Raimi berjalan keluar dari kawasan semak hutan. Sampai sahaja ke arah kereta dia terus masuk dan memandu keluar dari situ.
"Mazli, kau ni asyik tidur sajalah ..." rungutnya kepada seseorang yang duduk di sebelah pemandu.
Mazli mengeliatkan badan. Air liur yang meleleh dilapkan dengan tangan.
"Hee, aku lupa gosok gigi ke tadi pagi?" ujar Mazli setelah terhidu bau kurang enak dari tangannya.
"Ish, pengotor yang amat!" Raimi mencebik.
"Ah, tak kisahlah. Nanti balik aku terus pergi mandi saja." Mazli menyambung kembali menyandar di kerusi kereta.
Raimi pula tetap memandu. Kiri kanan matanya meliar sambil memandu pulang.
***
"Hei, susun yang jenama ni dulu, yang tu kemudian." Cik Milah mengarahkan Hariz membuka beras berjenama mahal untuk disusun.
Taktik Cik Milah sudah Hariz fahami. Jika ada jenama yang mahal, dia akan suruh Hariz jualkan yang itu dahulu. Jenama murah akan dikeluarkan nanti apabila harga barangan itu meningkat kerana permintaan yang tinggi. Wanita itu memang bijak mengaturkan strategi untuk mengaut keuntungan berlebihan.
"Milah, beras cap nasionel mu belum ada?" tanya Asnida yang turut mencari beras murah itu.
"Belum, Kak. Ada pun fayza saja." balas Cik Milah sambil mengerling ke arah Hariz yang menghabiskan susunan beras itu. Nasib baiklah Asnida tidak menghadap Hariz, jika tidak pasti wanita itu terlihat akan beras yang dicarinya.
"Amboi, tempat kamu ni ... semua yang mahal-mahal saja ada. Apa yang runcitnya? Baik buka supermarket neon terus." ujar Asnida.
"Nak bukaklah ... kalau semua tak ambil hutang, bayar cash ... dah lama berdiri supermarket dekat sini." balas Cik Milah lagi.
"Hariz, dah habis baca tak buku best seller tu?" Hawa yang turut menemani ibunya ke kedai bertanya.
"Belum, abang pun tengah baca sekarang. Nanti balik Hariz sambung baca." jawab Hariz jujur.
"Abang Hariz pun baca?" Hawa menyambung garis keningnya.
"Ya, tak boleh ke? Kalau tak boleh nanti Hariz cakap pada dia."
"Eh, tak ... tak, bukan maksud Kak Hawa tak boleh. Boleh je ... hmm,"
"Hawa, jomlah ke kedai Mamu. Tak ada beras nasionel sini." Asnida memangil anak gadisnya. Sengaja dia menyebut nama saingan kedai runcit Cik Milah itu. Biar wanita itu dengar.
"Ya," Hawa mengerling ke arah beras yang Hariz susunkan ke dalam. Fahamlah sudah, kerana Hariz pernah menceritakan hal seperti itu.
***
"Saya tak setuju,"
Haji Rauf berdiri tegas. Dia cuba menyatakan pendiriannya semasa mesyuarat jawatankuasa kampung itu.
"Apa yang Pak Haji tak setuju pula? Acara ni boleh tarik pelancong semula." Ishak selaku ketua kampung merangkap pengerusi jawatankuasa meminta penjelasan.
"Yalah, tapi acara ni tak sesuai dibawa di sini. Anak muda tak digalakan dengan acara suka ria macam tu. Lebih baik kita buat acara tentang menjana pendapatan dari acara pesta muda mudi ni ..." ujar Haji Rauf lagi.
"Betul juga tu, saya tengok muda mudi sekarang dah tak ramai yang nak mencari kerja. Umur dah dua puluh lebih masih di bawah tanggungan. Kalau anak perempuan senanglah ... suruh kahwin, bagi suami pula tanggung." kata salah seorang ahli jawatankuasa lain di situ.
Ishak mencebik muka. Tahulah dia lelaki itu sedang mengata anaknya Raimi yang masih belum lagi bekerja.
"Saya nak jelaskan semula. Acara muda mudi ni tak semestinya untuk orang muda saja. Kita ... kita pun terlibat sama. Kita buat pesta ni untuk tarik semula orang luar. Kita buka semula homestay kita ... kita bangunkan semula kawasan kita ni yang suatu masa dulu menjadi tumpuan. Nak takut apa ... kita tak buat rugi, malah kita buka peluang untuk orang kampung dapat income lebih." jelas Ishak memberi keyakinan.
