Langit malam tanpa bintang itu Hana tatap dengan perasaan yang berkecamuk. Taman mini ibunya memang menjadi ruang untuknya bersendirian, menyibukkan diri memikirkan segala hal yang terjadi antara dia dan Naufal. Rambut yang tidak diikat, sesekali menampar lembut wajahnya apabila angin perlahan menyapa.
Bertahun, memendam perasaan terhadap Naufal.
Bertahun, sejak matanya pertama kali jatuh pandang pada wajah yang sentiasa tenang itu.
Bertahun juga dia membenci, yang nyatanya bencinya kerana marah yang terpendam, yang nyatanya pada hakikat sebenar, rasa suka dan sayang itu tak pernah pudar.
Bertahun dia memendam rasa, tanpa menyangka Allah membawa jalan kehidupannya bertemu dengan Naufal.
Hana peluk tubuh, memandang langit tanpa jemu. Malam itu sunyi, yang mana semakin menambahkan kerinduannya terhadap kehangatan hadirnya Naufal di sisi, membahagiakan dirinya tanpa keluh.
"Abang..." panggilnya sendirian.
"Hana rindu,"
"Kenapa keadaan kita macam ni, abang? Hana taknak kita hancur..." suaranya bergetar, menahan sebak di dada.
Segala memori, daripada awal dia memendam perasaan terhadap Naufal sehingga detik-detik mereka bersama sepanjang berkahwin menjengah jendela ingatan Hana.
"Hana nak balik... tapi kenapa hati Hana berat sangat... Hana tak tahu kenapa Hana terlalu sedih sampai macam ni dengan abang..." tanpa dapat ditahan, esakan Hana terlepas jua.
"Hana tipu... Hana tak pernah jijik dengan abang... Hana..."
"Adik," suara garau dari belakangnya membuatkan Hana menoleh. Haikal yang berdiri tegak di pintu laman dipandang oleh Hana. Sedikitpun dia tidak mahu menyembunyikan kesedihannya.
"Abang..." rintih Hana bagai menggamit Haikal supaya mendekat.
Haikal meluru ke arah Hana lalu tubuh adiknya itu ditarik ke dalam pelukan. Di situ, Hana melepaskan tangisannya. Esakannya terlalu lirih, sehingga menyentuh hati Haikal, membuatkan lelaki itu turut merasa kesedihan yang ditanggung oleh Hana.
Belakang Hana ditepuk perlahan, kepalanya juga diusap. Semoga dengan cara itu dapat menenangkan Hana yang semakin kuat dalam tangisan.
Puan Faridah, daripada tangga hanya melihat sahaja keadaan dua beradik itu. Dia yang memanggil Haikal ke sini. Puan Faridah tahu, hanya Haikal yang mampu memujuk dan menasihati Hana walaupun mereka kerap bercakaran antara satu sama lain. Dia tahu hanya aura Haikal sahaja yang mampu membuatkan Hana meluahkan segala yang terbuku di hatinya.
"Abang tak tahu cerita detail, tapi apa yang abang tahu, baliklah. Balik pada dia," kata Haikal sambil mengusap belakang Hana. Hana masih begitu, masih menangis teresak di dada Haikal.
"Abang tak pernah nampak adik abang nangis macam ni sekali. Hei..." Haikal meleraikan pelukan, dia memegang kedua bahu Hana agar dia dapat melihat mata Hana.
"Cerita dengan abang. Semuanya. Biar abang faham apa yang jadi sebenarnya. Apa yang buat Hana lari daripada Naufal sampai macam ni sekali. Cerita dengan abang," pipi Hana yang basah dengan air mata dikesat oleh Haikal sementara Hana masih lagi tersedu-sedan meluahkan tangisannya.
YOU ARE READING
BERIKAN AKU PELUANG ITU 2 ✓
RomanceTakkan pernah ada perjalanan hidup yang lancar tanpa perlu menempuh derita dan luka. Rasa itu pasti akan menyelit di setiap kebahagiaan yang sedang kau rasakan. Jadi serupa jugalah kisah hidup mereka; Hana&Naufal. Aturan Allah, rumah tangga yang di...