Tiga bulan kemudian...
Hubungan yang asalnya bermula dengan kebencian kini semakin erat dan utuh dengan perasaan yang bersulam bahagia. Dari sehari ke sehari mereka menjadi rapat tanpa sedar. Kedua-duannya sudah mula selesa antara satu sama lain. Benarlah kata orang, perasaan benci itu lama-kelamaan akan bertukar sayang.
"Saya nak serius dengan awak. Aira, saya nak jumpa ibu dan ayah awak." Luahan Doktor Afiq Naufal itu membuatkan Aira yang baru ingin menyedut air di dalam gelasnya terbatuk-batuk.
"Apa awak cakap ni, Afiq? Nak buat apa jumpa mereka?" soal Aira dengan penuh kerutan di dahi.
"Saya sukakan awak. Saya nak awak jadi isteri saya." Sudah terang lagi bersuluh. Dia tidak mahu terus memendam rasa.
"Tapi... Saya..."
Aira tidak tahu berkata apa. Sebolehnya dia masih ingin mempertahankan prinsipnya. Aku tak akan berkahwin dengan doktor. Muktamad! Bersungguh-sungguh Aira berkata dalam hati.
"Aira, saya yakin yang saya bukan bertepuk sebelah tangan. Awak juga sukakan saya. Am I right?" teka Doktor Afiq Naufal tanpa berselindung.
Makin la Aira tidak keruan. Aduhai! Nampak sangat ke aku ni suka dekat dia? Takkk! Kalau tak suka kenapa kau layan aje dia selama ni? Kau keluar dengan dia, kau ambil berat tentang dia, kau selalu bergayut telefon dengan dia dan kau buat apa yang selalunya couple lain akan buat. Kau masih nak menidakkan perasaan kau ke, Aira? Argh...
"Afiq, awak tahu kan tentang prinsip saya sebelum ni?" ujar Aira.
Kedengaran tawa sinis dari bibir lelaki itu.
"Sampai bila awak nak pertahankan prinsip mengarut awak tu? Sudah la, Aira. Kalau dah ditakdirkan jodoh awak dengan doktor, awak kena terima la hakikat tu," komen Doktor Afiq Naufal.
Aira masih berfikir panjang. Betul ke dia ni jodoh aku? Betul ke Allah kirimkan dia untuk aku? Patut ke aku korbankan prinsip aku? Timbul bermacam soalan di benak fikirannya.
"Saya ada sebab saya tersendiri kenapa saya tak nak bersuamikan seorang doktor. Awak takkan faham, Afiq."
"Cuba beritahu saya apa sebabnya? Bukan ke ayah, ibu dan abang awak juga seorang doktor? Kenapa awak benci sangat dengan pekerjaan doktor ni? Ke sebab saya ni conventional doctor?" soal Doktor Afiq Naufal. Berusaha dia memahami kehendak wanita di hadapannya itu.
"Saya tak benci dengan doktor. And it is not about conventional or alternative doctor ke. Cuma saya tak nak anak-anak saya nanti terima nasib macam saya. Dalam hidup ni, kita diberi pilihan untuk memilih. Jadi, tak salah rasanya kalau saya nak memilih siapa bakal suami saya nanti." Dalam tenang Aira berkata. Berusaha dia mempertahankan prinsipnya itu.
"Memang tak salah kalau nak memilih tetapi jangan sampai nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Saya yang dah ada depan mata ni awak tak nampak," perli Doktor Afiq Naufal.
"Nak berkahwin ni kan Afiq, seorang perempuan tu bukan hanya perlu fikir siapa pasangannya tapi dia perlu fikir siapa bakal jadi ayah kepada anak-anaknya. Saya cukup faham pekerjaan seorang doktor tu. Awak punya komitmen yang sangat tinggi terutama sekali untuk pesakit-pesakit awak. Saya tak salahkan ayah dan ibu saya tapi sebagai seorang perempuan dan bakal bergelar ibu suatu hari nanti, saya tak nak anak-anak saya melalui pengalaman yang sama seperti saya," cerita Aira panjang lebar.
"Dari program di tadika, saya jaya waris di sekolah, hari ambil result PMR, SPM dan sampailah ke hari pertama saya masuk ke universiti, saya tak pernah merasa ditemani oleh kedua ibu bapa saya. Ada kalanya ibu yang datang, ada kalanya ayah yang datang dan ada masanya kedua-dua tak datang. Alasannya hanya satu, iaitu sibuk. Bila dekat rumah pula, ayah dan ibu balik waktu saya dah tidur dan keluar awal pagi sebelum saya bangun tidur. Kadang tu, nak jumpa mereka dalam satu rumah pun susah. Awak tahu tak, saya cemburu tengok kawan-kawan saya yang lain. Pergi sekolah dan balik sekolah dihantar oleh ibu ayah," sambung Aira lagi.
