"AKU macam tak percaya kau ada depan mata aku sekarang ni. Aku rindu gila dekat kau." Tubuh Emma terus dipeluknya seerat mungkin. Beberapa minit mereka berpelukan dan menjerit bagaikan tiada orang lain yang berada di situ. Ketika itu mereka baru sahaja tiba di Pulau Perhentian Kecil selepas hampir 45 minit perjalanan menaiki bot dari Jeti Kuala Besut.
"Aku lagilah. Tak sangka yang aku boleh cuti dan datang ke sini dengan kau. Aira, kenapa kau nampak makin cantik dan berseri ni?" komen Emma sebaik pelukan dileraikan.
Meledak tawa besar Aira. Sejak bila kawan baik aku ni pandai puji aku?
"Kau perli aku ke apa? Kau tu yang nampak makin cantik. Apa rahsianya?" Giliran Aira memuji teman baiknya. Tersenyum simpul Emma. Begitulah jadinya apabila sudah lama tidak bersua muka.
"Haha. Okey, apa kita check-in dulu lepas tu baru kita borak panjang," cadang Emma.
Mereka kemudiannya bergerak ke arah chalet di Shari La Resort yang telah ditempah khas oleh Emma. Mujurlah Emma memang ada kenalan di sekitar Pulau Perhentian ini. Lagi mudah la mereka mendapatkan penginapan.
Selesai mendaftar masuk, mereka berdua mengambil peluang untuk bersiar-siar di sekitar pulau itu. Serius cantik giler Pulau Perhentian ni. Rasa macam tak nak balik aje. Nak terus menginap dekat sini. Kalau la aku boleh buat macam tu mesti dah lama aku buat. Hahaha, omel Aira sendirian dalam hati.
"Aira, aku nak kau cerita dekat aku dari A sampai Z tentang mr. secret kau tu. Dia tu kerja satu tempat dengan kau ke? Dietitian juga?" soal Emma bertalu-talu.
Aira tersengih panjang. Sudah diagak pun pertanyaan teman baiknya itu.
"Kau mesti tak akan percaya kalau aku beritahu dia tu siapa," kata Aira seakan bermain teka-teki.
Terus kening Emma diangkat tinggi seakan-akan sedang berfikir. Beberapa saat kemudian bola matanya membulat besar apabila teringatkan tentang sesuatu.
"OMG. Takkan kau bercinta dengan doktor?" duga Emma. Sengihan panjang Aira membuatkan Emma menggelengkan kepalanya berkali-kali. Dahinya terus ditepuk perlahan. Aduhai...
"Tu la. Kan aku dah cakap sebelum ni. Yang kau tak nak tu la kau akan dapat. So, macam mana?" bebel Emma mengalahkan ibu-ibu.
Terdengar keluhan berat dari bibir Aira.
"Aku pun tak tahu nak buat apa, Emma. Entah. Aku tak boleh nak berfikir sekarang ni. Dia nak jumpa ibu ayah aku."
Kata-kata Aira sekali lagi mengejutkan Emma.
"Waaa... Dia betul-betul serius tu, Aira. Aku rasa dia memang serius nak jadikan kau isteri dia. Terima aje la. Bukan kau cakap nak kahwin muda ke dulu? Ni jodoh dah sampai, tunggu apa lagi?" Bersungguh-sungguh Emma berkata.
"Aku tak expect seawal ni. Rasa terlalu muda nak tamatkan zaman bujang aku. Macam mana ni, Emma? Aku minta masa tapi dia mesti nak jawapan dari aku, kan?" Gelisah Aira apabila memikirkan tentang keputusan yang bakal dia ambil. Orang lain senang aje nak kahwin kenapa aku susah sangat nak buat keputusan ni?
"Kau memang ada perasaan dekat dia la?" soal Emma. Kasihan pula melihat wajah kusut temannya itu. Aira yang dia kenal memang begitu. Kadang tu masalah kecil saja tapi Aira suka jadikannya masalah besar. Dia suka fikir dalam-dalam dan jadikan masalah tu makin complicated. Hah... Lepas tu bermulalah peranan aku sebagai teman baik dia. Akulah tenangkan dan bantu dia hadapi masalah, komen Emma dalam diam.
"Hmmm... Aku pun tak tahu. Kadang tu aku suka, kadang tu aku macam biasa-biasa aje. Arghhh... Aku tak tahu la, Emma," luah Aira.
"Kau selalu ingat dia tak? Rindu dia? Kau rasa selesa tak bila dia dengan kau? Dan yang penting kau percaya dia tak?" siasat Emma lagi.
Aira masih tetap dengan muka blurnya itu.
"Sehari tak tengok muka pun aku dah mula rindu. And everyday kami akan bergayut telefon. Aku rasa selesa berbual, berkongsi minat dan ada kalanya dia tempat aku mengadu masalah," cerita Aira.
Kata-kata Aira membuatkan wajah Emma bertukar masam mencuka.
