02

6K 321 35
                                    

"Rul." Suapan Fakhrul terhenti seketika apabila namanya dipanggil. Dia angkat wajah memandang uminya yang sudah melabuhkan punggung dihadapannya.

"Rul habiskan makanan dulu. Umi nak cakap sikit nanti." Ujar Puan Faridah.

"Cakap je lah umi. Rul dengar." Balas Fakhrul lalu menyuap kembali nasi yang masih berbaki. Beberapa saat berlalu, umi masih belum membuka mulut. Fakhrul pandang semula pada umi.

"Umi nak cakap apa?" Tanya Fakhrul lagi. Dilihat umi yang menghela nafas perlahan sebelum menguntum senyum.

"Umi ada risik anak Aunty Nisa."

Perbuatan Fakhrul terhenti. Makanan yang masih berada di dalam mulut terus ditelan tanpa sempat dia kunyah sehingga hancur. Mukanya tegang sedikit. Menahan perit dada bahana menelan makanan tadi.

"Dia sudi terima Rul jadi menantu dia." Sambung Puan Faridah. Mulut tua itu mengukir senyum. Sunyuman yang sangat manis. Sepertinya sudah mendapatkan perkara yang selama ini dihajati.

Fakhrul terbatuk. Tak sanggup dia tahan sesak di dada. Dia bangun lalu mancapai air masak dan diteguk rakus.

Selesai, perlahan gelas kaca itu diletakkan diatas kabinet. Diurut sedikit tekaknya dengan mata yang terpejam.

"Fakhrul, dengar tak umi cakap ni?" Tegur umi dengan badan yang sudah berpusing menghadap anaknya.

Fakhrul mengangkat pinggan kotor. Sisa makanan dibuang kedalam tong sampah sebelum tangannya melakukan aktiviti membasuh.

"Kenapa tiba-tiba umi?" Fakhrul bertanya kembali bila pinggannya sudah dibersihkan. Tangan dilap dengan tisu yang berada ditengah meja. Memang terkejut sungguh dia tadi. Cepat betul uminya buat kerja. Betullah kata Kak June, uminya memang ada merisik seseorang.

"Apa yang tiba-tiba? Awak tu dah nak masuk 30-an. Tengok Zaif tu, dah kahwin. Dah ada anak seorang pun." Teringat kawan baik Fakhrul yang sudah berkahwin iaitu Huzaifah. Kembang hatinya melihat pasangan muda itu pada majlis kenduri mereka dahulu. Dia juga mahu rasa begitu bila anak lelaki pertamanya berkahwin.

"Ingat tak Nelly, anak Aunty Nisa yang bongsu. Ayah dia kawan abah. Uncle Johan tu. Takkan tak ingat?" Terang Puan Faridah. Dia berharap sangat dapat jodohkan Fakhrul dengan Nelly. Dia suka budak tu. Fakhrul juga rasanya masih tiada sesiapa.

Hanya sekali dahulu sahaja Nelly diperkenalkan padanya, namun putus sekerat jalan. Kali ini dia mahu Fakhrul mengikut katanya. Senang. Tak payah susah-susah cari lain. Kalau anaknya tak hendak, dia akan pujuk sampai berjaya.

"Ohh. Nelly tu." Terbayang seketika wajah Nurelly yang dipanggil Nelly. Dia kenal Nelly. Nelly juga berkawan dengan adik bongsunya. Dulu kerap juga Nelly berkunjung ke rumahnya, meminta dia mengajar subjek-subjek tertentu. Akhir pertemuan mereka ketika Nelly berada di tingkatan lima. Dan dia belum pernah berjumpa lagi dengan gadis itu sehingga kini.

"Ingat kan. Dulu budak sekolah lagi. Sekarang dah besar... dah boleh kahwin." Lagi Puan Faridah cuba 'mempromosi'kan anak gadis kawannya itu. Dua kakak Nelly sudah pun berumah tangga. Hanya tinggal dia seorang sahaja. Tak salah rasanya mahu mengambil Nelly sebagai menantunya.

"Umi..." Fakhrul tarik nafas perlahan. Dalam fikirannya kini terbayang raut wajah Anne. Salahnya juga tidak memperkenalkan Anne pada orang tuanya. Dia bukan sengaja terlupa dengan ajakan tempoh hari. Tetapi apabila tiba waktunya, ada sahaja perkara lain yang terhalang sampailah kehari ini. Hari dimana uminya membuka mulut memberitahu perihal gadis lain kepadanya.

"Rul dah ada orang lain umi." Fakhrul berterus terang. Puan Faridah kelihatan sedikit terkejut.

"Iya je. Dari dulu cakap benda yang sama. Tapi tak ada pun." Dulu lagi anaknya mengelak bila mahu diperkenalkan dengan perempuan lain. Macam-macam alasan. Termasuklah yang ayat yang baru dituturkan oleh anaknya tadi.

Rintik Rintik RinduWhere stories live. Discover now