Cik Milah mundar mandir menyusun barangan runcitnya. Menyesal pula membuang pekerja. Terpaksa dia lakukan semua kerja itu. Belum habis uruskan hal di rumah, dia sudah turun menguruskan kedai runcit pula.
Sejak Hariz dibuang kerja, dia ada mengambil beberapa orang anak muda dari kampung itu untuk membantunya. Tetapi tidak sampai sehari, pekerjanya itu sudah angkat kaki akibat tidak tahan bebelan dan kerja berat yang disuruh-suruh.
"Heh, kamu semua tak mahu kerja ya. Aku bagi kerja bayar gaji, bukan tak bayar. Baru tengking sikit dah menangis nak balik, berhenti kerja. Lantaklah! Aku pun boleh susun benda-benda ni semua. Lebih baik dari kamu semua." gumamnya sendirian.
Satu persatu guni beras diangkat daripada stor belakang untuk memenuhi stok yang berkurangan di hadapan.
"Si Mazli ni pun tak boleh harap! Aku suruh tolong, sampai tengah hari tak muncul. Mampos agaknya," marahnya kepada satu-satunya adik yang tak berguna itu.
"Apa halnya tu, Cik Milah?" suara garau seseorng mengejutkan dirinya yang sedang bertungkus lumus mengangkat bebanan. Dia lantas menoleh seraya tersenyum manis.
"Eh, tok ketua ... ehem, tak perasan pun masuk tadi," nada suara bertukar lunak bersama lengok manja. Cik Milah mara menghampiri lelaki yang disegani ramai itu.
"Saya baru je sampai, cari Cik Milah di kaunter tak ada pula. Rupanya dekat sini," Ishak tersenyum lebar.
Cik Milah pura-pura membetulkan sanggul kepala dan menurunkan lengan baju kebaya yang disinsing ke atas tadi. Terasa malu pula kerana berpenampilan selekeh.
"Kenapa cari Milah tu?" tanyanya lembut.
"Begini, tak lama lagi kampung kita bakal adakan pesta ... saya nak ajak Cik Milah untuk terlibat sama. Itupun kalau Cik Milah tak sibuklah ... yelah, hari-hari uruskan kedai seorang. Lainlah kalau berteman, kan?" Ishak mengangkat kedua keningnya.
"Ehem, boleh tu boleh je, tok ... tapi ... ehem, tulah nak minta temankan urus kedai ni sebelum tu. Nak mencari peneman untuk susun semua ni." menjuih bibir Cik Milah bersama aksi gedik persis anak dara muda.
"Mazli mana?" tanya Ishak pula.
"Entah, mampos agaknya," balas Cik Milah acuh tak acuh.
Ishak lantas tertawa.
"Tak apalah, saya sendiri boleh tolong. Demi nak mengajak Cik Milah terlibat dengan program saya, saya akan tolong usahakan bantu di kedai runcit ni." katanya.
"Betul ke ni?" seakan tidak percaya pula. Wajah Cik Milah kembali berseri-seri.
"Boleh, asalkan Cik Milah pun sudi bantu ... abang," kali ini Ishak mengangkat kening sebanyak dua kali. Bibirnya meleret tersenyum penuh makna.
Cik Milah turut sama tersenyum. Pipinya makin merona kemerahan bersama degupan jantung yang tidak tentu arah.
***
"Saya ingat nak cuba cari kerja di pekan sajalah." ujar Hafiz lantas duduk di tepi jambatan. Spot memancing kegemarannya setiap hari.
"Awak nak cari kerja macam mana? Kalau tak ada, teruskan sajalah kerja memotong rumput di taska tu," kata Hawa yang turut sama berada di situ. Semakin hari, dia semakin biasa dengan kehadiran Hafiz. Sudah tiada rasa takut lagi dalam hatinya.
Hafiz tersenyum. Joran milik Hariz yang terpacak diperiksa kalau-kalau ada ikan sungai yang menyangkut. Hariz sudah menghilang sejak Hawa tiba. Katanya hendak mengambil buku novel untuk dipulangkan kepada Hawa.
"Kerja yang baik, yang boleh terima saya ni ..." ujar Hafiz sambil tersenyum hambar.
"Tapi nak ke pekan tu jauh. Kena naik motor atau kereta. Tak pun, kena sewa tempat dekat sana untuk senang pergi kerja." Hawa memuncung bibir. Mungkin selepas ini semakin kuranglah peluangnya melihat Hafiz di kampung. Berat pula rasa hatinya.
"Tak apalah, dapat kerja nanti boleh beli motor ... ada juga kenderaan balik sini." balas Hafiz.
"Hmm ... rumput dekat taska? Saya nak minta tolong siapa? Kebun abah saya?" tanya Hawa.