"Ini tak adil. Aira, kau tahu tak dia dah ambil alih tempat aku. Selama ni aku la tempat kau mengadu masalah. Huhuhu," ujar Emma dengan nada tidak puas hati. Bibirnya juga sengaja dimuncungkan sedepa. Rasa cemburu tiba-tiba.
Meledak tawa Aira serta-merta. Hah sudah. Kawan baik aku dah terasa hati pula.
"Baby, kau dah ada di tempat special dalam hati aku. Tak ada siapa boleh ganti tempat kau. Jangan la merajuk macam ni. Aku minta maaf, Emma." Tak keruan Aira apabila Emma tiba-tiba meragam.
Melihat Aira yang sudah dipagut rasa bimbang membuatkan Emma melepaskan tawa besarnya.
"Hahaha. Aku tak merajuk pun la. Saja nak gedik dengan kau. Aku sedar hakikat yang kita berdua bukan selamanya akan kekal anak dara. Kau akan jadi milik orang lain suatu hari nanti. Aku juga macam tu. Cuma sebagai kawan, aku mesti la nak pastikan hanya orang yang layak saja dapat kau. Aku tak nak nanti kau disakiti atau apa-apa la," jelas Emma panjang lebar.
Mula berkaca mata Aira mendengar kata-kata yang kedengaran begitu ikhlas di telinganya.
"Terharunya aku. Kau betul-betul sayangkan aku, Emma." Terus tubuh Emma menjadi sasarannya.
"Of course la aku sayangkan kau. Aira, dari cara kau cerita aku dah boleh agak kau sebenarnya dah jatuh cinta dengan lelaki tu. Cuma kau rasa terbeban bila fikirkan tentang prinsip kau sebelum ni. Kau jadi serba salah sama ada nak terima dia atau nak menangkan prinsip kau. Am I right?" teka Emma.
"Yes, you are right. Kau memang betul-betul faham aku. Aku tak tahu nak buat keputusan. Aku takkan senang-senang korbankan prinsip aku. Nak gila aku fikir semua ni, Emma."
"Aira, kau dengar sini. Kita merancang tapi Allah juga merancang. Boleh jadi apa yang kau tak suka tu sebenarnya baik pada mata Allah dan apa yang kau suka pula sebenarnya buruk pada mata Allah. Aku boleh nasihatkan kau tapi keputusan kat tangan kau. Aku akan sokong apa saja yang kau pilih asalkan benda tu baik untuk kau," nasihat Emma dengan wajah yang cukup serius.
Aira menarik nafasnya dalam. Betul. Semuanya terletak pada tangan aku. Dan Allah sebenarnya sedang menguji aku ketika ini. Siapa aku untuk melawan takdir Allah atau ketetapan yang sudah ditetapkan?
"Aku tahu kau tak nak anak kau rasa apa yang kau pernah lalui sebelum ni. Jadi, kau la yang bertanggungjawab memastikan perkara yang sama tak berulang. Aku yakin ibu dan ayah kau pun tak berniat nak sisihkan atau abaikan kau cuma mereka terikat dengan tanggungjawab lain," sambung Emma lagi.
"Aku faham, Emma. Dan sebab aku faham la aku tak nak bersuamikan seorang doktor. Tapi sekarang lain pula jadinya. Kenapa aku patut jatuh cinta dengan seorang doktor? Dalam banyak-banyak orang kenapa doktor?" keluh Aira dalam nada tidak puas hati.
"Kau kena tanya diri kau sendiri. Kenapa kau yang mulakan dulu? Kau biarkan hati kau tergoda. Kau sedar hakikat dari awal lagi yang dia tu seorang doktor jadi kenapa kau berani nak main api? So, inilah akibatnya. Perasaan kalau dah telanjur memang susah nak buang," hujah Emma tanpa riak.
Sebab tu la wujud frasa bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Kalau dari awal lagi dia cuba elakkan diri dari tergoda dan jatuh cinta pasti perkara ini takkan sampai ke tahap ini. Kalau bermain dengan api jawabnya terbakar la.
Kepala yang tidak sakit mula dipicit perlahan oleh Aira. Aku datang sini untuk tenangkan fikiran bukan buat aku lagi terbeban. Kau tak perlu fikir lagi perkara ini. Just go with the flow, pujuk hatinya.
"Kita tutup cerita la untuk hari ni. Thanks tau Emma sebab kau selalu ada untuk aku. So, kita lupakan dulu masalah tu yang penting kita enjoy dekat sini. Tengok sana tu. Matahari dah nak terbenam la." Segera Aira mengubah topik perbualan mereka. Dia tidak mahu merosakkan suasana mereka berdua. Biarlah aku bergembira dengan teman baikku ini.
"Cantiknya, Aira. Bukan senang nak dapat tengok pemandangan indah macam ni." Mata mereka berdua bagaikan terpegun melihat suasana senja ketika itu. Rasa kagum dan jatuh cinta dengan ciptaan Yang Maha Esa. Subhanallah.
YOU ARE READING
PESONAMU
قصص عامةTajuk: Pesonamu Penulis: Una Unee Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-57-1 Muka Surat : 512 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Ogos 2018