SESEKALI Maria mengerling ke arah Aira yang duduk bersebelahan dengannya. Wanita itu kelihatan seperti hanyut dalam dunianya sendiri. Sapaan Maria langsung tidak disedari olehnya. Pasti fikirannya sudah menerawang ke tempat lain.
"Aira!" Panggilan ketiga Maria kali ini berjaya menyedarkan Aira.
"Kenapa, Maria?"
"Saya tengok masam aje muka awak sejak turun dari wad tadi. Kenapa, Aira?" Sibuk Maria bertanya apabila melihat wajah mencuka Aira sejak dari tadi lagi.
"Saya tengah sakit hati ni," beritahu Aira dengan keluhan berat.
"Laaa kenapa? Patient awak buat hal ke?" soal Maria.
"Tak la. MO kat atas tu yang cari pasal dengan saya. Arrrghhh... Geramnya bila ingat balik muka sombong dia tadi," komen Aira dengan nada tidak puas hati. Buku yang berada di hadapan ditumbuknya beberapa kali. Tak pasal-pasal buku itu yang menjadi mangsa dia melepaskan amarah.
"MO tu buat apa dekat awak?"
"Dia cakap dia anti dengan dietitian macam kita. Bagi dia kita ni tak ada kerja. Lepas tu mengganggu kerja dia pula. Eee... Geramnya!" cerita Aira dengan penuh mimik muka menyampah.
Pecah tawa Maria mendengar rungutan temannya itu.
"Biasa la, Aira. Kerja kita memang ramai orang yang tak tahu tambah-tambah lagi doktor MO macam tu. Pedulikan aje. Yang penting niat kita nak tolong pesakit. Awak anggap kerja kita ni macam buat dakwah," nasihat Maria.
"Kalau tak tahu tu buat la cara tak tahu. Tak perlu la nak kutuk dan sindir macam-macam dekat kita. Ada ke pula dia cakap dia tak nampak kepentingan dietitian dekat hospital. Apa awak rasa, Maria?" luah Aira dengan nada tidak puas hatinya.
"Dia kata macam tu sebab dia masih tak nampak kepentingan kita. Maybe dia busy dengan patient sampai lupa nak berkenalan dengan health care team yang lain. Apa yang saya perasan sesetengah doktor ni rasa macam dia orang tu king. Dia orang rasa semua orang bergantung pada dia orang padahal kita health care team ni saling memerlukan antara satu sama lain. Cuba bayangkan kalau nurse tak ada, mesti doktor tak boleh buat kerja pun," kata Maria pula. Bukan sengaja dia hendak bercakap buruk tentang doktor perubatan tetapi itu hanyalah berdasarkan pengalaman yang dirasai sepanjang bekerja dengan mereka.
"Sebenarnya, tak semua doktor macam tu. Ibu, ayah dan abang saya okey aje. Malah, dia orang support saya masuk bidang ni dan faham kerja kita. Ada sesetengah perkara yang doktor tak tahu tapi kita tahu. Ilmu tentang pemakanan ni sangat luas dan bukan calang-calang orang boleh cakap tentangnya," luah Aira lagi.
"Ibu dan ayah awak kerja apa, Aira?" duga Maria dengan penuh kerutan di dahi. Kata-kata Aira sebentar tadi membuatkan dia berfikir panjang.
"Errr... Mereka bekerja dalam bidang kesihatan ni juga sebab tu la mereka faham tugas saya," jawab Aira tergagap-gagap.
"Ohhh... Saya rasa mungkin MO tu tergugat dengan kedudukan awak dalam wad dia. Tak pun kan Aira, dia sengaja hangatkan keadaan sebab nak tackle awak ke?" seloroh Maria.
Wajah tegang Aira kian kendur. Terdengar tawa kecilnya saat mendengar gurauan teman satu pejabat dengannya itu.
"Nak tergugat apanya? Dietitian ni takkan boleh buat apa yang doktor buat. Mereka dah ada kedudukan tinggi dekat hati patient. Kita cuma nak menumpang cari rezeki di tempat yang sama," balas Aira.
