Selepas aku dan Vodka menyerahkan beg berisi wang tunai yang banyak kepada Cognac. Aku dan Vodka membawa haluan masing-masing, dia kembali ke rumahnya, aku kembali ke apartmen. Aku berjalan pada waktu malam di persimpangan jalan yang sunyi ditemani dengan air hujan yang turun renyai-renyai. Aku membiarkan hujan membasahi tubuh badanku. Hujan menyucikan aku kembali.
Tidak lama kemudian, aku berjalan berdekatan dengan sebuah restoran mewah high class. Sedang aku berjalan, aku terlihat di dalam restoran itu, pasangan suami isteri sedang tersenyum menikmati makan malam yang enak. Nyanyian lagu selamat hari jadi mula kedengaran di dalam restoran itu. Pelayan restoran mula membawa kek ke meja pasangan tadi. Suaminya memberikan hadiah istimewa kepada isterinya. Isterinya sangat teruja.
Melihat pasangan itu mengingatkan kepada diriku dan Sarah. Aku juga pernah melakukan perkara seperti itu dulu. Dan hari ini ialah hari jadi Sarah. Aku berjalan terus ke rumah banglo lamaku yang tidak jauh dari tempatku berdiri. Sejak aku bekerja dengan CID, aku meninggalkan rumah itu dan tinggal di apartmen yang aku tinggal sekarang.
Rumah banglo itu aku biarkan Musa menjaganya untuk aku. Dan pada malam ini, buat pertama kalinya selepas dua tahun aku meninggalkannya. Aku kembali. Kembali untuk melawat masa silam. Dulu aku tinggal seorang, lepas itu berdua. Banyak kenangan yang tercipta di dalam rumah itu.
Musa menjaga rumah aku dengan baik sekali, tidak ada rumput yang tumbuh meninggi. Aku melangkah masuk ke dalam rumahku, perasaanku mula berubah, memori lampauku mula segar kembali dalam ingatanku. Objek pertama yang aku lihat dahulu ialah gambar perkahwinan kami yang berada di atas meja kecil. Aku mengambil gambar itu.
Air mata mula mengalir keluar, membasahi pipiku dan turun ke wajah isteriku di atas gambar perkahwinan kami. "Selamat hari jadi sayang." Itu sahaja yang boleh diucapkan oleh aku. Di ruang tamu itulah, kami berdua menghabiskan masa dengan berehat atau menonton televisyen.
Kadang-kadang kami berdua berebut alat kawalan jauh televisyen. Sarah suka menonton rancangan drama-drama atau filem dari pelbagai genre, sementara aku pula lebih suka menonton rancangan-rancangan ilmiah seperti kisah hidup orang-orang terkenal, sejarah negara, sains dan banyak lagi.
Tapi lama-kelamaan aku cuba untuk memahami minatnya terhadap drama-drama dan filem. Dan dia juga cuba untuk memahami minatku. Akhirnya titik persamaan mula terhasil antara kami berdua. Seperti pasangan-pasangan lain yang sudah berkahwin, tidak sah kalau hidup berumah tangga tanpa ada pertengkaran. Kami berdua juga tidak lari dari masalah itu. Ada masanya kami berdua akan bertengkar kerana hal yang remeh-temeh. Tapi, apabila sampai ke penghujungnya, kami berdua sering mengamalkan konsep 'memaafkan dan melupakan'. Itu yang membuatkan perkahwinan kami berdua kuat dan bertahan lama.
Aku mula bergerak naik ke tingkat atas. Aku masuk ke bilik peribadi Sarah. Di situ dia melakukan semua kerjanya. Dia menyelesaikan kes-kes mahkamah penting di dalam bilik itu. Meja kerja dan dokumen-dokumen tersusun kemas di atas meja. Di belakangnya, rak-rak buku undang-undang tersusun rapi di belakang. Ingatan isteriku memang kuat, dia boleh ingat setiap akta undang-undang di dalam buku yang sudah dia baca.
Aku memeriksa laci di bawah mejanya dan mendapati ada sebuah buku dengan kulitnya berwarna hijau. Mungkin diari. Aku membukanya, di helaian pertama adalah gambar aku dan dia di tepi pantai. Aku tersenyum, terkenangkan gambar itu semasa kami berdua berbulan madu di Krabi, Thailand.
Aku meneliti setiap helaian muka surat diari Sarah. Mata aku tertumpu pada satu muka surat, gambar anak-anak kecil menghiasi satu helaian itu. Gambar kanak-kanak sedang bermain di taman permainan, gambar kanak-kanak sedang berlari di tepi pantai dan gambar pasangan suami isteri sedang mendukung bayi yang kecil lagi suci.
"Aku teringin nak ada anak kecil, anak kandung aku sendiri. Aku dah menjadi isteri, tetapi belum lagi menjadi ibu. Setiap hari aku melihat ibu-ibu membawa anak-anak mereka berjalan bersama-sama di taman membuatkan perasaan aku lebih mahu nak ada anak. Tapi, kami berdua selalu sibuk di tempat kerja. Aku ingin memberitahu dia, tapi aku takut dia tidak bersedia. Aku berharap dia bersedia untuk menjadi bapa. Aku berharap kami berdua dapat menimbang cahaya mata."
