Bab 1

3.4K 56 0
                                    

HASYA Humaira hanya mengekori langkah wanita di hadapannya itu tanpa sebarang suara. Rasa gementar mula menghimpit diri. Mungkin kerana hari ini merupakan hari pertama dia memulakan kerja di tempat baharu.

"Sebelum ni awak kerja dekat mana, Aira?" sapa suara di hadapannya itu.

"Oh... Mula-mula Aira kerja dekat private clinic. Then, last year pindah ke Hospital Columbia di Bintulu," beritahu Aira perlahan. Segan pula dengan wanita yang baru dikenalinya sejam yang lepas.

"Jauhnya sampai ke Bintulu," ujar wanita itu lagi.

"Oh ya, tak perlu la panggil saya puan. Panggil Kak Rita aje," pesan Kak Rita bersama senyuman mesranya.

Aira turut tersenyum mesra. Anak tangga mula dinaiki mereka satu per satu. Dia tidak mahu menyoal banyak walaupun dia pelik kenapa Kak Rita tidak menggunakan lif yang ada? Barangkali Kak Rita ingin bersenam. Duganya sendirian.

"Awak dah berkahwin ke?" seloroh Kak Rita kembali.

Aira tersenyum kelat mendengar satu per satu soalan daripada Kak Rita. Dah macam seorang pegawai polis lagaknya.

"Belum lagi, puan. Errr... Kak Rita," jawabnya ringkas.

"Senang pula awak dapat tukar ke sini," omel Kak Rita.

Memang senang kerana perkara ini melibatkan ayahnya. Aira berkata dalam hati. Hakikatnya, semua ini adalah aturan ayahnya yang menggunakan orang atasan untuk menukarkan dirinya ke sini. Dalam terpaksa Aira merelakan juga desakan ayahnya itu.

"Awak asal mana?" Kak Rita menyoal lagi.

"Saya berasal dari Kedah. Sebenarnya, ibu dan ayah saya yang beria-ia nak saya balik ke semenanjung ni. Kalau ikutkan hati, saya okey aje tinggal dekat sana tu," jelas Aira panjang lebar. Tercungap-cungap dia menaiki anak tangga satu per satu.

"Biasa la tu, Aira. Mak ayah awak tentu risaukan keadaan awak dekat sana... Dah tu, dekat sini awak tinggal dengan siapa?"

"Errr... Dengan abang saya. Kak Rita orang mana? Dah lama ke kerja sini?" soal Aira kali ini sekadar ingin berbahasa. Asyik aku sahaja yang disoalnya, komen Aira.

"Saya orang Pahang. Lama la juga. Ada la nak dekat sepuluh tahun pun," cerita Kak Rita. Terlopong Aira. Jauh benar nak dibandingkan dengan dirinya yang baru setahun jagung dalam bidang itu. Pasti Kak Rita kaya dengan pengalaman di sini. Aku yang masih mentah ini patut belajar banyak perkara darinya nanti, bisik hati kecil Aira.

"Awak pernah handle kes kanak-kanak sebelum ni?"

"Ada la dua tiga kali tapi tu pun sebab gantikan tempat orang. Dekat Bintulu saya jaga wad medical. Tak sangka pula saya akan dapat wad paeds bila datang sini. Banyak yang saya kena belajar dari Kak Rita ni," jawab Aira tanpa berselindung.

Bukan main lebar senyuman Kak Rita saat itu.

"Senang aje handle kanak-kanak ni." Selamba Kak Rita menjawab membuatkan Aira semakin terkejut. Dia sebolehnya memang nak elak dari terkena wad kanak-kanak ni. Tapi itulah jadinya. Benda kita tak suka tu la yang selalunya kita akan dapat.

Selepas menaiki satu per satu anak tangga, mereka akhirnya tiba pada aras enam bangunan hospital itu. Aira mengucap lega. Sampai juga akhirnya. Lelah menaiki anak tangga masih terasa.

Meletus ketawa kecil Kak Rita melihat keadaan Aira yang tercungap-cungap waktu itu.

"Ni la cara saya exercise and burn calories," ujar Kak Rita.

