BIBIR Aira masih tidak lekang dengan senyuman sebaik melihat pesakit pertamanya itu. Adik Haikal baru berusia sepuluh tahun tetapi beratnya sudah seperti orang dewasa. Melihat tubuh gempal yang comel itu membuatkan Aira sentiasa ingin tersenyum. Adik Haikal dirujuk oleh doktor kepada Aira disebabkan oleh masalah obesiti kanak-kanak.
"Assalamualaikum, Haikal," tegur Aira penuh adab sopan. Ibu dan bapa Haikal tersenyum membalas salam Aira manakala Haikal asyik sibuk dengan iPad di tangannya. Tipikal budak zaman sekarang.
"Haikal, jawab salam doktor tu," tegur ibunya.
"Khusyuknya dia main iPad tu," usik Aira sekadar ingin memulakan perbualan.
"Saya Aira, dietitian wad ni. Tadi doktor ada cakap nak refer anak encik dan puan pada pakar pemakanan, kan?" tutur Aira.
"Ya, doktor. Haikal ni kuat sangat makan sampai kami ni tak tahu nak buat macam mana dah," balas bapa Haikal.
"Saya akan tanya beberapa soalan sebab saya nak selidik tentang corak pemakanan Haikal dulu. Kalau ada mana yang tak patut tu saya akan betulkan selepas ni. Boleh, kan?"
"Boleh, doktor." Laju mereka menjawab. Aira tersenyum tipis. Dah biasa sangat pesakit dan ahli keluarga pesakit memanggil aku dengan panggilan doktor walaupun pada hakikatnya pegawai dietetik ni bukan doktor tau, omel Aira dalam hati kecilnya.
"Haikal nak cepat balik rumah tak?" pancing Aira. Melihat rekod perubatan Haikal, dia dimasukkan ke hospital disebabkan oleh masalah asmanya. Keluarga ini rupa-rupanya menetap di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung di Kelantan sempena cuti sekolah.
"Kita main nak tak?" Cuba Aira lagi apabila kanak-kanak itu seakan tidak mahu memberi respons.
"Main apa?" Barulah dia bersuara.
"Setiap kali Haikal jawab soalan, akak akan bagi sepuluh sen dekat Haikal," kata Aira bersama senyuman manisnya.
"Sepuluh sen aje?" soalnya kembali.
Tersenyum panjang Aira. Bijak budak ini. Kecil-kecil dah pandai menilai wang.
"Sepuluh sen tu walaupun kecil banyak nilainya. Lagipun, akak nak tanya banyak soalan ni. Nak tak Haikal? Kita tengok berapa yang Haikal dapat kumpul dari akak," pujuk Aira lagi sambil menggoyangkan bekas kecil yang dipenuhi dengan duit syiling sepuluh sen.
"Akak nak tanya soalan apa?" soalnya tidak sabar. Ipad mula diletakkan ke tepi.
"Berat Haikal sekarang ni berapa?" Sengaja Aira menyoal perkara itu walaupun ia sudah tertulis di rekod perubatan Haikal.
Laju dia menggeleng.
"Tak ingat la. Berapa, ibu?" ujar Haikal cuba meminta jawapan daripada ibunya.
"Hah. Tak aci la tanya ibu. Berat Haikal sekarang ni 70 kg. Jadi, untuk soalan pertama ni Haikal tak dapat sepuluh sen daripada akak sebab Haikal tak dapat jawab dengan betul," kata Aira.
Haikal mencebik. Tersenyum lebar ibu dan ayah Haikal melihat gelagat Aira melayan anak mereka.
"70 kilo? Bukan baru 60 lebih ke?" soalnya dengan penuh hairan.
Meletus tawa kecil Aira. Tahu pun dia.
"Itu berat dua bulan lepas. Sekarang ni dah 70, sayang. Boleh beritahu akak setiap hari apa yang Haikal selalu makan? Dari bangun tidur sehingga nak tidur semula. Ingat tak?" soal Aira lagi.
"Hmmm... Semua benda Haikal makan. Tapi Haikal paling suka ayam goreng. Kalau boleh hari-hari Haikal nak makan ayam goreng," cerita anak kecil itu dengan penuh kesungguhan.

ANDA SEDANG MEMBACA
PESONAMU
Algemene fictieTajuk: Pesonamu Penulis: Una Unee Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-57-1 Muka Surat : 512 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Ogos 2018