"Ha ... Hafiz nak ke mana?" Suriati akhirnya bersuara. Dia mendekati anaknya semula. Tubuh Hafiz dipeluk erat-seratnya.
Hafiz terkedu. Dia turut membalas pelukan ibunya. Tubuh ibunya terasa kecil sahaja saat ini. Hampir dia terlupa ibunya dahulu seorang yang berbadan gempal kini telah susut mendadak.
"Ampunkan Hafiz, ibu ..," rayu Hafiz lagi.
Suriati melerai pelukan. Air mata anak lelakinya diseka lembut.
"Ibu dah lama maafkan, Hafiz," ujar Suriati. Hati ibu sesungguhnya yang paling lembut dan pemaaf di dalam dunia ini. Biarpun anak-anak mengasari, dia tetap memberi maaf.
"Betul, ke?" tanya Hafiz.
Suriati mengangguk lembut.
"Hariz?" Hafiz menoleh pula ke arah adiknya.
Hariz masih diam. Dia mula rasa bersalah kerana memukul dan mencederakan abangnya itu tadi.
"Hariz .., salamlah abang Hafiz," pujuk Suriati.
Perlahan-lahan Hariz menghulurkan salam. Hafiz lantas mendakapnya ke dalam pelukan erat.
"Abang minta maaf sebab dah susahkan Hariz jaga ibu seorang-seorang," luahnya kepada adiknya pula.
Hariz turut mengalirkan air mata. Biarpun hati masih marah, namun dia tetap merindui abangnya itu. Selama ini Hariz turut berdoa agar abangnya kembali dan melindungi mereka. Dia juga hanya insan yang lemah. Setiap kali dicerca dan dihina, pasti dia terluka.
***
Hawa tersenyum-senyum menyusun novel-novel kegemarannya. Sejak pulang tadi dia seperti mabuk kepayang sahaja.
"Hawa!"
Hawa tersedar apabila namanya dipanggil. Dia lantas menoleh.
"Kenapa kamu ni? Macam orang gila, dari tadi asyik tersenyum-senyum. Tudung pun belum sempat lepas." tegur Asnida, ibu Hawa.
Hawa mencebik. Dia melepaskan tudung yang tersarung di kepala. Rambut panjang lantas dibuka ikatan.
"Ibu ni, orang senyum ibu kata gila. Orang sedih pun ibu kata tak betul ..," omel Hawa.
"Memanglah, kamu tu tak ada angin, tak ada ribut ... macam-macam emosi. Mengalahkan orang nak menopous. Itulah .., orang lain umur dua puluh tujuh tahun dah dukung anak dua tiga orang. Kamu ni, mereput! Itulah, jual mahal sangat .., dah kena pinang balik-balik ditolak. Sekarang ni lelaki mana lagi entah yang nak kamu tu?" bebel Asnida geram.
Hawa ialah satu-satunya anak gadisnya yang belum kahwin. Kakak sulung Hawa dan adik bongsunya sudah pun berumah tangga. Kini tinggal Hawa sahaja lagi yang menjadi tanggungjawabnya dan suami. Selagi Hawa masih belum berkahwin, selagi itulah mereka mengalas tanggungjawab besar.
Hawa mencebik lagi. Mata dijulingkan ke atas. Bosan sudah dia mendengar bebelan ibunya tentang status dirinya. Bukan dia tidak mahu mendirikan rumah tangga, dia cuma belum jumpa calon yang benar-benar sesuai untuk dia jadikan suami. Jika dia menerima lamaran Raimi atau lamaran lelaki-lelaki lain di kampung ini, punahlah harapan dan impian hidupnya.
"Apalah yang kamu bisingkan tentang si Hawa tu, biarlah dia. Jodoh belum sampai, nak buat macam mana?" sampuk Haji Rauf, ayah Hawa.
Hawa tersenyum mendengar ayahnya yang membela dirinya.
"Abang pun sama .., asal ada orang pinang Hawa saja abang tolak tanya Hawa. Kalau kita tunggu Hawa nak terima, sampai dia mereput pun dia tak terima .., asyik nak menolak jodoh saja kerjanya. Sampai bila kita nak tanggungjawab pada dia?" Asnida mula geram kepada suaminya pula.
"Astagfirullah al azim .., kamu ni ... apa kamu fikir lepas anak-anak dah kahwin kita dah tak bertanggungjawab pada mereka ke?" Haji Rauf mengelengkan kepala.