Aira hanya mampu menayangkan barisan gigi putihnya. Aku naik tangga sampai tingkat enam kut. Wah... Ini memang satu pencapaian untuk aku yang jarang sangat bersenam ni. Soraknya dalam hati.

"Hah, jom. Saya bawa awak berkenalan dengan warga Enam Selatan," ujar Kak Rita dengan wajah cerianya.

Aira masih tersengih panjang walaupun debar dalam hati hanya Allah sahaja yang ketahui ketika itu. Kakinya mula melangkah masuk bersama Kak Rita ke arah pintu wad yang tertera perkataan Enam Selatan di atasnya. Sebaik kaki melangkah masuk, kedengaran bising suara kanak-kanak menangis dan bermain. Dah nama pun wad kanak-kanak. Beginilah keadaannya. Tolong jangan buat terkejut, Aira. Control sikit muka terkejut beruk kau tu, omelnya sendirian dalam hati.

Mereka kemudiannya bergerak masuk ke dalam satu bilik kecil.

"Assalamualaikum, Sister Lina. Rita mengganggu sister ke?" sapa Kak Rita sebaik membuka pintu bilik itu. Kelihatan seorang wanita lebih kurang sebaya dengan Kak Rita sedang khusyuk membuat kerja di mejanya.

"Waalaikumussalam. Eh! Tak ganggu pun. Maghi la masuk Rita," jawab wanita yang memakai uniform berwarna ungu itu.

"Rita nak kenalkan sister dengan dietitian baru yang akan gantikan Rita dekat wad ni. Nama dia Hasya Humaira. Orang utara tau," beritahu Kak Rita serta-merta. Sister Lina tersenyum mengangguk.

"Dan Aira, saya kenalkan awak dengan Sister Lina. Kalau ada apa-apa perkara yang awak nak tanya berkaitan dengan wad ni, awak boleh tanya terus dengan Sister Lina," kata Kak Rita kepada Aira pula.

"Selamat berkenalan, Humaira. Saya ucapkan selamat datang ke Hospital Universiti Sains Malaysia dan menjadi warga Enam Selatan. Lepas ni awak kena belajar kecek Kelate la, Humaira," ujar Sister Lina sebaik mereka bersalaman.

Aira sudah tersenyum simpul.

"Terima kasih, Sister Lina. Berkobar-kobar saya nak belajar benda baru dekat sini," balas Aira penuh bersemangat. Sejujurnya apa yang sedang dia hadapi itu adalah benda baru untuknya. Berjumpa dengan orang baru, persekitaran baru, kawan baru dan tentu sekali bahasa baru.

Kata-kata Aira dibalas dengan gelak tawa oleh Kak Rita dan Sister Lina.

"Saya suka dengan semangat baru awak tu. Jom, saya kenalkan awak dengan staf-staf Enam Selatan," ajak Sister Lina penuh ceria.

"Kak Rita minta diri dulu tau Aira. Nak pergi tengok wad atas pula," ujar Kak Rita sebelum kelibatnya berlalu pergi dari situ. Aira kemudiannya dibawa oleh Sister Lina menjelajah ke sekitar wad kanak-kanak itu. Dia juga sempat berkenalan dengan beberapa orang jururawat dan para doktor yang bertugas di wad itu.

"I wish you all the best, Humaira. Kalau ada apa-apa hal, jangan segan nak tanya saya dan staf-staf dekat sini," pesan Sister Lina bersahaja. Terangguk-angguk Aira mendengarnya. Syukurlah, semua orang begitu ramah menerima kehadirannya di situ. Mungkin orang Kelantan ni memang peramah agaknya.

"Aira, doktor refer patient bed five dekat awak," ujar seorang jururawat wanita secara tiba-tiba. Satu fail terus dihulurkannya kepada Aira. Amboi! Belum sempat nak buat apa-apa, aku dah dapat satu case. Proaktif sungguh HUSM ni.

"Good luck on your first case," sampuk satu suara dari arah belakang. Kelihatan seorang jururawat lelaki sedang tersenyum mesra ke arahnya. Melihat senyuman itu membuatkan semangatnya terus memuncak tinggi. Bismillahirrahmanirrahim. 

PESONAMUWhere stories live. Discover now