Dua tahun kemudian...
Sudah dua tahun aku menjadi undercover untuk CID. Aku menjadi individu dalam dua dunia berbeza, dunia penyamaran dan dunia organisasi gangster. Banyak yang aku belajar dari dua dunia itu. Dalam dunia penyamaran, aku banyak belajar dari Tom White tentang bagaimana untuk menjadi "seperti" gangster sebenar, mengesan pergerakan tubuh badan suspek serta bahan bukti dengan tepat, bermain dengan psikologi dan banyak lagi.
Untuk dunia organisasi gangster, aku juga banyak belajar terutamanya dari Vodka, lelaki dari Rusia berbadan sasa seperti pelakon Dwayne Johnson. Dia mengajar aku teknik menembak CAR atau nama panjangnya Center Axis Relock. Teknik menembak CAR itu lebih sesuai digunakan untuk jarak dekat, tapi untuk jarak jauh aku lebih suka gunakan teknik Weaver Stance iaitu teknik asas menembak untuk semua anggota polis dan tentera.
Selain dari mengajar teknik menembak, Vodka juga mengajar aku seni mempertahankan diri dari Rusia, Systema. Walaupun aku dah ada seni mempertahankan diri Silat, tapi bagus juga aku belajar perkara yang aku tidak tahu. Seperti orang tuaku pernah berpesan "Banyakkan belajar benda baru, belajar dari orang luar, belajar dari orang yang lebih mahir, fikiran akan lebih terbuka." Sejak beberapa bulan yang lepas, aku banyak bersembang dengan Vodka dari orang lain, seperti aku sudah kenal dia lama.
Dia seorang bekas askar Rusia berpangkat kapten. Kenapa dia masuk organisasi Gunnitello? Kerana dia dijatuhkan hukuman ke atas kesalahan yang dia tidak pernah lakukan. Oleh sebab itu, Vodka meletakkan jawatan dan keluar dari tentera, keluar dari negara Rusia dan terbang ke U.S.A. Vodka juga bijak menggunakan kemahiran parkour untuk melakukan serangan, dia boleh menembak sambil bergayut di satu tiang besi dan kemahiran itu juga dia ajarkan kepada aku.
Mesti kamu tertanya-tanya, macam mana aku menyamar masuk ke dalam organisasi Gunnitello? Tom White memberikan aku identiti baru dengan nama Yusuf sebagai seorang banduan yang baru sahaja disabitkan atas kesalahan membelasah lima orang sehingga cedera parah. Semasa aku berada di dalam penjara selama enam bulan, aku berkenalan dengan Jigsaw, orang dalam Gunnitello yang menyamar sebagai pekerja cleaner di dalam penjara. Dia mengajak aku untuk menyertai organisasi Gunnitello selepas dia teruja dengan "persembahan" yang aku telah lakukan iaitu membelasah dua puluh orang banduan di kantin.
Selepas aku dikeluarkan awal dari penjara, yang mungkin aku rasa proses keluar penjara aku telah dirancang oleh Jigsaw. Aku dibawa ke bangunan organisasi Gunnitello. Di sana, mereka mengatur penjumpaan dengan banduan-banduan yang baru sahaja keluar dari penjara, termasuk aku. Mereka merekrut kami semua. Wajah aku sudah banyak berubah, rambut aku sudah tumbuh panjang dan janggut juga sudah mula naik berakar seperti hutan hitam.
Aku sudah bertanyakan secara psikologi kepada ramai ahli dalam organisasi tersebut tentang kes letupan itu. Mereka tahu, tapi seperti tidak mahu mendedahkan dengan lebih lanjut, membuatkan aku ingin lagi mengorek rahsia dalam organisasi mereka. Apa yang aku dapat tahu, mereka membekalkan senjata biasa kepada gangster-gangster di Kuala Lumpur, tapi aku tidak temui senjata atau bahan kimia yang merbahaya dalam organisasi mereka. Dan aku amat jarang sekali dapat berjumpa dengan ketua mereka, Gunnitello, bukan aku sahaja, malah ahli-ahli dalam organisasi itu juga. Yang hanya dapat berjumpa dengan Gunnitello ialah Cognac dan Whisky.
