DHM - 5 -

207 20 1
                                    

Hafiz membersihkan semak samun di sekitar rumah peninggalan ayahnya. Habis rumput dan lalang yang meninggi ditebas kemudian dikumpul untuk dibakar. Hafiz berasa berat hati hendak terus tetap di kampung namun dia juga tidak sampai hati meninggalkan keluarganya lagi. Akhirnya dia bersetuju untuk terus berada di kampung setelah dipujuk oleh ibu dan Hariz.

"Hafiz, makanlah dulu kuih ni .., lepas tu kamu boleh sambung kerja," Suriati membawa cucur pisang yang siap digoreng kepada Hafiz yang bekerja di belakang rumah.

Hafiz berjalan mendekati ibunya. Sebelum dia menjamah kuih itu, sempat dia bersihkan tangan dengan air daripada telaga.

"Hariz mana ibu?" tanya Hafiz. Sejak pagi lagi dia sudah tidak melihat kelibat adiknya itu di dalam rumah.

"Hariz kerja ..,"

"Kerja? Dekat mana?"

"Kedai Cik Milah," Suriati menyembunyikan emosi. Walaupun Hariz teruk dimarahi, namun anak bongsunya itu tetap tekun bekerja demi melangsaikan hutang arwah suaminya.

"Cik Milah vava vom tu? Heh, masih tak kahwin-kahwin lagi ke dia tu?" Hafiz tertawa mendegar nama wanita yang satu itu.

"Apa kamu cakap ni? Biarlah dia tak kahwin pun .., bukan kita tanggung dia," balas Suriati.

"Taklah .., Hafiz teringat kisah dulu," Hafiz tersenyum lagi.

"Ish, tak payahlah nak fikir benda lama tu .., ibu pun dah lama maafkan dia," Suriati turut memberikan senyuman.

***

"Betul ke dia dah balik?" Cik Milah sengaja menguatkan suara sehingga Hariz yang berada di belakang stor terdengar.

"Siapa yang dah balik?" Asnida yang sedang membeli belah di dalam kedai runcit Cik Milah sampuk bertanya.

"Tak tahulah, Kak .., dengar-dengar banduan dah lepas," Cik Milah sengaja lagi menyindir Hariz.

"Banduan?" Asnida mengerutkan dahi memikirkan gerangan yang dimaksudkan oleh Cik Milah itu.

"Kak As dah lupa ke? Dulukan kecoh kampung ni pasal penjenayah yang bunuh orang tu," terang Cik Milah lagi.

"Ha .., oh-oh-ohh," Asnida melogo sambil menganggukan kepala. Dia turut mengerlingkan mata ke arah Hariz yang lalu lalang mengangkat barangan runcit.

"Jadi, kenapa? Dia dah bebas lah sekarang ni?" tanya Asnida meminta kepastian.

"Iya, kak .., semalam adik saya kata, dia muncul dekat surau! Siap laung azan pulak tu. Hish, munafik sungguh!" Cik Milah mengeliat bahu mengutuk abang Hariz.

Hariz buat tidak peduli. Dia pekakan saja telinga. Dia sudah biasa mendengar nama abangnya yang dikeji dan diburuk-burukan itu.

"Ya ke? Ish .., tak tahu malu. Sudahlah pendosa besar," Asnida turut sama mencerca lelaki yang mereka maksudkan itu.

Cik Milah tersenyum sinis melihat Hariz yang berpura-pura tidak mendengar. Memang dia sengaja hendak menjaja abang kandung Hariz itu. Bukan kerana Hafiz pernah merompak kedainya, tak pernah, tetapi kerana  dia bencikan Lathif, ayah Hafiz dan Hariz.

Sejak dari zaman mereka sama-sama remaja, Cik Milah menaruh hati kepada Lathif. Lathif seorang yang berbudi pekerti, dan bersopan santun. Ramai gadis-gadis di kampung itu yang turut meminati Lathif. Tetapi Lathif pula memilih, Suriati anak gadis dari kampung sebelah untuk dijadikan suri hati.

Kehidupan Lathif bersama isterinya pada awalnya seperti pasangan-pasangan lain di kampung. Hidup sekadar cukup makan hasil bertani dan memungut hasil hutan. Sehinggalah suatu masa anak pertama mereka berjaya dalam sijil pelajaran Malaysia dan menyambung pengajian ke bandar.

Demi menanggung kos pembelajaran Hafiz, Lathif berkerja di kedai runcit Cik Milah yang pada ketika itu masih dimiliki oleh arwah bapanya. Siang dan malam Lathif bertungkus lumus mencari pendapatan halal demi anak-anak dan isteri. Jika Hafiz kekurangan belanja, Lathif terpaksa meminta hutang dari majikannya.

