kalau niatmu buruk kau berhenti." Sebaik sahaja datuk mengakhiri cakapnya itu ular sudah pun berada di depannya. Ular pun panggung kepala. Bagaikan kilat datuk mencantas kepala ular. Badan ular terus dikerat tiga. Jatuh ke dalam perut sungai satu-satu. Barulah puas hati datuk. Malam bertambah dingin. Daun-daun pokok di kiri kanan jalan bergerak-gerak diterjang oleh angin. Bunyi suara burung hantu bersahut-sahutan. Di selang-seli dengan raungan anjing yang mendayu-dayu.
Datuk merenung ke dalam sungai. Datuk lihat air sungai yang mengalir tenang itu bergolak dan berombak. Datuk pasti di tempat air yang beralun dan berombak itulah bangkai ular yang dipotongnya jatuh. Makin lama, makin kuat alun dan gelombang air sungai itu bersama dengan bunyi yang hebat. Datuk terdengar bagaikan ada orang mandi di situ. Datuk termenung. Belum pernah dia berhadapan dengan hal-hal begitu. Mata datuk terus juga merenung pada air sungai yang beralun dan berbunyi dengan teliti. Datuk berdebar juga. Terniat dalam hatinya mahu meninggalkan tempat tersebut. Niat itu mati dengan sendirinya, bila timbul desakan dalam hatinya untuk mengetahui apakah benda dalam perut sungai.
Dalam suasana agak kelam-kabut itu. Datuk terpandang, air sungai mula melimpah ke tebing. Di tengah-tengah sungai itu timbul satu lembaga besar hitam, badannya sebesar kerbau jantan. Lembaga itu terus timbul. Setiap kali lembaga itu bergerak, air terus bergelombang merempuh pokok-pokok keladi di tebing sungai. Semuanya tumbang. Macam selalu, bila berhadapan dengan perkaraperkara yang aneh datuk akan membaca ayat suci Al-Al-Quran. Kali ini datuk membaca ayat 'Kursi' dengan khusyuk. Semasa dia membaca ayat-ayat itu lembaga di dalam sungai terus mengamuk dan bertempik, bagaikan suara gajah. Datuk tidak peduli. Dia terus membaca. Bila ayat itu habis dibaca, suasana di dalam sungai kembali normal. Air sungai terus mengalir tenang. Daun-daun pokok tidak bergerak meskipun angin malam bertiup.
"Syaitan!" kata datuk sambil meninggalkan tempat tersebut. Datuk terus mendapatkan anak buahnya. Mereka berkumpul kerana hari sudahpun beransur cerah. Datuk terus membawa anak buahnya ke surau dan menunaikan sembahyang subuh. Lepas sembahyang subuh mereka pun berpecah meneruskan kerja masing-masing. Separuh daripada anak buahnya terus ke Paya Besar menoreh getah dan separuh lagi pergi ke tempat perusahaan membuat batu-bata di Jalan Parit. Banyak juga anak buah datuk yang menjadi buruh di syarikat perusahaan itu.
Datuk tidak pula menceritakan apa yang dialaminya pada orang-orang kampung. Walaupun begitu, ada juga orang kampung yang mengalami peristiwa seperti yang datuk alami itu bila berjalan malam di jambatan besi tersebut. Jambatan besi itu masih ada lagi hingga sekarang, terletak di antara Kampung Pulau Kabung dengan Kampung Mandi Upeh. Tapi peristiwa ganjil seperti yang dialami oleh datuk itu tidak berlaku lagi.
Di kiri kanan jambatan besi itu kini sudah penuh dengan rumah kediaman. Kadang-kadang jambatan itu menjadi tempat persinggahan anak muda pada setiap malam, selepas mereka menonton wayang di Pekan Sitiawan, Air Tawar atau Bruas. Dan kalau diceritakan kisah-kisah aneh pada mereka. Mereka tidak akan percaya, malah mereka akan mentertawakan pada orang yang menceritakannya.
Sebulan selepas dari peristiwa aneh itu, pada satu malam rumah datuk didatangi oleh seorang pemuda. Udin namanya. Dia meminta jasa baik datuk untuk membuat air penawar pada anak kecilnya yang sudah seminggu menangis malam.
"Agaknya perut anak kau kembung," kata datuk sambil merenung muka Udin.
"Sudah berbotol minyak angin saya lumurkan ke perutnya." Jawab Udin dengan tenang. Datuk terdiam kerana dia tahu, dia bukanlah seorang dukun atau pawang, tapi kerana dia merupakan orang yang tertua di kampung tersebut, dia dianggap tahu dalam hal-hal kedukunan.
"Bawa saja anak kau ke klinik," datuk mengesyurkan. Udin terdiam sejenak. Muka datuk direnungnya lama-lama.
"Malam klinik dah tutup."
"Sepatutnya, kau tak payah minta penawar dari aku, jumpa doktor lagi baik, sebabnya mereka boleh memeriksa anak kau, mana tahu anak kau ada mengidap penyakit,"
"Saya tahu, tapi"¦." Udin berhenti bercakap. Ada rasa kecewa dan putus asa bermain di wajahnya.
"Baiklah, bolehlah aku buatkan penawar, tapi esok kau bawalah anak kau ke klinik," kata datuk lagi. Datuk pun segera membuat air penawar dan diberikan pada Udin. Sebelum Udin meninggalkan rumah, lagi sekali datuk memgingatkan Udin supaya membawa anaknya menemui doktor. Datuk berpendapat berubat dengan doktor lebih baik dari berubat dengan dukun, kerana dengan peralatan moden, sakit seseorang dapat dikesan dengan cepat.
Pesan datuk itu tidak dipersiakan oleh Udin. Dia terus membawa anaknya menemui doktor dan menerima rawatan dengan baik. Sejak itu anaknya tidak lagi menangis malam. Memang, begitulah sikap datuk, dia lebih suka mengalakkan orang-orang kampung berubat dengan doktor, kecuali kalau sudah menemui doktor pesakit tidak mahu baik, barulah dia menyuruh berubat cara kampung.
"Mari ikut aku ke rumah Anjang Dollah," kata datuk pada saya.
Pemintaan datuk itu tidak dapat saya tolak. Dengan rasa kecewa saya meninggalkan kumpulan kawan-kawan saya yang sedang bermain galah panjang di depan rumah datuk.
"Apa halnya," tanya saya
"Sajalah, aku dengar cerita Anjang Dollah tu handal mengubat orang kena sampuk, aku nak tengok cara dia mengubatnya. Kalau boleh aku nak belajar darinya."
"Belajar buat apa ?" balas saya. Datuk tersenyum dan terus berkata : "Belajar untuk tahu apa salahnya, tidak merugikan kita."
Setelah mendengar cakapnya itu. Saya pun tidak mengeluarkan sebarang soalan atau pertanyaan. Berjalanlah saya dengan datuk petang itu menuju ke Kampung Gelung Gajah yang jaraknya lebih kurang tiga batu dari kampung datuk. Terpaksa meredah dua tiga anak sungai. Dan rumah Anjang Dollah letaknya agak terpencil dari rumah-rumah di situ. Berada di pinggir sebuah kolam dan berhadapan dengan sebuah belukar kecil.
Lebih kurang pukul empat petang, sampailah saya dan datuk ke rumah Anjang Dollah. Kami dipersilakan naik. Datuk terus menyatakan, bahawa kedatangannya adalah untuk melihat bagaimana cara dia mengubati orang yang kena sampuk.