Malam tiba bertandang ke dada langit, mengajak teman-teman berbicara bila langit yang gelap hanya diterangi cahaya bulan dan bintang-bintang.
Aku berdiri di serambi, merenung rindu yang tak pernah habis. Kala siang akulah penyamar dibalik senyuman ada simpan seribu kepahitan. Lidahku cuba menelan pahit, makin ku cuba makin terperosok jatuh ke dalam bertukar jadi jarum-jarum rindu. Ia merobek tangkai jantungku, degupan pantas terhenti mematikan rasa yang sekian lama ku pendam.
Dari kejauhan, seraut wajah cantikmu singgah dimataku. Ukiran senyuman dibibir merahmu, mengempung rindu di dadaku lantas dadaku perit, sakit, pedih. Kau sekadar bayangan yang menjelma sebagai bulan. Itu bagiku saja dan aku bilang di antara kau si bintang dan aku si bulan, jujurku mahu pilih aku tak mahu jelma sebagai si bulan. Kau tahu mengapa?
Di atas awan kau pernah melafaz janji; "Adikku, kau bulan ya? Pabila kak long merinduimu akan ku tatap bulan umpama dirimu dik." Kata-kata yang tergiang-giang di halwa telingaku hanya mengugurkan mutiara halus lalu ku seka jangan dibiar jatuh. Aku tahu yang tersiksa merindu adalah aku seorang, memandangmu sebagai bulan.
Ingatanku tidak luput, masihku pungut memori yang terindah. Jari-jemariku seakan berasa membelai rambut panjangmu yang mengurai. Aku membisik sama angin; "Ouhh angin malam, kirimkan pesan rinduku padanya." Masa amat mencemburui kita, sebentar lagi sang mentari hadir mengusir kau bulan .
Aku bingkas bangkit dari lantai mimpi. Menghembus kesunyian yang bisukan harapan. Rinduku menghimpunkan sebak.
Aku merinduimu kak long. Apa kau turut sama begitu?12 Januari 2019