DHM - 14 -

166 21 0
                                    

"Dah lama abang tunggu?" tanya Hariz yang baru sampai ke jeti tempat Hafiz dan Hawa duduk.

"Eh, Kak Hawa?" Hariz hairan melihat wajah Hawa yang seakan keras tergamam itu.

Hawa semakin terkejut. Lelaki itu, abang Hariz? Bekas banduan ... bukan, bekas pembunuh? Bibirnya lantas terkunci. Air liur pahit ditelan kasar.

"Hm? Ni ke Kak Hawa yang Hariz cakap tu?" tanya Hafiz.

"Ha, nilah Kak Hawa. Dia Cikgu taska tempat kita selalu lalu tu ..." beritahu Hariz.

"Oh ..."

"A-abang Hariz ke ni?" bergetar nada suara Hawa mengetahui identiti lelaki itu. Tak mungkinlah, tak mungkin hatinya berpaut pada seseorang yang punyai rekod jenayah.

"Ya, nilah abang Hariz." akui Hariz.

Wajah Hawa semakin tak keruan jadinya. Tergamam, terkejut dan kaku.

"Kenapa? Dah menyesal ke sebab tegur tadi?" Hafiz memerhatikan perubahan nyata gadis itu.

Hawa mengemam bibir. Tidak tahu hendak berkata apa. Dia menjadi takut tiba-tiba.

"Abang tak pukul orang dah ... Kak Hawa jangan risau," kata Hariz selamba.

"Hah?" semakin dicuba menenangkan hati, semakin gemuruh pula jadinya.

Hafiz melepas tawa.

"Apalah ... tulah tadi berani sangat nak tegur, sekarang dah takut macam apa pula." katanya.

"Si-siapa yang takut?" Hawa cuba memberanikan diri. Dia lantas berdiri.

"Kalau tak takut, duduk sajalah ... saya tak buat apa-apa pun. Hariz ada, diakan buah hati awak, boleh lindungi awak."

"Mana ada!" serentak Hawa dan Hariz menyahut.

"Tengok ... cakap pun serentak," sakat Hafiz lagi.

"Kalau Kak Hawa nak tahu, abang ni suka menyakat tau. Dia kata Hariz dengan Kak Hawa pasangan bercinta pula. Mana sesuai, kan?" bisik Hariz.

"Hei, abang dengarlah ..."

Hawa cuba menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya Hariz ada. Rasa takutnya juga seakan hilang apabila mendengar usikan lelaki itu. Misterinya perasaan ini, kenapa kepada dia?

Hafiz sekadar memerhatikan gadis itu dan adiknya berborak. Entah apa yang mereka bualkan. Macam cerita sebuah drama pula gaya-gaya mereka. Dia tersenyum lantas kembali membuang pandang ke arah air sungai. Berharap masa lalunya juga mengalir jauh dari tebing itu.

***

Sejak pulang dari tebing sungai, Hawa tersenyum-senyum sendiri. Mungkin dia sudah gila, tapi itu yang dia rasakan saat ini. Tidak pernah lagi hatinya terusik. Baru kali ini dia rasakan sesuatu yang mengetuk pintu hatinya. Mungkinkah dia jatuh cinta?

"Hawa, ya Allah ... puas ibu cari kamu, dah balik rupanya," Asnida yang baru tiba bersama barangnya menegur Hawa di dapur rumah.

"Ibu yang tinggalkan Hawa demi geng makcik bawang," ujar Hawa sambil bibir mengukir senyum.

"Ha? Bukan ke ibu cakap, pergi Warung Pak Dir," Asnida mengerutkan dahi.

"Tak ada pun, ibu terus je hilang tadi," sangkal Hawa.

"Ish, angau apa kamu ni? Lain macam je ... tersenyum-senyum, dah gila agaknya?" Asnida masih hairan dengan raut Hawa yang tersenyum-senyum kucing itu.

"Eh, tak ada apa-apalah." Hawa lantas meninggalkan ibunya di dapur. Dia terus sahaja masuk ke dalam bilik.

"Ish, tak faham aku budak seorang ni. Ditinggalkannya aku seorang tadi? Lain kali baik jalan seorang je," bebel Asnida sendirian.

***

"Kak Hawa tu cantik, kan?" puji Hariz. Kedua beradik itu sedang berjalan perlahan sambil menikmati petang di kampung itu.

"Cantik ... manis, baik dengan Hariz ... sesuailah tu," balas Hafiz.

"Tak sesuai dengan Hariz ... kalau abang mungkin sesuai," Hariz cuba mengusik.