Malam ini, aku, Vodka, Tequila dan beberapa ahli kumpulan kami pergi ke restoran di Jalan Chow Kit yang dimiliki oleh kumpulan gangster Tan Lock. Dua hari yang lepas, Cognac memberitahu kepada kami tentang penipuan yang dilakukan oleh Tan Lock semasa membuat pembayaran untuk membeli senjata. Pendek kata, Tan Lock tidak membayar 20% lagi.
"Ingat apa yang aku dah ajar kat kau. Sama ada kita masuk dengan bersalaman atau kita masuk dengan pistol di tangan. Jangan ada belas kasihan. Fokus." Vodka memberi nasihat kepada aku. Dia berada di depan, aku di belakangnya diikuti dengan sepuluh orang ahli kami.
Pada malam itu, aku hanya berpakaian baju hitam tanpa kolar dan jaket lengan panjang berserta dengan seluar jeans biru. Dua pucuk pistol Glock 22 sudah berada di balik jaket aku. Sebelum sampai ke pintu masuk restoran dua tingkat itu, aku mengunyah kacang hijau yang aku simpan di dalam satu botol kecil.
Sejak beberapa bulan yang lepas, aku ada ketagihan terhadap kacang hijau. Boleh dikatakan setiap hari, sekurang-kurangnya tiga kali aku mengunyah kacang hijau. Kacang hijau itu seperti membekalkan tenaga dalaman yang aku tidak dapat lihat. Aku menyimpannya di dalam satu botol besi kecil yang berbentuk seperti botol kecil minuman keras yang kamu selalu lihat dalam rancangan drama-drama barat di mana mereka menyimpan botol itu di dalam jaket kerana ia senang untuk dibawa ke mana-mana.
Vodka membuka pintu restoran Tan Lock. Vodka bertanyakan kepada pelayan restoran di situ di mana bos mereka. Pelayan itu memberitahu Tan Lock berada di tingkat atas. Lalu kami pergi ke atas untuk berjumpa dengannya dan mendapati Tan Lock sedang mengadakan makan besar dengan rakan-rakan Cinanya.
"Tan Lock, kita kena berbincang." Vodka bersuara.
"Ada apa hal ni!?" Tan Lock meninggikan suaranya.
"Tan Lock, kau tipu masa buat pembayaran jual beli senjata dari kami."
"Mana ada!? Gua sudah bayar full habis. Líkāi zhèlǐ! Líkāi zhèlǐ!" Tan Lock cuba untuk menghalau kami keluar.
"Heh, Tan Lock, Tan Lock. Kau boleh tipu manusia, tapi kau tak boleh lari dari teknologi." Vodka menunjukkan telefon pintarnya ke arah Tan Lock. Terpapar satu video Tan Lock sedang menyimpan wang dua puluh peratus yang sepatutnya dibayarkan kepada Cognac. Video itu diambil dari rakaman kamera litar tertutup di restoran tersebut. Video itu dirakam sebelum Tan Lock mengadakan perjumpaan dengan Cognac.
Reaksi Tan Lock amat terkejut selepas melihat video itu lalu dia mengeluarkan pistolnya. Aku, Vodka dan ahli kami dengan pantas mencari perlindungan. Aku menjatuhkan meja kayu di hadapan aku dan gunakannya sebagai tempat berlindung. Sementara Vodka juga melakukan perkara yang sama.
Tembakan dilepaskan dahulu di pihak Tan Lock. Dia dan rakannya melepaskan tembakan yang bertubi-tubi ke arah kami. Lima orang ahli kami sudah mati selepas ditembak berkali-kali oleh Tan Lock dan rakannya. Aku, Vodka dan yang lain-lain hanya dapat membalas tembakan tipis sahaja.
Aku berjaya membunuh dua rakan Tan Lock. Sementara Vodka dapat membunuh seorang. Aku menunggu masa yang sesuai untuk melepaskan tembakan. Tiba-tiba, keajaiban berlaku.
YOU ARE READING
BAKAR
ActionInspektor Bakar merupakan seorang pegawai polis yang terkenal di bandar Kuala Lumpur. Isterinya merupakan sebuah permata kasih sayang buatnya. Namun, permatanya itu hancur dalam sekelip mata yang menyebabkan dirinya berubah menjadi seorang yang ga...