"Hei, Hariz kan ada ... tak kan nak potong rumput sikit tu sampai dua orang? Lagipun Khaira tak suka saya dekat sana. Malaslah nak menghadap muka cemberut dia tu. Mak Hawa pun terang-terang tak suka saya. Dia takut agaknya," ujar Hafiz. Kali ini dia menarik jorannya dan dibaling ke sungai semula.
Hawa masih senyap berfikir. Hatinya benar-benar terasa berat andai dia tidak melihat lelaki itu selepas ini lagi. Adakah sesingkat ini sahaja masa untuk mereka berkenalan?
"Hujung minggu, ada cuti saya baliklah kampung ... lawat ibu, Hariz, lawat Hawa," kata Hafiz sambil melirik mata ke arah gadis itu.
Mendengar kata lelaki itu, Hawa menyembunyikan senyum di bibir.
"Buat apa nak lawat saya? Bukan budak-budak pun."
"Manalah tahu, ingatkan susah nak pujuk kalau orang dah merajuk ni. Senang je rupanya,"
"Siapa merajuk? Tak adalah nak merajuk," Hawa menekup pipinya yang terasa panas membahang. Hafiz memang sengaja nak mengusik dirinya ke?
"Haih, seriuslah ... Hawa ni orang paling pelik dekat kampung ni."
"Ke-kenapa pula?" Hawa menyambung garis keningnya.
"Saya tak layak nak berkawan dengan orang sebaik Hawa ... lebih baik kita jauhkan diri. Saya tak mahu dan saya tak akan berani nak menyentuh sekeping hati yang murni milik awak tu. Hawa kenalah jaga hati tu baik-baik. Jangan biarkan hati tu jatuh pada orang yang tak sepatutnya," kata Hafiz dengan nada serius. Sebelum ada hati yang terluka, lebih baik dia undurkan diri.
Hawa mengetap bibir. Matanya tunduk melihat air sungai yang sedang mengalir perlahan.
"Salah ke?" terlepas soalan itu dari bibirnya.
"Hei, tak payahlah serius! Saya cedok ayat daripada novel-novel tu je." Hafiz melepas tawa. Walaupun sebenarnya apa yang dikata itu ada kejujurannya.
Hawa tergamam.
"Kalau betul saya cinta, salah ke?" nada Hawa serius bertanya.
"Arrr ... tak kanlah," Hafiz jadi kekok. Wajah gadis itu seperti benar-benar mahukan jawapan pasti. Menyesal pula bermain ayat tadi. Mungkinkah gadis itu serius?
"Hati saya, suka hati sayalah nak memilih siapa yang saya cinta. Saya tahu, jauh di sudut hati awak yang paling dalam tu pun ... awak rasakan hal yang sama. Cinta. Ya, saya mengaku, saya jatuh cinta pandang pertama terhadap awak." terang Hawa.
Hafiz membalas renungan dalam gadis itu. Sedikit demi sedikit, dia mula gusar. Andai benar apa yang dikata oleh gadis itu, dia sebenarnya sedang menempah bahaya.
"Jawablah, kenapa diam? Awak mengakulah yang awak pun dah mula jatuh cinta,"
Hafiz menelan air liur pahit. Degupan jantung mula bekerja keras sekeras-keras otak yang berfikir kencang. Tanpa disedari, peluh mula menitis.
"Puhhhahahahahaa ..," Hawa menghambur tawa yang sedari tadi ditahan. Sampai senak perutnya ketawa dengan puas.
"Hawa main-main, ya? Hish, buat terkejut saja." Hafiz melepas keluhan lega.
"Nak sangat main cedok ayat novel, hahahahaa ..." Hawa masih menghabiskan sisa tawanya.
Hafiz turut sama melepas ketawa. Tak sangka dia diusik begitu oleh gadis yang cukup berani ini.
"Awak patut tengok muka awak tadi. Keruh gila, berpeluh," usik Hawa lagi.
"Sudahlah ... tak payah ingat lagi. Lain kali tak payah main macam ni. Seram pulak," ujar Hafiz.
"Tapi kalau betul macam mana?" tanya Hawa lagi.
"Tak ada, tak ada ... tak mahu percaya dah," dalih Hafiz.
"Percayalah,"
"Hei, jangan main-main."
Hawa masih dalam ketawanya. Seronok pula dia mengusik lelaki yang cukup istimewa di matanya itu. Entah selepas ini bilakah dia akan berpeluang seperti itu. Lelaki itu, sama sahaja seperti lelaki yang lain ketika sedang tertawa. Setiap hari, itu yang Hawa mahu lihat. Gila, bukan?
*
1133
26 Januari 2019
23:44
*
YOU ARE READING
Diari Hati Mandatori
General FictionBukan dia sengaja. Tidak dia sangka itu akan terjadi. Namun penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Sepuluh tahun di belakang jeriji besi mengubah takdir hidupnya. Ia juga mengubah perspektif orang kampung terhadap dirinya. Ke...