DHM - 23 -

166 27 2
                                    

Untuk kesekian kalinya hembusan nafas dilepaskan. Kertas warna yang tersusun dikira semula. Bagaikan tiada semangat rasanya bekerja pada hari isnin. Sekali lagi Hawa menyusun dan mengira semula kertas yang sedang dipegangnya.

"Eh, Hawa! Kau mengelamun apa ni? Dari tadi kau kira kertas tu berulang-ulang." sergah Khaira.

"Ha? Apa dia?"

"Apa dia, apa? Ni, kertas warna ni untuk budak-budak belajar buat origami. Bukan untuk kau kira sambil mengelamun lepas tu mengeluh. Apa yang kau fikir sebenarnya ni?" soal Khaira. Keningnya bertembung melihat rakan sekerjanya itu.

"Tak ada apalah. Aku tengah fikir pasal novel aku tu, dah banyak, tak muat dah almari buku aku tu." acuh tak acuh sahaja jawapan daripada Hawa.

"Eh, bukan ke kau baru beli almari besar bulan lepas? Tak muat juga?"

"Hmm," sebenarnya bukan itu yang sedang Hawa fikirkan. Jasadnya memanglah berada di depan Khaira di sekolah tadika itu, tetapi hati dan fikirannya berada di tempat lain.

"Assalamualaikum, mak cik Suriati, Hariz ... hari ni berdua saja ke pergi menoreh?" Pagi tadi sebelum sampai di tabika dia bertembung dengan Hariz dan ibunya, tetapi kelibat Hafiz tiada.

"Waalaikumusalam, ya Hawa ... hari ni kami berdua saja. Hafiz dah ke pekan awal selepas subuh tadi. Nak cari kerja di pekan katanya," balas Suriati bersama senyuman manis di bibirnya.

"Oh, dah ada kerja?" kedengaran gopoh soalan itu. Lantas hati kecilnya turun merasa hampa.

"Belum, kak ... baru nak mencari. Kalau abang dah dapat kerja di pekan, dia nak cari rumah sewa. Insya Allah lepas tu Hariz dengan ibu pun akan pindah ke pekan. Nak tukar haluan mencari rezeki. Manalah tahu, kan? Rezeki Allah ni kan maha luas," balas Hariz.

Hawa mengetap bibirnya. Terasa dirinya bakal ditinggalkan sama sekali apabila keluarga itu meninggalkan kampung kelak. Siapalah rakan untuk dia bercerita tentang novel-novel baru kelak? Siapalah nak sama-sama membaca buku yang dipinjamnya? Siapa pula yang akan menemaninya membeli barangan dan membersihkan tabika ini nanti?

'Astagfirullah al azim ... apa yang aku tengah fikir ni? Ya Allah, kau jauhilah sikap aku yang mementingkan diri ini. Biarlah aku redha sekiranya mereka berpindah.  Daripada mereka merasa dibuang di dalam kampung tanah air sendiri. Mungkin dah sampai masanya untuk mereka meninggalkan derita di kampung ini,' Hawa bermonolog.

"Hawa, sekarang dah masuk subjek seni. Apa yang kau buat lagi tu?" jerit Khaira.

Hawa mencebik bibir. Khaira memang begitu, walaupun di depan kanak-kanak dia tidak segan silu menjerit, mencarut dan seangkatan dengannya. Bukannya dia menunjukkan kesopanan di depan kanak-kanak malah bersikap kasar. Bukankah guru sepatutnya menjadi contoh tatasusila dan kesopanan kepada pelajar selain ibu bapa?

***

"Ahahahaah,"

"Ssst, sakitlah," Hafiz mengerang kesakitan apabila wajahnya sekali lagi disapu ubat antiseptik.

"Haih, bukan ke aku cakap, abaikan saja si Ezwan tu. Kau degil nak provok jugak. Inilah yang dikatakan, kerana pulut, santan binasa, kerana mulut badan binasa." seloroh Dani. Kapas yang telah selesai digunakan dibalut kemas sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

"Apa yang jadi sebenarnya ni, Abang Dani ... kenapa tiba-tiba Ezwan serang kawan abang ni?" tanya Amy, tunang kepada Dani. Dia yang kebetulan hendak berjumpa tunangnya secara tidak sengaja terlihat kejadian di restoran itu tadi.

Nasib baiklah pekerja restoran di situ sempat meleraikan pergelutan Hafiz dan Ezwan itu tadi, jika tidak, besar jadinya. Mungkin sampai ke balai.

"Tak ada apalah ... macam biasa, Ezwan nak membuli. Abang dah biasa, buat tak tau sajalah. Tapi kawan abang ni, hero abang masa sekolah dulu. Dia memang pantang nampak orang kena buli." balas Dani sambil tersenyum menceritakan kenangan zaman sekolahnya.

Diari Hati MandatoriWhere stories live. Discover now