"Tak ada siapa nak berkawan dengan penjenayah ... jangan pasang mimpi, bahaya." tegas Hafiz.

"Manalah tahu kalau ada jodoh. Kak Hawa tu boleh tahan ganas juga sebenarnya, kalau abang Raimi kacau dia, dia pernah tampar lelaki tu. Gigit pun pernah. Uish, Kak Hawa kalau tak suka, dia hentam lelaki tu, tapi dengan abang tadi dia macam malu-malu pula ... hihii," Hariz ketawa.

"Dia bukan malu, dia takut sebab abang bekas banduan," Hafiz cuba membetulkan kenyataan adiknya itu.

"Abang ni, cubalah yakin sikit. Hariz kenal Kak Hawa ... dia bukan jenis suka-suka nak hukum orang. Dia akan cuba kenali orang tu sendiri ... dia tak mahu kenal sebab orang lain cerita itu ini. Sebab tu dia rapat dengan Hariz." nyata Hariz lagi.

"Yelah tu ... tak apalah, Hariz terus saja berkawan dengan dia. Abang ni tak layak nak berkawan dengan perempuan baik macam tu, lebih baik dia tak kenal abang," kata Hafiz lagi.

Hariz terdiam. Dia tahu abangnya masih banyak penyesalan sehingga keyakinan diri sudah semakin tiada. Jauh di sudut hati, Hariz lebih suka melihat abangnya yang bersemangat kental sebelum ini. Tetapi sayang, semangat itulah yang telah mengurung abangnya ke penjara.

***

"Ya Allah, kedai aku ... duit aku, haa ... apa dah jadi ni?"

Cik Milah mundar mandir melihat kedai runcitnya yang kelihatan seperti tongkang pecah. Berserabut fikirannya. Barang di kedai runcit miliknya ada bertaburan di atas lantai. Ada juga yang telah kosong daripada rak yang tersusun.

Dia pantas menuju ke arah meja kaunter. Laci yang berkunci itu kelihatan telah terbuka. Cepat-cepat Cik Milah memeriksa. Benar sangkaannya, duit yang tersimpan kemas di situ turut hilang.

"Jahanam punya syaiton! Siapa yang mencuri di dalam kedai aku ni!" tempik Cik Milah. Jantungnya berdegup laju bersama rentak amarah.

***

"Betenang semua, masalah boleh kita selesaikan," Ishak selaku ketua cuba menenangkan suasana riuh rendah di Balairaya itu. Baru saja petang kampung itu merasa aman, tiba-tiba terjadi pula musibah yang tidak disangka.

"Ketua nak saya tenang macam mana? Barang kedai saya hilang, duit saya hilang! Macam mana saya nak bertenang?" marah Cik Milah sudah tidak dapat dibendung. Terus sahaja dia membuat laporan kepada ketua jawatankuasa di situ.

"Saya punya kepingan getah pun makin lama, saya perasan makin kurang. Mula-mula saya fikir saya salah kira ... tapi akhir-akhir ni makin menjadi pula kehilangannya." kata Jamil, salah seorang pekebun getah.

"Betullah tok ketua, saya pun sama." pekebun getah lain juga turut mengiyakan kata Jamil itu.

"Kebun sayur saya, tok ketua ... macam kena curi. Bulan lepas tanaman lada saya berbuah subur. Bulan ni pengeluaran dah kurang, sedangkan tiap-tiap hari bagi baja." ujar pekebun kecil pula.

"Ini tak boleh jadi, tok. Macam mana kami nak jana income kalau asyik kena curi? Sebelum hal ni jadi lebih besar, kita kena bendung masalah ni. Kita mesti tangkap sipelaku jahanam tu!" ujar Jamil lagi.

"Saya tahu ... saya faham masalah tuan-tuan. Tapi, sebelum kita nak buat tangkapan ni ... tuan-tuan, Cik Milah kena pastikan siapa sipelakunya. Periksa betul-betul kehilangan dan kecurian tu. Lepas dah pasti, kita akan tangkap orang yang buat kerja terkutuk ni." kata Ishak.

Rata-rata penduduk kampung menerima pandangan Ishak itu. Masing-masing mahu agar masalah itu cepat-cepat selesai.

"Ini mesti kerja si banduan tu. Siapa lagi yang bawa bala kalau bukan dia?" Cik Milah mengetap bibirnya.

"Sabar, Cik Milah ... kita jangan tuduh dulu. Ambil bukti supaya dia tak terlepas lagi." balas Ishak.

***
1064
17 Januari 2019
10:06
***

Diari Hati MandatoriWhere stories live. Discover now