Ishak tersenyum-senyum melihat orang kampung yang sedang bertungkus lumus membina tapak bagi tujuan pesta kampung yang bakal diadakan. Segala persiapan untuk menyambut golongan yang berhormat disiapkan rapi. Dia sememangnya seorang yang teliti dalam menampilkan kesempurnaan dalam kesemua acara anjurannya. Bertambah bangga rasanya apabila segala perancangannya diberikan pujian, mahu dari pihak yang berhormat dan juga dari orang kampung sendiri.
"Tuan, pentas ni dah hampir selesai ... cuma kami nak pastikan tempat untuk kami ambil aliran elektrik. Lepas tu baru boleh pasang pendawaian pula." beritahu salah seorang pekerja yang diupah untuk menyiapkan pentas megah.
"Aku ada beberapa buah generator dekat rumah tu. Nanti aku suruh orang hantar kemari. Kamu pasang sajalah lampu dengan segala pembesar suara tu. Pasal elektrik tu mudah, ada generator mudah alih," balas Ishak yakin.
"Baik, tuan."
"Tok ketua, gerai-gerai berniaga mana tapaknya? Dekat atau jauh dari pentas?" tanya Yusof pula, salah seorang peniaga kampung.
"Kamu pilih yang tak jauh dari pentas ... tapi, jangan dekat sangat. Nanti orang tak fokus dengan acara, dok menengok pula kamu bakar sate." jawab Ishak sambil bercanda.
"Ha'ah ... ye tak ya jugak tu. Okay tok, terima kasih," sengih Yusof bersama barisan gigi yang kelabu asap.
"Sama-sama,"
Ishak kembali meneruskan pemerhatian mengenai persiapan pesta yang bakal dianjurkannya. Sehingga kini dia merasa yakin dan berpuas hati. Dia benar-benar yakin dengan setiap anjurannya yang bakal memuaskan hati semua pihak yang terlibat. Tiba-tiba mata Ishak terpandang kelibat seseorang yang berjalan pantas. Cepat-cepat dia turun dari tangga pentas dan mengekori langkah manusia itu.
"Suriati," pantas sahaja lengan wanita itu dirembatnya. Suriati nyaris terdorong ke dalam dakapannya.
"Tolong lepaskan tangan saya," pinta Suriati tegas. Dia membetulkan semula imbangan tubuhnya.
"Lama aku tak nampak batang hidung Ati, ingat senang ke nak lepas?" bisik Ishak.
"Tok ketua, tolonglah ... orang kampung perhati, tok ketua orang yang terhormat. Jagalah tingkah laku tu," ucap Suriati lagi.
"Heh, aku boleh je gunakan kuasa aku ni dan tuduh kau yang bukan-bukan,"
"Apa yang tok ketua nak tuduh saya? Saya dan keluarga saya tak pernah ganggu pun hidup tok ketua,"
"Aku dah cakap, aku nak beli tanah kau tu ... kau degil tak nak jual. Apa yang kau kedekutkan sangat dengan tanah tu, hah? Aku bukannya tak boleh bayar, aku orang kaya. Tanah kau yang tak sampai sepuluh ekar tu aku boleh bayar." herdik Ishak.
"Saya tak suka syarat tok ketua yang bukan-bukan," jelas Suriati lagi.
"Heh, syarat yang menyenangkan hidup, kau tak nak ... nak juga menyusahkan diri bela anak sampai masuk penjara, conteng arang ke muka orang kampung pulak tu," Ishak sengaja cuba memancing kemarahan wanita itu.
"Saya redha dengan nasib keluarga saya ... itu bukan urusan tok ketua," balas Suriati.
"Hei? Apa yang kau sombong dengan aku? Aku beli tanah kau, tapi aku tak ambil pun, yang aku betul-betul mahu ialah untuk kau jadi isteri ke tiga aku. Dengan itu hidup kau akan senang ... tanah aku tolong usahakan untuk beri pendapatan lumayan kepada kau. Dengan syarat, kau tinggalkan anak-anak kau ... biar mereka hidup sendiri, bukannya budak kecil pun mereka tu," ujar Ishak lagi.
"Mereka anak-anak saya, baik buruk, kecil atau dewasa, merekalah darah daging saya di dunia dan akhirat. Takkan mungkin saya gantikan dengan harta dunia!" bentak Suriati lebih berani.
YOU ARE READING
Diari Hati Mandatori
General FictionBukan dia sengaja. Tidak dia sangka itu akan terjadi. Namun penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Sepuluh tahun di belakang jeriji besi mengubah takdir hidupnya. Ia juga mengubah perspektif orang kampung terhadap dirinya. Ke...