"Biar ajelah, Aira. Saya selalu pegang satu frasa yang bawa makna sangat dalam pada diri saya iaitu 'kita makan untuk hidup'. Frasa tu menunjukkan betapa pentingnya makanan dalam hidup kita. Sejak kita berada dalam rahim ibu lagi, pemakanan yang sihat dan seimbang sangat dititikberatkan. Apa yang ibu makan kita dapat rasa dan dalam tak sedar semua makanan tu dah bagi sumbangan dekat diri kita. Dari tubuh yang kecil kita semakin membesar. Organ juga turut membesar dan menjalankan tugasnya dengan begitu baik. Semua itu adalah jasa nutrien-nutrien sihat dari makanan yang kita makan," ucap Maria dengan wajah yang agak serius kali ini.
"Cuba awak fikir, kalau kita tak makan dengan cukup waktu tengah membesar, tubuh kita akan kekurangan nutrien-nutrien yang sepatutnya kita dapat. Ia akan menyebabkan malnutrisi diikuti beberapa penyakit-penyakit kronik yang lain. Kalau kita makan dengan banyak dan berlebihan pula, ia akan meningkatkan risiko untuk dapat obesiti dan penyakit-penyakit yang lain. Sebab tu la Rasullulah S.A.W pesan bersederhanalah ketika makan." Maria menyambung tazkirahnya lagi. Aira tersenyum mengangguk.
"Saya sokong sangat dengan awak, Maria. Manusia kadang tu lupa yang dalam tubuh kita ni ada banyak organ yang terpaksa bekerja untuk kepentingan diri kita. Kalau kita tak bagi makanan yang cukup, organ tu pasti tak dapat nak bekerja dengan baik. Tapi kalau kita bagi dia makanan yang diproses secara berlebihan, organ tu akan rasa terbeban. Dia terpaksa bekerja keras untuk singkirkan makanan yang terlampau banyak masuk tu. Lama-kelamaan dia akan hilang fungsi akibat terlalu penat bekerja. Bila dah hilang fungsi, datanglah bermacam penyakit. Barulah hadir doktor untuk merawatnya," tambah Aira menyokong kata-kata temannya itu.
"Betul tu, Aira. Memang ada sesetengah penyakit lain yang berlaku bukan disebabkan oleh faktor makanan tetapi secara majoritinya gaya hidup yang tidak sihat sangat menyumbang kepada terjadinya banyak jenis penyakit. Jadi, tugas kita sebagai dietitian ni adalah untuk menggalakkan masyarakat menjalani gaya hidup yang lebih sihat supaya kualiti hidup akan lebih terjamin selepas ini. Doktor dengan rawatannya, ahli farmasi pula dengan ubatnya tapi kita dengan kata-kata dan didikan. Walaupun nampak mudah tetapi bukan semua orang boleh ikut apa yang kita suruh." Maria kembali dengan hujahnya lagi.
"Sebab tu la dietitian ni kena pandai memujuk dan mahir dalam skill komunikasi. Walaupun nasihat kedengaran tegas tetapi tidaklah sampai menggores hati pesakit. Saya bangga dengan siapa saya hari ini, Maria. Biar orang tak kenal kita asalkan Allah tahu kerja kita adalah menolong komuniti."
"Saya pun bangga dengan kerja saya ni. Saya suka mendengar masalah pesakit-pesakit saya dan saya juga banyak belajar dari mereka tentang ketabahan hidup. Allah letak kita dalam sesuatu bidang tu pasti ada sebabnya, Aira. Mari kita sama-sama jadi dietitian yang berkualiti dan bagi sumbangan kepada masyarakat. Biarlah doktor dengan kerja mereka dan kita dengan kerja kita," ulas Maria berbaur nasihat di hujung katanya.
Bibir Aira mula menguntum senyuman lebar. Hatinya rasa lega dan tenang selepas bercakap dan berkongsi pendapat dengan Maria. Aku perlu reda dengan apa yang telah berlaku hari ini.
"Terima kasih Maria, sebab sudi dengar masalah saya dan juga nasihat saya banyak perkara. Betul kata awak Maria. Biarlah apa pun tanggapan doktor pada kita yang penting niat sebenar kita Allah dah tahu," jawab Aira bersama senyuman lebar. Maria turut tersenyum mengangguk.
Kunci untuk reda adalah dia perlu melupakan apa yang telah berlaku hari itu dan ambil pengajaran daripadanya. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini, doa hati kecil Aira.
YOU ARE READING
PESONAMU
General FictionTajuk: Pesonamu Penulis: Una Unee Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-57-1 Muka Surat : 512 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Ogos 2018