"Saya bukan apa, bang ... Saya malu tau, tak! Hawa dah nak masuk umur tiga puluh belum ada suami lagi. Orang-orang kampung mula tanya bila Hawa nak kahwin. Ada yang cakap Hawa dah terkena sebab banyak tolak pinangan. Sebab tu saya nak desak Hawa untuk kahwin, bang. Lagipun benda kahwin ni bukan salah .., ia dituntut agama!" terang Asnida kepada suaminya.
"Saya tahulah tu .., tapi mendirikan rumah tangga sebab terdesak pun tak guna juga. Nanti hancur saja kebahagiaan anak .., kamu suka ke nanti bila anak bercerai-berai kerana masalah rumah tangga?" Haji Rauf bertanya pula kepada isterinya.
Asnida diam tidak menjawab.
"Itulah masalah kamu ni, Asnida. Kamu lebih suka nak mendengar kata-kata orang lain daripada kata-kata anak kamu sendiri. Kamu nak letakan jodoh anak kamu atas kuasa kata-kata orang kampung lebih dari kuasa jodoh dari Allah, ke?"
"Ish, abang kalau tak menempelak saya dengan agama, tak boleh ke?" Asnida geram. Terkena segala kata-kata itu ke dalam hatinya.
"Sudahlah .., ibu, ayah. Jangan kerana Hawa, ibu dengan ayah bertikam lidah pula. Hawa tahulah nak cari jodoh Hawa sendiri, Hawa sentiasa berdoa pada Allah, moga nanti jodoh yang Hawa pinta tu muncul di kampung ni," ujar Hawa bersama senyuman manisnya.
Kali ini, Asnida pula mencebik muka. Bukan dia tidak mahu percaya jodoh dan ketentuan Ilahi. Dia cuma mahu Hawa berusaha agar menerima jodoh itu lebih awal. Selepas Hawa berkahwin nanti, senanglah hatinya kerana telah melaksanakan tanggungjawab besar dalam hidupnya.
***
"Aamiin,"
Sesudah membaca surah Yasiin dan surah Al-Fatihah, Hafiz membasahi pusara ayahnya dengan air mawar yang telah selesai dibacakan. Batu nisan yang teguh terpasak diusap perlahan.
"Abah .., Hafiz dah keluar. Hafiz minta maaf sebab dah malukan abah, malukan keluarga. Hafiz berdosa, abah ... tapi, Hafiz dah bertaubat. Hafiz berharap sebelum abah menutup mata, abah dah maafkan Hafiz," luah Hafiz penuh syahdu.
Suasana hening di kawasan tanah perkuburan orang-orang islam itu benar-benar sunyi. Hanya desiran angin membawa suara hati yang tak terungkapkan. Hafiz masih tetap berada di sisi pusara ayahnya.
"Lepas ni .., abang nak ke mana?" tanya Hariz yang turut serta menziarahi pusara ayah mereka itu.
Hafiz menoleh lantas tersenyum. Soalan itu, daripada Jeong, ibunya dan kini Hariz. Hafiz melepas nafas. Dia sendiri tiada jawapan untuk tujuannya selepas ini.
Dia hanya ingin kembali seketika demi merubat kerinduan. Kemudian bermusafir mencari perjalan kembali kepada Maha Pencipta, Maha pengampun lagi Maha penyanyang.
"Entahlah, ke mana sahaja Allah aturkan perjalanan ini, abang akan tempuhinya sampai ke sana," ujar Hafiz lantas bangun dan mengulung tikar mengkuang yang dipakai.
"Tak boleh ke kalau abang terus dekat sini?" pinta Hariz dengan wajah sugul. Walaupun dia tahu itu mustahil, tetapi dia masih berharap agar abangnya setia di sisi mereka.
"Abang cuba, tapi di sini abang mungkin tak kan diterima," Hafiz melangkah bersama kaki yang berat. Sudah dia cuba ke surau siang tadi, rata-rata ahli surau jelas tidak enak dengan kehadirannya di situ.
"Abang tak adil! Abang yang patut terima tomahan keji orang kampung. Bukannya ibu dengan Hariz." kata Hariz lantas melangkah laju meninggalkan Hafiz.
Hafiz terkedu seraya mengeluh. Perasaan serba salah mula menguasai hatinya. Dia tahu, bukan mudah untuk mereka semua menerima kesalahan yang telah dia lakukan di masa lalu itu.
*
1034
12 Januari 2019
23:05
*
YOU ARE READING
Diari Hati Mandatori
General FictionBukan dia sengaja. Tidak dia sangka itu akan terjadi. Namun penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Sepuluh tahun di belakang jeriji besi mengubah takdir hidupnya. Ia juga mengubah perspektif orang kampung terhadap dirinya. Ke...