Bab 9

952 23 0
                                    

HASYA Humaira sengaja masuk lewat ke wad pada hari itu. Ada beberapa perkara penting di pejabat yang perlu dia uruskan. Sebaik melangkah ke wad kanak-kanak itu, terus dia memulakan kerja bagaikan lipas kudung. Dari jauh rupa-rupanya ada sepasang mata yang begitu ralit merenungnya.

Doktor Afiq Naufal sebenarnya sejak dari pagi tadi lagi menunggu kehadiran Aira. Gelisah dirinya apabila memikirkan yang Aira tidak hadir pada hari itu. Namun, bertambah gelisah jadinya saat melihat kelibat Aira di dalam wad itu. Folder di hadapan sudah beberapa kali dibuka dan ditutup. Doktor Afiq Naufal mati akal. Apa pasal aku jadi gelabah macam ni, eh? soalnya sendiri.

"Amboi! Seriusnya muka dietitian kita ni," tegur Abang Faris sebaik melintasi Aira. Terus Aira mengangkat wajahnya. Timbul senyuman nipis di bibirnya buat jururawat lelaki itu.

"Abe Faris ni. Aira kalau waktu buat kerja memang muka macam singa sikit," balas Aira bersahaja sambil menulis sesuatu di atas fail pesakit.

Meletus ketawa kecil Abang Faris. Doktor Afiq Naufal pula hanya menjadi pemerhati dari jauh. Dia masih berkira-kira sama ada mahu bersemuka dengan Aira atau pun sebaliknya.

Macam mana dia boleh jadi ramah dengan orang-orang dalam wad ni? Dengan aku, bukan main kasar bahasanya. Atau pun aku yang salah selama ni? Patut ke aku leraikan perbalahan antara kami? Isy... Nak buat baik dengan orang pun susah la.

Perlahan-lahan langkah kakinya diatur ke arah Aira yang masih kelihatan sibuk ketika itu. Begitu khusyuk wanita itu membuat kerjanya sehingga tidak pandang ke arah sekeliling. Jika tidak pasti dia sudah membalas panahan mata aku padanya.

"Errr... Aira." sapa Doktor Afiq Naufal.

Aira yang terdengar suara seseorang terus mengangkat wajahnya. Doktor Afiq Naufal rupa-rupanya sudah berdiri rapat di sisi. Eh! Sejak bila makhluk ni ada di sebelah aku? Kenapa aku tak sedar?

"Ya, ada apa Doktor Afiq?" soal Aira buat endah tak endah. Dia ni tak lain tak bukan mesti datang nak cari pasal dengan aku.

"You ada masa tak?" Perlahan Doktor Afiq Naufal menyoal.

Aira masih beriak biasa. Dia ni buta ke apa? Tak nampak ke aku tengah buat kerja ni?

"Kalau doktor nak bercakap tentang kerja, saya memang ada masa. Tapi, kalau doktor nak berbalah tentang profesion kita, sorry saya ada banyak lagi kerja lain yang nak dibuat," jawab Aira dengan wajah tanpa senyuman. Malas hendak melayan doktor yang selalu sangat cari pasal dengannya sebelum ni.

"Errr... tak. I... I nak... Nak..." Kata-kata Doktor Afiq Naufal terhenti di situ. Lidahnya menjadi kelu secara tiba-tiba. Cakap la Afiq yang kau nak minta maaf dekat dia.

Aira sengaja mengangkat sebelah keningnya. Dah kenapa dengan doktor muda ni? Sejak bila pula dia bertukar jadi gagap ni? kutuk Aira dalam hati.

"Doktor nak apa, doktor? Cuba beritahu saya. Nak folder patient ni ke?" Perlahan Aira menyoal sambil merenung lama wajah bersih di hadapannya itu.

Serta-merta Doktor Afiq Naufal melarikan pandangan matanya apabila perasan wajahnya ditenung lama oleh Aira. Allahuakbar. Kenapa aku jadi macam tak betul ni? Argh... Susahnya nak menuturkan kata maaf tu.

"Kalau doktor tak ada apa-apa nak cakap, saya minta diri dulu," kata Aira akhirnya. Penat menunggu jawapan daripada doktor itu. Lagipun, dia sudah selesai periksa semua pesakitnya. Langkah kaki terus diatur meninggalkan Doktor Afiq Naufal yang masih membisu tanpa bicara. Pelik pula aku tengok doktor ni, omel Aira sendirian.

"Aira, I nak minta maaf." Fuh... Akhirnya keluar juga apa yang ingin dia katakan sejak tadi.

Langkah kaki Aira mati seketika. Dia salah dengar ke? Doktor berlagak sombong tu tengah minta maaf dekat aku? Isy... Kau salah dengar ni, Aira.

"I minta maaf sebab selalu cari pasal dan tak hormat profesion you sebelum ni. So, sorry kalau kata-kata I agak kasar pada you," luah Doktor Afiq Naufal yang ketika itu sedang berdiri di belakang Aira.

