Sarah Dayana, isteriku, berumur 39 tahun. Hari ini ialah hari jadi dia yang ke-40. Aku boleh katakan dia ialah cinta pertama sebab aku ni tidak pernah bercinta sejak sekolah. Selalu sibuk dengan aktiviti sekolah. Kami berkenalan tiga tahun lepas. Perkenalan kami berdua agak "cemas" kerana masa itu aku dalam perjalanan ke kedai makan dengan berjalan kaki.
Tiba-tiba, seorang perempuan diragut beg tangannya oleh seorang lelaki, perkara itu berlaku di hadapan mataku. Lalu aku pun berlari mengejar peragut itu sehinggalah sampai di satu jalan mati di lorong gelap. Peragut itu cuba menyerang aku dengan pisau lipatnya, tetapi dengan mudah aku merampas pisau dan beg tangan dari tangannya.
Aku hampir menahan peragut tersebut. Tetapi selepas melihat wajahnya, aku berasa kasihan, budak lelaki dalam lingkungan umur 15 tahun, bajunya kusut-masai, kurus kering kerana kurang makan. Aku mula bertanya kepada budak itu.
"Kenapa adik buat macam ni. Tau kan ni perbuatan salah?"
"Tau, tapi saya terpaksa. Saya nak makan." Jawab budak itu sambil menundukkan kepalanya.
"Mak ayah adik mana?"
"Dah tak ada."
"Habis, adik tinggal kat mana sekarang?"
"Kat bawah jambatan, dengan adik."
"Nah, ambil duit ni. Beli makanan untuk kamu dan adik kamu sekali." Aku memberikan wang lima puluh ringgit kepada budak lelaki.
"Terima kasih encik." Budak itu menangis kerana gembira.
"Adik, jangan buat benda ni lagi. Cari kerja, cari rezeki halal, jadi abang yang berguna demi adik kamu." Nasihat aku.
"Baiklah encik, terima kasih banyak-banyak."
"Dah, cepat pergi sebelum saya tukar fikiran." Lalu budak lelaki itu pun beredar dari situ. Aku lepaskan budak itu kerana dia terdesak, terdesak untuk mencari sesuap nasi untuk adiknya dan dirinya. Aku seorang anggota polis, tapi aku masih lagi ada sifat perikemanusiaan aku walaupun aku bertindak ganas di hadapan penjenayah. Mendiang ayahku pernah berpesan, jika seseorang itu melakukan kesalahan kerana terpaksa, demi keluarga yang dalam kesusahan. Janganlah kita memarahi dia atau menahannya, sebaliknya kita cuba bantu dan beri nasihat kepadanya supaya dia boleh berubah.
Pesanan ayah aku itu akan aku selalu ingat dalam ingatanku. Sifat itu yang membuatkan ayahku dihormati oleh masyarakat. Terima kasih ayah untuk pengajaran hidup ini. Aku selalu mendoakan ibu dan ayah agar mereka berdua tenang di sana. Episod hidup mereka berdua sudah berakhir, kini episod hidupku sedang menempuh pelbagai cabaran.
Aku memulangkan semula beg tangan kepada wanita tersebut. Wajah perempuan itu tersenyum manis, lalu mengucapkan terima kasih kepada aku. Entah mengapa, aku suka melihat senyumannya, perasaan yang pelik mula hadir dalam hatiku.
"Nama encik siapa?" Perempuan itu bersuara.
"Bakar. Abu Bakar."
"Oh, mesti orang gelar encik bakar sampai jadi abu." Dia tersenyum.
"Apa?"
"Takde apalah, saja jer gurau. Nama saya Sarah Dayana. Selamat berkenalan."
"Selamat berkenalan." Sejak dari hari itu, kami berdua mula keluar bersama untuk bertukar pendapat dan mengenali diri antara satu sama lain. Macam kebanyakan cerita romantik yang kamu selalu lihat di kaca televisyen, pasangan akan ditemukan dalam situasi yang tidak dijangka, mereka berkenalan dan jatuh cinta, akhirnya mereka berkahwin. Macam itulah yang terjadi juga kepada kami berdua, selepas tiga bulan kami mengenal diri masing-masing, aku berkahwin dengan Sarah.
Sebelum majlis perkahwinan, aku dan dia berbincang tentang pelbagai perkara mengenai persiapan majlis tersebut, terutamanya tentang kewangan. Sarah seorang wanita yang baik, kami bersama-sama membantu bahu masing-masing untuk merealisasikan majlis perkahwinan itu kerana di zaman ribut ekonomi yang sedang ganas menyerang kehidupan manusia ini, semua benda menjadi mahal. Aku melihat ramai kawanku berhutang keliling pinggang selepas kahwin. Tapi, Sarah faham tentang aku, dia mahukan perkahwinan realiti dan bukannya fantasi. Asalkan kami berdua sah menjadi suami isteri.
Ibu bapa Sarah sudah meninggal dunia, begitu juga dengan aku. Takdir kami berdua sama. Kami berdua mengharapkan ibu bapa kami berada di sisi kami dan melihat dengan penuh gembira perkahwinan kami. Walaupun kami berdua sedih dalam gembira, rakan-rakan kami datang untuk memeriahkan suasana perkahwinan kami berdua. Rakan-rakanku dari IPK Kuala Lumpur dan rakan-rakan Sarah dari tempat kerjanya.
Awan yang mendung, mula kembali cerah. Kami mula membina rumah tangga bersama-sama. Aku berjanji akan melayani isteriku sebagai mana mendiang ayahku melayani mendiang ibuku.
Hari ini ialah hari lahir buat isteriku. Aku sekarang dalam perjalanan ke bangunan tempat kerjanya. Sarah bekerja sebagai peguam di sebuah firma guaman swasta bernama Rashid & Co yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur. Kek dan hadiah misteri hari jadinya berada di tempat duduk penumpang kereta aku. Dia amat sukakan Strawberi, jadi aku membeli kek Strawberi berwarna ceria bagaikan tanda kasih sayangku kepadanya yang masih lagi merah di hati, putih suci seperti baju perkahwinan kami berdua.
Aku meletakkan kenderaanku di tempat letak kereta yang telah disediakan iaitu di sebuah bangunan lima tingkat yang dikhaskan untuk meletak kenderaan. Aku keluar dari bangunan itu dan melangkah ke bangunan firma guaman. Hatiku semakin berdebar-debar, mungkin selepas aku meraikan hari jadi isteriku, mungkin aku akan bincang dengannya tentang lahirkan cahaya mata. Sudah lama kami berdua tidak bincangkan mengenai perkara ini kerana kami terlalu sibuk dengan pekerjaan masing-masing.
BOOM!!!
Entah bagaimana, asap hijau yang besar mula merebak keluar dari dalam bangunan firma guaman isteriku selepas letupan itu. Orang ramai mula berlari lintang-pukang seperti tiada esok hari, kenderaan di jalanan mula berlanggar antara satu sama lain. Aku mencapai pistol di balik kot jaketku dan berlari sepantas yang boleh ke arah bangunan itu.
"Sarah!!!"
YOU ARE READING
BAKAR
AcciónInspektor Bakar merupakan seorang pegawai polis yang terkenal di bandar Kuala Lumpur. Isterinya merupakan sebuah permata kasih sayang buatnya. Namun, permatanya itu hancur dalam sekelip mata yang menyebabkan dirinya berubah menjadi seorang yang ga...