"Aku punya homestay, dah lama tak kemas. Macam mana nak suruh orang datang?" ujar Bakri.
"Laa ni lah nak kemas balik. Sebelum acara ni diadakan, kita cek satu-satu homestay yang berdaftar. Mana yang dah upgrade five star kita pakai. Kalau permintaan tinggi, yang four star pun kita bagi." Ishak semakin meyakini.
"Tak boleh ke acara ni diselitkan dengan keagamaan sikit? Yalah, cari duit, cari juga ... tapi kenalah berpada-pada," kata Haji Rauf lagi.
"Boleh ... boleh, tak ada masalah. Sebelum pesta, kita buat doa selamat. Baru berkat acara yang kita nak anjur tu." Ishak tersenyum meleret. Rancangan yang diaturnya seperti meyakini orang kampung.
Siapa yang tidak yakin dengan bekas pegawai pencen ini? Banyak sudah jasa beliau dalam pembangunan infrastruktur kampung. Jalan raya berturap batu menjadi jalan raya berturap dengan tar. Balairaya kayu berubah menjadi balairaya sebesar dewan dengan buatan batu bata. Semuanya hasil beliau menjadi kontraktor sambilan. Dengan itu orang kampung bersetuju memberi jawatan penting di kampung itu kepada persara berkenaan.
"Kalau kamu yakin pesta ni tak akan ada maksiat ... aku boleh setuju. Kalau tak, aku tak mahu ikut." tegas Haji Rauf.
"Pak Haji toksah risau, kita akan anjurkan pasukan pencegah maksiat dan cegah jenayah. Yang penting acara kita boleh jalan dengan baik, aman dan berkat," Ishak terpaksa membuat janji kepada lelaki itu.
Ishak dengan Haji Rauf memang selalu bercanggah pendapat. Ada sahaja rancangannya yang tidak dipersetujui. Mungkin kerana Haji Rauf marahkannya kerana tidak dilantik menjadi ahli tertinggi jawatankuasa kampung itu.
***
Hawa mengukir senyum di bibir. Perlahan-lahan dia mendekati lelaki yang sedang duduk di tepi jeti berhampiran sungai besar. Ibunya Asnida sudah hilang entah ke mana sejak berjumpa geng makcik bawangnya. Puas dicari, akhirnya Hawa terus sahaja keluar dari kedai Mamu itu sendirian.
"Ehem ... Assalamualaikum," sapanya.
Hafiz yang sedang duduk memerhatikan sungai terkejut mendengar sapaan gadis itu.
"Waalaikumusalam," jawabnya ringkas.
"Saya selalu nampak awak dekat sini ... awak dari mana ya?" tanya Hawa. Akhir-akhir ini dia memang selalu nampak kelibat lelaki itu. Ingin sahaja dia terus bertanya, tetapi masih malu pula. Hari ini mungkin masa yang sesuai. Fikirnya.
"Heh, kalau awak tahu ... menyesal awak tegur saya." ujar Hafiz.
"Kenapa pula? Saya bukan nak buat apa-apa pun kalau saya tahu," jawab Hawa berani. Entah kenapa dia rasa selesa pula walaupun baru dua kali bertemu. Hawa lantas turut duduk di tepi jeti.
"Hei," Hafiz sekadar memerhati gadis itu. Hairan pula rasanya.
"Kenapa? Ada apa-apa dekat muka saya ke?" wajah Hawa tiba-tiba terasa panas membahang diperhatikan begitu.
"Tak ada apalah ..," Hafiz kembali menoleh ke arah sungai. Dalam hati dia tertanya-tanya, gadis itu tidak tahu atau saja buat-buat tidak tahu tentang dirinya?
"Tiap petang awak memang suka tengok sungai ke?" tanya Hawa.
"Tak lah, saya cuma nak alirkan sesuatu ke sungai ni,"
"Apa dia?"
"Masa lalu ... air sungai ni sama macam masa lalu. Tak akan sama, dan tak akan kembali ke sini lagi." balas Hafiz.
"Wow, puitis juga ..." Hawa tersenyum lebar.
"Bolehlah ... hasil membaca novel yang Hariz bagi pinjam," balas Hafiz seraya tersenyum ke arah gadis itu.
Serta merta senyuman di bibir Hawa terhenti.
*
1061
16 Januari 2019
15:45
*
YOU ARE READING
Diari Hati Mandatori
Genel KurguBukan dia sengaja. Tidak dia sangka itu akan terjadi. Namun penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Sepuluh tahun di belakang jeriji besi mengubah takdir hidupnya. Ia juga mengubah perspektif orang kampung terhadap dirinya. Ke...