Kini, giliran Aira pula yang mati kata. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba doktor ni minta maaf dekat aku. Biar betul? Boleh percaya ke ni? Ke ada udang di sebalik batu ni?

"Aira..." Panggilan Doktor Afiq Naufal mengejutkan Aira yang sudah mengelamun entah ke mana. Kau ni suka sangat berprasangka buruk, Aira.

"It's okay, Doktor Afiq. Saya dah maafkan dan saya pun nak minta maaf juga andai terkasar bahasa dengan doktor sebelum ni," balas Aira teragak-agak. Ya ke aku dah maafkan dia? Helo! Kau kutuk kerja aku kut, ingat senang-senang ke aku nak maafkan, komen Aira dengan nada tidak puas hati dalam hatinya. Kalau ikutkan hati, memang dia tak nak maafkan pun tapi nampak kejam la pula bila orang dah minta maaf kita sengaja tak nak maafkan dia. Bak kata orang, sedangkan Allah pun ampunkan hamba-Nya, inikan pula kita ini.

Terpamer senyuman manis di bibir Doktor Afiq Naufal saat mendengar jawapan dietitian muda itu. Lega rasa hatinya selepas memohon maaf.

"Kalau macam tu saya minta diri dulu, Doktor Afiq. Assalamualaikum," ujar Aira bersama senyuman manis. Sudah la, Aira. Lupakan saja sengketa yang pernah berlaku antara kau dan dia, pujuk hati kecil Aira.

Doktor Afiq Naufal turut tersenyum membalas senyuman Aira. Berbunga riang hatinya kala itu. Aku sepatutnya ajak dia pergi makan dengan aku. Idea itu tiba-tiba terlintas dalam benak fikirannya. Saat itu bayang Aira sudah pun hilang di sebalik pintu utama wad Enam Selatan.

Aira yang masih berada di luar pintu pula masih berkira-kira sama ada nak turun guna lif atau tangga. Nak sihat guna tangga tapi kalau rasa malas guna lif. Benda macam tu pun perlu fikir ke, Aira?

"Aira..." Sapaan seseorang mengejutkan Aira yang masih dalam dilema ketika itu.

"Eh! Abang Zhaf. Dari mana ni?" sapa Aira kepada lelaki yang baru melangkah turun dari anak tangga tingkat atas.

"Abe dari wad atas. Saja maghi follow up patient hok abe pernah handle sebelum ni," beritahu doktor yang berasal dari Kelantan itu.

"Aira pula dari mano?" soal Doktor Zhafran pula. Suka dia melihat wajah ayu wanita berbaju kurung di hadapannya itu.

"Kalau abang nak tahu, ni la wad yang Aira jaga," ujar Aira penuh ceria sambil jari telunjuknya diarahkan ke pintu wad Enam Selatan.

"Laaa... Ya ke? Pah ni abe dah tahu la dekat mano nak cari Aira," gurau Doktor Zhafran bersama senyuman nakalnya.

Tersipu malu Aira.

"Hari Sabtu ni abe off. Nak dak abe bawa Aira derak KB?" pelawa doktor berkemeja biru laut itu.

"Derak tu apa?" Berkerut dahi Aira menyoalkan kepada teman abangnya itu.

Meletus tawa kecil Doktor Zhafran. Lupa pula yang Aira masih baru dekat Kelantan.

"Derak tu maksudnya keluar bersiar-siar atau jalan-jalan."

"Ohhh... Cakap la keluar jalan-jalan. Nak! Aira sebenarnya tunggu along cuti, tapi dia tu sibuk memanjang. Aira nak keluar jalan-jalan sorang pun tak tahu nak pergi mana. Elok sangat la kalau Abang Zhaf nak jadi tour guide Aira dekat sini," balas Aira bukan main panjang lebar.

Tersenyum panjang Doktor Zhafran mendengar mulut becok itu berkata-kata.

"Bukan setakat tour guide aje, nak bawa Aira tour ke hati abe pun abe sanggup. Cia cia cia."

Usikan Doktor Zhafran membuatkan Aira terkekeh ketawa. Ada ajelah ayat cia cia dia. Abang Zhafran ni kategori ulat bulu rasanya, komen Aira dalam diam.

Mereka kemudiannya meneruskan bicara dan gurauan sambil melangkah menuruni anak tangga satu per satu. Tangga juga pilihan Aira akhirnya. Apa guna dietitian kalau tak menjalani gaya hidup sihat, kan?

Rupa-rupanya dalam diam ada seseorang yang sedang mengintai Aira dan Doktor Zhafran sejak tadi. Doktor Afiq Naufal yang asalnya ingin mempelawa Aira keluar makan dengannya terus membatalkan niat apabila terpandangkan Aira sedang berbual mesra dengan seorang lelaki yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Nampak begitu rancak mereka berbual dan bergelak tawa. Hancur berkecai terus niat asalnya. 

PESONAMUWhere stories live. Discover now