Pukul sembilan pagi, aku terjaga dari mimpiku oleh rakan aku, Musa yang cuba membangunkan aku dari sofa. Wajahku masih lagi muram kerana hari ini ialah hari yang menyedihkan. Kawanku sedar dengan raut wajah aku lalu menyuruh aku pergi membersihkan diri dan bersiap.
Aku menangis di bawah pancuran air di dalam bilik mandi. Setiap titisan air dari pancuran itu bagaikan jarum-jarum kesakitkan memaksaku untuk bersedih dan mengalirkan air mata. Walaupun aku cuba menolaknya, tetapi ketajamannya terlalu berbisa.
Keluar dari bilik mandi, aku memakai baju yang sesuai dan sopan untuk pergi ke tanah perkuburan. Musa akan membawaku ke tempat itu dengan menaiki kereta. Aku dah banyak terhutang budi dengan Musa, mungkin aku akan belanja dia makan tengah hari nanti.
Aku mengunci pintu rumah untuk memastikan keselamatannya, tetapi aku gagal untuk memastikan keselamatan isteriku. Itulah perbezaan antara manusia dan harta benda. Harta benda boleh dibina, dimusnahkan dan dibina kembali. Manusia dilahirkan, dimatikan dan tidak akan kembali. Aku menaiki kereta Musa.
"Musa, semalam seorang lelaki jumpa aku."
"Siapa dia?"
"Mat saleh, Amerika, FBI, Tom White namanya."
"FBI? Kenapa FBI nak jumpa dengan kau?"
"Dia kata dia akan bantu aku."
"Dan kau percayakan dia?"
"Dia dah siasat kes gas misteri tu selama sembilan tahun dan masih lagi gagal. Dia bantu aku, aku bantu dia."
"Aku cuma nak ingatkan, jangan letakkan kepercayaan yang tinggi kat lelaki tu. Dia mungkin ada agenda dia sendiri. Just be careful." Nasihat Musa kepadaku. Aku pun takkan beri kepercayaan seratus peratus kepada Tom White. Tapi aku perlukan dia untuk bongkar rahsia disebalik kes misteri itu.
Aku dan Musa tiba di tanah perkuburan, beberapa kenalan rakan-rakan polis, saudara-maraku dan Superintenden Haji Mustafa hadir. Aku memeluk saudara dan rakan-rakan polisku dengan erat, mereka suruh aku tabah dengan pemergiannya. Ya, aku tabah, tapi aku masih marah terhadap sesiapa yang bertanggungjawab terhadap serangan semalam. Nyawa tidak bersalah banyak terkorban.
Jenazah isteriku tiba, hujan mula renyai-renyai turun seperti air mataku yang sedang mengalir. Jenazah isteriku di bawa ke lubang yang sudah dikorek dalam siap. Badan manusia diliputi dengan kain putih di bawa keluar dari keranda. Aku sendiri yang mengangkat jenazah isteri aku. Aku dengan berhati-hati masuk ke dalam lubang dan meletakkannya perlahan-lahan. Sukar untuk aku melepaskannya, tapi aku akan perbetulkan keadaan semula.
Lubang yang dalam mula ditutup semula. Dua dunia berbeza berpisah. Ironinya, majlis pengebumian ini sama seperti pengebumian ayah dan ibuku... Hujan. Seakan-akan langit sedang menangis kepadaku. Mereka yang lain membawa payung untuk menutup rahmat tuhan, tapi aku tidak. Aku membiarkan hujan mengenai tubuh badan kerana aku dapat merasai kemarahanku mula pudar turun menyejuk, menyegarkan mindaku. Aku mensyukuri nikmat-Nya.
Selesai sahaja majlis pengebumian, Superintenden Haji Mustafa memberitahu kepada aku yang aku telah dipindahkan ke Jabatan Penyiasatan Jenayah atau CID. Aku akan bekerjasama dengan agen FBI, Tom White untuk menyiasat kes misteri gas tersebut. Nampaknya Tom sudah berjumpa dengan ketua aku.
Musa menghantar aku pulang ke rumah. Aku memeluknya sebagai tanda persahabatan erat aku dan dia kerana itu mungkin hari terakhir aku berjumpa dengan dia. Aku masuk ke rumahku untuk mengambil kunci kereta dan memandu terus ke Kafe Yuni.
Tiba di hadapan pintu masuk kafe itu, aku masuk dan melihat Tom White sedang duduk menikmati kopi panas, sesuai dengan cuaca hujan. Dia duduk di bahagian penjuru kafe, jauh dari pandangan mata orang. Aku melangkah mendekatinya. Dia memberikan senyuman kepadaku.
"Nampaknya, kau dah bercakap dengan ketua aku." Aku bersuara.
"Silakan duduk Encik Bakar." Tom mempelawa aku duduk. Secawan kopi panas dan segar sudah menanti aku di atas meja. Aromanya yang wangi menusuk ke dalam deria bau aku, memaksa aku duduk dan menikmati kopi itu.
"Jangan risau, saya belanja." Kata Tom sambil mengeluarkan satu dokumen dari beg briefcase miliknya.
"Let's go straight to the mission. Gunnitello, inilah wajah yang kita perlu tangkap." Tom memberikan sekeping gambar kepada aku. Wajah lelaki itu seperti muka pelakon Gary Oldman, berpakaian kemas seperti orang korporat. Aku melihat mata kirinya berwarna merah, seperti dia memakai kanta lekap.
"Dan ini empat orang kuatnya." Tom membawa keluar empat keping gambar dan meletakkannya di atas meja.
"Gambar pertama, namanya Tequila, bekas anggota polis Hong Kong, dia sertai organisasi Gunnitello dua tahun lepas. Gambar kedua, Cognac, apa-apa hal berkaitan kewangan, Gunnitello akan serahkan kepada dia. Gambar ketiga, Whisky, orang paling lama menyertai organisasi dan yang terakhir, Vodka, bekas tentera Rusia. Kita tak tahu nama sebenar mereka, cuma nama samaran." Terang Tom.
"Jadi apa misi kita?"
"Kamu akan menyelinap masuk ke dalam organisasi, cuba kumpulkan bukti sama ada mereka ada menyimpan gas berbahaya itu. Kalau ada, baru kita boleh dakwa Gunnitello."
"Selain daripada itu?"
"Cuba dapatkan maklumat dari empat orang kuatnya. Kalau kamu dapat bina kepercayaan yang kuat dalam organisasi itu. Mereka mungkin akan membawa kamu berjumpa dengan Gunnitello."
"So, I will go undercover?"
"Yes. Tapi jangan risau, saya sudah uruskan semuanya untuk kamu. Cuma penampilan dan wajah kamu kena berubah."
"Maksud kau?"
"Botakkan kepala kamu. I did some background check on you. Kamu memang terkenal dalam membanteras jenayah dengan rakan kamu, Musa, itu bermakna kamu banyak musuh. Daripada info yang saya dapat, Gunitello ada buat hubungan rakan kongsi dengan kumpulan-kumpulan gangster tempatan. Jadi lebih baik kamu ubah penampilan kamu."
"Kau pulak, kau buat apa?"
"Sementara kamu siasat dari dalam, saya akan siasat dari luar. Jadi masing-masing ada tugasan sendiri."
"Bila kita boleh mula?"
"Esok."
YOU ARE READING
BAKAR
ActionInspektor Bakar merupakan seorang pegawai polis yang terkenal di bandar Kuala Lumpur. Isterinya merupakan sebuah permata kasih sayang buatnya. Namun, permatanya itu hancur dalam sekelip mata yang menyebabkan dirinya berubah menjadi seorang yang ga...