SUASANA di dalam wad pada pagi itu kelihatan lengang sedikit. Doktor-doktor pakar sudah habis membuat rondaan. Aira juga sudah selesai melihat kesnya. Matanya sengaja dibawa ke segenap ruang wad kanak-kanak itu. Melihat wajah tabah yang dipamerkan oleh ibu bapa pesakit kecil di dalam wad itu membuatkan Aira berasa kagum. Mana ada ibu bapa yang sanggup melihat anak kecil mereka sakit. Namun, mereka tetap tabah kerana yakin di sebalik ujian itu pasti ada hikmah-Nya.
Mata Aira tiba-tiba tertancap pada sepasang mata yang kebetulan sedang merenung tajam ke arahnya. Doktor lelaki itu berada tidak jauh dari tempat Aira sedang berdiri dan dia kelihatan sibuk dengan fail pesakit yang berada di tangannya. Sibuk macam tu pun sempat lagi nak usyar aku, komen Aira.
Entah keberanian apa yang telah menghasut Aira sehingga dia berani mengatur langkah ke arah doktor muda itu. Aku perlu selesaikan masalah dengan doktor ni, bisik hati kecil Aira.
Doktor Afiq Naufal terus berpura-pura tenang saat melihat langkah kaki Aira kian hampir dengannya. Dia tidak menyangka bahawa renungannya tadi telah disedari oleh Aira.
"Doktor ada apa-apa masalah dengan saya ke?" Selamba Aira menyoal sebaik berdiri bersebelahan dengan doktor berkemeja biru laut itu.
"You ni kenapa?" bidas doktor itu tanpa melihat wajah yang sedang berdiri di sebelahnya.
"Oh... Lupa saya nak kenalkan. Saya Aira. Dietitian baru wad ni." Tenang Aira menjawab walaupun reaksi doktor itu kelihatan sangat menjengkelkan.
"I tak berminat pun nak tahu nama you," balasnya dengan penuh angkuh.
Menyampah pula Aira melihat wajah sombong doktor itu. Aku cakap elok-elok dia boleh buat berlagak. Kau ingat aku hairan sangat dengan doktor yang baru nak up macam kau ni? bebel Aira dalam hati.
"Kalau ikutkan hati saya pun tak berminat nak tegur doktor tapi saya rimas bila doktor asyik pandang macam tak puas hati dekat saya. Kalau rasa tak puas hati, baik cakap depan-depan, doktor. Baru masalah boleh selesai," leter Aira panjang lebar.
"Bila masa I pandang you?" kata Doktor Afiq Naufal dengan ketawa sinis. Matanya masih fokus pada folder pesakit.
Aira sengaja melepaskan tawa kecilnya. Naik geram dia melihat layanan doktor muda itu.
"Okey, fine! Mungkin saya salah lihat. Sorry sebab saya ganggu kerja doktor," balas Aira akhirnya. Dah terang-terangan aku nampak kau pandang aku, kutuk Aira dalam hati. Dengan perasaan panas hati Aira mula menyusun langkah untuk pergi dari situ.
"Cik Aira." Baru beberapa tapak melangkah terdengar sahutan namanya. Pantas Aira berpaling.
"You rasa dietitian diperlukan ke dekat wad ni?" Sindiran itu ditujukan tepat pada Aira.
Aira menarik nafas panjang. Rupa-rupanya inilah penyebab kau tak suka aku. Langkahnya kembali menghampiri doktor muda itu. Raut wajah bersih itu dipandangnya seketika. Muka segak dah tapi perangai pula tak berapa elok.
"Selagi patient perlukan saya selagi itulah saya diperlukan dalam wad ni." Tenang Aira menjawab.
"Tapi I rasa you macam tak ada function dekat wad ni. Setakat nak bagi kaunseling tentang pemakanan I pun boleh buat." Dengan penuh sinis dia berkata.
Aira berusaha mengawal rasa panas hatinya. Kau memang cari pasal dengan aku, Doktor Afiq!
"So, Doktor Afiq ni anti dengan dietitian la?" teka Aira. Mungkin dia pandang dietitian ni sebelah mata aje kut.
"Yes. I rasa you macam tak bawa kepentingan. Doktor kan dah ada. Buat apa nak hire dietitian lagi?" Selamba dia menjawab. Memang pentingkan diri sungguh doktor ni. Apa yang kau bangga sangat dengan pekerjaan kau tu?
YOU ARE READING
PESONAMU
General FictionTajuk: Pesonamu Penulis: Una Unee Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-57-1 Muka Surat : 512 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Ogos 2018