"Itu sebabnya kedua-dua ibu bapa awak doktor. Awak tak boleh samakan dengan doktor-doktor yang lain. Aira, saya akan cuba jadi yang terbaik untuk awak dan bakal anak-anak kita. Saya akan cuba bahagikan masa dan tak akan sisihkan awak dan juga anak kita nanti." Bersungguh-sungguh Doktor Afiq Naufal berikrar di hadapan wanita idamannya itu.
Aira tersenyum sindir.
"Saya tak suka lelaki yang berjanji manis. Saya takut janji tu akan makan diri awak sendiri. Lebih baik jangan berjanji sekiranya belum pasti awak dapat tunaikan perkara itu," pesan Aira.
Doktor Afiq Naufal terdiam seketika. Ada ketegasan dalam nada suara Aira.
"Kalau awak nak saya tunaikan janji tu, awak kena la bagi peluang dekat saya. Boleh kan, Aira?" kata Doktor Afiq Naufal.
Aira menelan liurnya. Dia tidak suka dipaksa. Tambahan lagi apabila perkara ini melibatkan perasaannya. Aku bakal sehidup semati dengannya jadi aku perlu buat pilihan dengan tepat. Bisik hati kecilnya.
"Saya perlukan waktu, Afiq. Bagi saya masa please," pinta Aira.
Timbul senyuman di bibir lelaki itu. Walaupun belum ada jawapan yang kukuh, sekurang-kurangnya dia masih ada harapan. Moga Aira akan berikan peluang untuknya, doa Afiq Naufal dalam hati.
"Saya boleh bagi awak masa Aira tapi awak jangan biarkan saya menunggu terlalu lama. Saya bukan memaksa cuma benda yang baik lebih elok kalau kita cepatkan. Tak begitu?"
Aira hanya tersenyum tipis. Bibirnya terasa berat untuk dibuka. Seriusnya wajah doktor muda ini. Aku tahu niatnya ikhlas tetapi cuma aku yang masih ragu-ragu. Ya Allah, adakah benar dia jodohku? Adakah sudah tertulis jodoh aku dengan seorang doktor? soal Aira sendiri.
"Dari zaman belajar lagi saya dah mula kumpul duit untuk kahwin. Saya memang dah lama bersedia untuk bergelar seorang suami."
Aira jadi serba salah mendengar pernyataan Afiq Naufal. Rupa-rupanya lelaki itu telah lama bersiap sedia untuk melangkah ke gerbang perkahwinan. Macam mana pula dengan aku? Apa persiapan yang aku telah buat untuk bergelar isteri orang? Rasa macam tak ada pun. Selama ni pun bukannya aku pernah fikir pasal bab-bab kahwin. I'm still young. Itu la jawapan yang aku selalu cakap dekat diri aku.
"Macam yang saya cakap tadi, I just need time. Saya mengaku yang saya suka dan rasa selesa berkawan dengan awak. Walaupun perkenalan kita bermula dengan perselisihan faham, tapi lama-kelamaan kita dah mula memahami antara satu sama lain. Awak memang dah ada ciri-ciri suami idaman seorang wanita cuma saya rasa saya ni yang belum bersedia. Saya rasa terlalu awal untuk saya melangkah ke alam perkahwinan," jelas Aira panjang lebar.
Bibir Doktor Afiq Naufal mula mengukir senyuman simpul. Luahan Aira meyakinkan bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan.
"Saya faham bab kahwin ni bukan boleh dibuat main. Tapi, saya cuma nak awak tahu yang saya bersungguh-sungguh nak jadikan awak yang halal untuk saya. Saya tak nak orang yang saya sayang terlepas ke tangan orang lain. Saya ikhlas nak memperisteri awak. Saat pandangan pertama, saya sebenarnya dah jatuh hati pada awak. Bila awak datang tegur saya, waktu tu saya rasa sangat bahagia sebab awak perasan kewujudan saya. Saya sengaja cari pasal sebab saya nak selindung rasa hati saya yang sebenar. Saya tak pernah rasa macam ni dengan perempuan lain. I really love you, Aira." Giliran Doktor Afiq Naufal pula meluahkan rasa hatinya.
Wajah Aira mula berona kemerahan. Degup jantungnya juga kian tidak menentu. Kedengaran begitu ikhlas kata-kata lelaki ini tetapi aku tetap perlukan waktu. Aku tidak mahu bertindak terburu-buru. Apa-apa pun, aku perlu letakkan Allah yang utama. Aku perlu minta petunjuk daripada-Nya. Semoga keputusan yang bakal aku ambil akan diredai oleh-Nya. Insya-Allah.
YOU ARE READING
PESONAMU
General FictionTajuk: Pesonamu Penulis: Una Unee Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-57-1 Muka Surat : 512 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Ogos 2018