Suatu hari, Cik Milah semakin tidak tahan dengan rasa hati. Setiap hari bertemu mata dengan Lathif membuatkan hati wanitanya berdetak semula. Cinta mati berputik kembali. Dia tidak mahu dimiliki oleh lelaki lain kecuali Lathif. Walaupun pada ketika itu Lathif telah mempunyai isteri. Cik Milah cuba memerangkap Lathif dengan hutang dan mahukan Lathif menikahinya demi melangsaikan hutang tersebut. Sayang sekali rancangan itu gagal dan Cik Milah menanggung malu kerana didapati cuba menfitnah Lathif.

"Milah, hutang akak ni ada berapa lagi?" pertanyaan Asnida melenyapkan ingatan masa lalu Cik Milah.

"Tak banyak, kak. Lima puluh dua ringgit saja ..," balasnya setelah memeriksa buku rekod hutang-hutang pelanggan.

"Hah, ni .., menantu akak, suami Husna ada bagi duit masa dia datang melawat akak. Alhamdulillah, adalah buat bayar hutang ni," Asnida menghulurkan sekeping not berwarna ungu.

Cik Milah menerima duit itu dengan tangan kanan. Barang yang baru di ambil oleh Asnida dikira dan dimasukan ke dalam bakul plastik.

"Untunglah, ada menantu kerja gomen ..," ujar Cik Milah acuh tak acuh. Bukan dia tidak kenal Asnida yang suka bangga diri dengan anak menantunya.

"Itulah .., sekarang ni, tinggal Hawa tu saja lagi. Manalah nak cari menantu yang baik-baik ni? Kalau ada lelaki yang warak dan bertawaduk, saya nak cepat-cepat pinangkan untuk Hawa. Baru tenang hati saya selepas tengok dia dah bersuami." kata Asnida lagi.

Cik Milah mencebik. Malas sudah dia mahu ambil tahu dengan kata Asnida. Semua yang baik dan semua yang sempurna, dia nak buat jadikan menantu. Manalah ada manusia sesempurna malaikat di dunia ni?

"Akak doalah kalau ada .., tapi kalau akak lambat, saya masuk meminang dululah untuk saya. Saya pun nak juga merasa lelaki yang boleh pimpin saya sampai ke syurga," balas Cik Milah.

Bakul plastik yang telah dimuatkan barangan yang dibeli Asnida dihulurkan. Baki duit juga diberikan sama. Tak banyak pun, hanya lima puluh sen sahaja.

"Aduh, Milah .., makin lama makin naik pula harga kedai runcit kau ni, duit seratus tinggal baki lima puluh sen saja? Beg plastik ni pun tak penuh lagi," keluh Asnida geram.

"Akak ni, macam tak tahu cukai yang gomen bagi. Gst, sst, berselirat dengan t-t. Lagipun saya campur hutang akak yang lama, potong habis." jawab Cik Milah. Buku hutang yang ditulis turut diperlihatkan jelas kepada wanita itu.

Asnida mengeluh geram. Menyesal pula membeli di situ. Baru sahaja dia ingin simpan baki duit yang diberikan menanutnya. Tinggal lima puluh sen nak simpan sampai berkarat buat apa?

"Tak apalah, akak balik dulu," Asnida pamit menjinjit bakul plastiknya keluar dari kedai runcit Cik Milah dengan perasan sebal.

'Hish, lain kali baik pergi kedai Mamu saja. Orang melayu dengan bangsa sendiri pun nak cekik darah!' gerutu Asnida sambil berjalan pulang.

Cik Milah tersenyum mengira keuntungan kedainya. Setiap kali selepas pelanggan pulang, sudah jadi tabiatnya mengira duit-duit yang diterima.

Hariz sekadar diam memerhati. Dia juga semakin hairan dengan harga barangan di kedai itu yang semakin naik mendadak. Gula sekilogram dengan harga subsidi sepatutnya hanya RM 2.95 tetapi dijual di situ dengan harga RM 3.50 sekilogram. Mana taknya pelanggan masuk ke kedai Mamu tu.

"Apa kau pandang? Gaji kau bulan ni aku potong dua kali ganda, sebab kau ponteng semalam." kata Cik Milah lantas menjeling tajam.

Hariz diam. Dia menyambung saja kerja yang sedang dibuatnya.

*
1075
13 Januari 2019
17:10
*

Diari Hati MandatoriWhere stories live. Discover now