12.00 P.M. - Sarah
Aku membaca tulisan diari Sarah itu pada waktu yang sama, dua belas tengah malam. Aku berasa sedih kerana tidak dapat menunaikan hajat Sarah untuk mendapat cahaya mata. Pada hari aku menjemput dia untuk meraikan hari jadinya. Aku yakin. Aku sudah bersedia untuk menjadi seorang bapa. Seorang bapa yang bertanggungjawab untuk mendidik anaknya menjadi seorang yang berjaya dan berguna dari segi rohani dan jasmani.
Aku membuka helaian seterusnya, kali ini Sarah menulis tentang tempat kerjanya. Tentang kes mahkamah yang dia sedang selesaikan berkaitan seorang lelaki bernama Joseph Conrad. Aku masih ingat lagi, sebelum letupan itu berlaku, beberapa hari sebelumnya, Sarah selalu balik lewat pada pukul satu pagi, kadang-kadang tidak balik ke rumah langsung.
Aku selalu mengingatkan dia supaya jangan kerja lebih masa dan jaga kesihatan. Tapi dia berkata kepada aku yang dia perlu selesaikan satu kes penting. Mungkin kes yang dia maksudkan ialah kes Joseph Conrad. Tidak banyak yang aku boleh tahu mengenai kes Joseph Conrad itu melalui tulisan dalam diari Sarah. Apa yang Sarah tulis di penghujungnya ialah. "Aku dah tak banyak masa."
Aku menyimpan kembali diari Sarah ke dalam laci meja. Aku meninggalkan bilik kerja Sarah. "Selamat tinggal sayang." Aku ucapkannya sebelum aku menutup pintu.
Aku bergerak pula bilik ruang bacaan aku yang berada bersebelahan dengan bilik kerja Sarah. Tiga rak besar dengan buku yang banyak tersusun rapi. Semuanya buku tentang sejarah dunia, sejarah peperangan, sains dan buku pelbagai bahasa asing. Ya! Sejarah dan Sains adalah subjek kegemaran aku semasa aku di sekolah menengah dulu. Kalau di luar waktu sekolah, aku akan mempelajari bahasa asing selain dari Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Tapi pada hari ini, aku datang ke bilik itu bukan untuk mengambil buku. Tapi untuk mengambil sesuatu di balik buku-buku tersebut. Aku bergerak ke arah rak buku yang pertama. Di antara buku bahasa German, Rusia dan China itu, aku menarik keluar ketiga-tiga buah buku itu dan letakkannya di atas meja yang berada di belakangku.
Di belakang tiga buah buku tersebut, aku ada menyimpan sebuah kotak hitam. Aku membawanya keluar dan membukanya. Sepucuk pistol FN Five-seven berwarna hitam dengan peluru katrij 5.7x28mm.
Apa yang aku tahu tentang pistol ini ialah FN Five-seven telah dikeluarkan pada tahun 1998 oleh syarikat pengeluar senjata FN Herstal dan khidmatnya masih lagi digunakan sampai sekarang di negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Kanada, Perancis, India, Amerika Syarikat dan 14 buah lagi negara. Magazin Five-seven memuatkan dua puluh butir peluru. Pistol ini juga dikatakan boleh menembusi baju perisai.
Pistol ini telah dihadiahkan kepada aku oleh seorang kenalan aku dari Thailand. Dia menghadiahkan aku pistol ini sebagai tanda terima kasih kerana aku membantu dia menyelesaikan kes pemerdagangan manusia yang telah berlaku di sempadan Malaysia-Thailand dulu. Aku tidak pernah menggunakan pistol ini, jadi sekarang masa yang sesuai untuk dia bangun dari tidur yang lama.
Setelah aku menyimpan kembali kotak hitam dan menyusun semula tiga buah buku itu ke tempat asalnya. Aku keluar dari bilik bacaanku. Nada dering dari telefon pintarku mula berbunyi. Aku mengeluarkan telefonku dari poket seluar. Nama Vodka mula terpapar di skrin telefon aku. Aku menjawab panggilannya.
"Hello Vodka, ada apa kau call aku ni?"
"Yusuf, sebab malam ni kau buat kerja yang bagus, aku nak ajak kau datang rumah aku. Aku nak belanja kau makan."
"Ok, aku datang sekarang."
Pelik? Selalunya Vodka bukannya seorang yang suka belanja orang makan. Aku dah banyak lakukan kerja bersama dengan dia dan ini kali pertama dia bersikap begitu. Sikapnya suka menepati masa dan berdisiplin setiap masa. Aku cuba untuk contohi beberapa sikapnya yang bagus. Sikap seorang bekas tentera.
YOU ARE READING
BAKAR
ActionInspektor Bakar merupakan seorang pegawai polis yang terkenal di bandar Kuala Lumpur. Isterinya merupakan sebuah permata kasih sayang buatnya. Namun, permatanya itu hancur dalam sekelip mata yang menyebabkan dirinya berubah menjadi seorang yang ga...