BAB 6

180 7 9
                                    

"Loma, bagaimana Mardi dengan Sari? Sudah setuju?"

Tanya Wak Raden.

"Belum bang. Mardi masih berkeras hati mempertahankan isterinya. Susah benar mahu memujuk. Risau apa kata Kakek Anang jika cucunya ditolak."

Buk Loma mengeluh panjang.

"Kalau begitu, biar sajalah Mardi dengan isterinya. Sudah-sudahlah memaksa mereka. Redha saja," pujuk suaminya.

"Tidak bang. Tidak sesekali. Loma akan satukan mereka dengan cara apa sekalipun!"

"Cara apa yang kamu maksudkan tu?"

Wak Raden mengerutkan dahinya.

"Biar Loma saja yang uruskan mereka bang. Loma tidur dulu. Selamat malam."

Semangatnya membara seperti api yang sedang marak.

Suaminya hanya mampu menggelengkan kepala. Dia tidak tahu hati isterinya sudah bergelumang dengan jiwa hitam.

..........

Hari kedua Indra dalam mimpi

Rumah Iyang, 4.00 petang

Aku harap kamu juga sudah sedia Judha."

Iyang tidak tahu apa yang bakal terjadi nanti. Dia berharap semua dapat diselesaikan dengan mudah.

"Kenapa kata begitu? Sepertinya tuan mahu pergi jauh."

Judha berasa pelik.

"Judha, siapa tuan kamu yang sebenarnya?"

Tanya Iyang Kelawu.

"Pastinya tuan Iyang," yakin Judha menjawab.

"Itu dulu Judha. Aku dan kamu punya satu Tuhan yang benar-benar nyata iaitu Allah," terang Iyang.

"Tapi tuan sudah jaga saya selama 30 tahun."

Air muka Judha berubah. Terlihat sedih.

"Tapi itu semua dengan izin Tuhan, Judha. Aku tak punya kuasa apa-apa. Bahkan diriku juga dijaga oleh-Nya. Termasuklah diri kamu."

Iyang tahu bila-bila saja Judha bisa mengamuk. Tapi Judha tidak seperti begitu. Dia sejenis jin yang lembut hati dan baik pada makhluk lain.

Judha hanya terdiam. Jauh nun di lubuk hati, dia tahu manusia dengan jin tidak mungkin ada tuan selain Allah. Dan Judha juga tahu Iyang tidak berterus-terang. Kiasan saja yang diluahkan.

"Perpisahan..."

Perlahan Judha menjawab.

"Ya, itulah maksudku. Janganlah kau bersedih. Aku dan kau bisa saja menjadi kawan karib. Selepas ini, kau tidak perlu bertuankan aku. Panggil saja nama aku, Awu."

Iyang cuba menggembirakan hati Judha.

"Benarkah tuan? Saya takut tuan sisihkan saya."

Gembira wajah Judha.

"Ya benar. Aku tak mahu lagi mengulangi kesilapan lalu. Mana mungkin aku jauhkan diri dari kamu. Yang penting, anggaplah aku kawanmu, bukan tuan lagi," jelas Iyang. Lega dia kerana Judha sangat memahami.

Bicara itu terpaksa dihentikan apabila ada sebuah kereta menghampiri rumahnya. Ternyata itu Wak Dimas dan keluarganya.

"Judha, untuk waktu ini panggil saja aku tuan. Biarlah hal ini hanya kita berdua yang tahu."

"Baik tuan."

Hati kecilnya berasa sedikit gembira.

..........

"Iyang, apa khabar Indra?"

Wak Dimas kelihatan tercungap-cungap.

"Penat sekali kamu. Tenang dulu Dimas. Isteri kamu tak ikut?"

Judha menghidangkan mereka minuman.

"Jemput minum kalian."

"Terima kasih Judha. Susah-susah saja," jawab Bimo.

"Saya sebenarnya mahu cepat Iyang. Salwa ada dalam kereta. Dia kurang sihat tapi mahu ikut juga. Kami mahu tahu keadaan Indra."

Suara Wak Dimas tersekat-sekat.

"Usah risau. Dia baik-baik saja."

Ringkas jawapan Iyang.

"Mungkin pelik sikit soalan saya Iyang. Makan minum Indra bagaimana ya?"

Bimo mencelah.

"Nak, Indra itu seperti orang yang sedang tidur dan dibuai mimpi indah. Seperti orang koma layaknya."

Iyang menjelaskan satu persatu.

"Oh begitu," angguk Bimo tanda faham.

Wak Dimas hanya minum setengah sahaja air tehnya. Dia bingkas berdiri diikuti dengan Bimo.

"Dimas, kamu sudah mahu pulang?" Tanya Iyang.

"Ya Iyang. Saya mahu bawa isteri ke klinik. Terima kasih sebab sudi jaga Indra. Assalamualaikum."

"Hati-hati. Waalaikumussalam."

Salam disambut sebelum mereka bergerak pulang.

..........

Rumah Iyang, 11.30 malam

"Grrgrhhhhh... grrgrhhhhh..."

"Tuan, ada dengar suara aneh?"

Judha yang terpaksa berada di luar rumah kerana waktu malam fizikal Judha akan berubah menjadi jin. Jadi berat badannya sudah luar biasa.

"Aku tidak dengar apa-apa. Kenapa?"

Iyang yang baru saja mahu melelapkan mata, terkejut saat tingkap biliknya diketuk Judha.

"Tuan, saya rasa Kesuma ada dalam rumah ni."

"Judha, aku mahu lihat Indra."

Iyang Kelawu terus keluar dari biliknya.

"Baik tuan. Panggil saya kalau perlu apa-apa."

"Kesuma!"

Iyang menjerit saat dia melihat Kesuma sedang menghisap darah dari ibu jari kaki Indra.

Tubuh Indra bergerak sedikit seperti menahan sakit. Mulut Kesuma dipenuhi darah. Lahap dia menghisap darah tanpa menghiraukan Iyang.

"Baik kau lepaskan dia sebelum kau kena kurung!"

Kesuma tetap tidak mengendahkan ugutan itu. Iyang segera memberi arahan kepada Judha untuk menahan tindakan Kesuma. Judha memasukkan tangan kanannya melalui pintu rumah dan mengangkat Kesuma dengan kekuatannya. Dia meletakkan Kesuma di luar rumah. Agak longlai tubuh Kesuma dan tiba-tiba dia ketawa berdekah.

"Hahahaha... Kau ingat aku akan biarkan Indra?

Kesuma mengilai panjang.

Rupanya memang niat Kesuma untuk mengganggu mimpi Indra. Dia tidak mahu lelaki itu tahu akan kisah silamnya. Jika Indra tahu, pasti dia akan dihapuskan atau dibuang. Sayang benar Kesuma pada Mardi. Tapi bolehkah manusia bersatu dengan makhluk ghaib?

"Kalau itu sudah jadi niat kau, aku terpaksa mengurung engkau!"

Iyang sudah duduk di tempat perjampiannya.

Saat itu Iyang menutup matanya dan mahu mengurung Kesuma. Belum sempat Iyang berbuat apa-apa ritual, dengan pantasnya Kesuma masuk ke dalam badan Indra.

"Tuan! Indra bangun tuan!"

Judha meneriak apabila melihat Indra sedang duduk berlunjur.

BOJO BELING (WATTY'S WINNER 2019)Where stories live. Discover now