Bab 6 (raw version)

4K 374 135
                                    

"SERIUSLAH? Cis, macam celaka! Hish, nasib baik aku tak ada dekat sana. Kalau tak, berterabur gigi budak-budak tu aku kerjakan!"

Teja ketawa melihat riak wajah Thor yang duduk di pangkin depan rumahnya itu.

Sampai sahaja dia di rumah petang semalam, telefon rumah dah berdering. Siapa lagi pemanggilnya kalau bukan si Thor ni. Dia nak jumpa katanya. Ingatkan apa yang penting sangat. Rupanya dia nak tanya kenapa dia tak jumpa akaun FB Teja dah. Jadi, terpaksalah Teja ceritakanlah semuanya.

"Kau ada simpan tak gambar tu?" soal Thor.

Teja mencebik. Laju juga dia menggeleng. "Memang taklah! Benda tu mengaibkan aku. Buat apa aku nak simpan?"

"La, kenapa tak simpan? Aku nak tengok," balasnya sambil tersengih nakal.

Teja menjeling. "Ni nampak!" Dia angkat penumbuk. "Mana boleh! Kau bukan mahram aku!" sambungnya.

Thor tersengih-sengih sambil memandang Teja yang sedang berbuai di buaian buatan sendiri di pokok manggis di hadapan rumah gadis itu.

"Yalah! Esok-esok, aku dah jadi mahram kau, aku nak tengok tau!"

Teja pempan. Memandang lelaki itu. Kerut kening.

Jadi mahram aku? Macam mana pulak badigol soot ni nak jadi mahram aku? Aku dengan dia tak mungkin jadi adik beradik. Kalau mak kahwin dengan bapak dia pun, aku dengan dia tetap ajnabi. Lain kalau mak kahwin dengan si Thor ni. Barulah jadi mahram. Takkan dia ada hati nak jadi bapak tiri aku?

"Kau mengarut apa ni, mangkuk! Hish, aneh-aneh ngomongnya petang-petang ni kok!"

Thor ketawa melihat reaksi Teja itu. "Eh, aku lupa nak bagitahu kau. Aku dah dapat tawaran belajar. Dekat Skudai," beritahunya.

Mata Teja membulat.

"Ahmad Tariq! Macam mana kau boleh lupa bagitahu aku berita gembira ni! Tahniah, Thor! Happy for you..." ucap Teja sambil bertepuk tangan gembira bagi pihak sahabatnya itu.

"Nanti aku dah dekat Skudai, kau susah nak nampak muka aku yang handsome ni tau! Aku bukan boleh balik selalu. Jangan rindu pulak!" usik Thor.

Terus sahaja Teja mencebik. "Ei, tak kuasalah aku. Eloklah. Tak payah balik selalu. Semak aku tengok muka kau dekat kampung ni."

Thor gelak kecil. "Eleh, berlagak. Semak konon. Esok-esok, tak nampak muka aku, kau rindu! Tuai padi..., antara masak.... Esok jangan..." Dan Thor mula menyanyikan bait-bait lagu klasik itu.

Teja mula ketawa berdekah. "Ah, dia mula dah buat siaran radio rosak pulak!"

Thor turut tertawa. "Eh makcik, esok aku nak pergi KL. Along aku ada hal dekat KL. Alang-alang, aku ikutlah nak shopping keperluan nak pergi belajar sikit. Nak ikut?" soalnya.

Teja pantas menggeleng. "Tak naklah aku! Segan. Lagipun, kau ingat Mak Biah kesayangan kau tu nak izinkan aku ikut kau orang jantan berdua? Kalau Jebat ada ikut, lainlah cerita," balas Teja,

Thor sengih. "Tahu. Sengaja je nak ajak-ajak ayam. Bagi kau jealous dapat tahu aku nak pergi KL."

Teja ketawa lagi. "Thor, apa kau fikir aku budak 6 tahun yang excited dengar pasal Kulompo?"

"Eh, bukan ke? Lah, pejam celik, besar panjang dah anak dara Mak Biah ni. Aku ingat lagi dulu..."

PAP! Belum sempat sudahkan ayat mengusik Teja, lengan dah menerima habuan ditampar kipas tangan yang dipegang gadis itu.

Thor ketawa lagi. "Nak pesan apa-apa?"

Teja geleng lagi.

Nak pesan apa dekat KL tu! Aku bukannya macam Yan, pakai minyak wangi jenama Body Shop. Pencuci muka jenama dari Korea. Semua barang aku boleh je dapat dekat Econsave tu hah!

Miss Pen Pal [Sudah Terbit 2021]Where stories live. Discover now