BAB 10

70 2 0
                                    

Buk Loma tercengang mendengar suara lelaki di belakangnya. Lidahnya terkelu tanpa sebarang bunyi. Bulu roma mulai menegak ditambah pula suhu malam yang kian menyejuk. Dia masih lagi sibuk menyelesaikan ritual menadah minyak dagu.

Dia menolehkan pandangannya ke belakang dengan berhati-hati agar minyak di dagu tidak tertumpah.

"Hah!"

Tiada sesiapa di belakangnya. Buk Loma tahu dia tidak silap dengar dan tahu itu suara lelaki.

"Aku tuanmu! Ke ke ke..."

Kali ini Mbah Pinot muncul di hadapan Buk Loma. Dia sedang berbaring di hujung kepala mayat wanita itu.

"Ahhh!"

Buk Loma terperanjat sehingga melepaskan botol dan lilin dari kedua tangannya. Ajaibnya api lilin itu sedikit pun tidak terpadam walaupun jatuh ke atas mayat.

"Si-siapa kau?"

Terketar-ketar mulut Buk Loma berbicara. Dari mencangkung dia terus jatuh terduduk. Melihat muka hodoh yang sedang merenung dirinya itu sangat menggerunkan.

Seorang lelaki yang berupa mayat hidup. Fizikalnya lebih kepada budak lelaki yang berusia 12 tahun. Kepalanya terkopak di bahagian kanan, mendedahkan lumuran darah yang penuh di bahagian muka. Matanya juling itik, bibir pula terkoyak pada kedua-dua bahagian tepi sehinggakan dia terlihat seperti sedang tersenyum. Senyuman seram! Kulit yang seakan biru lebam pucat dengan darah penuh di bahagian tengkuknya.

Menggigil seluruh badan Buk Loma sehinggakan setiap sedutan nafas berasa seperti ais! Matanya tidak lekang memandang makhluk yang mengakui dia adalah tuan. Dia mula menginjak ke belakang sedikit. Tergamam nampaknya.

Api kecil yang dihasilkan oleh lilin tadi membuat Buk Loma tersedar. Kain yang membaluti mayat di bahagian dada sedikit terbakar.

"Tidak!"

Tanpa menghiraukan makhluk itu, dia bergegas mengambil lilin itu dan memacakkan di atas tanah. Tangannya menepuk-nepuk api yang tersisa. Mujurlah, minyak dagu dalam botol hanya sedikit yang tertumpah.

Mbah Pinot mula berdiri dan Buk Loma mula mengundur ke belakang lagi.

"Aku tuanmu, Mbah Pinot. Taatilah aku wahai manusia. Segala permintaanmu akan kukabulkan. Peganglah janji ini, sekiranya engkau derhaka, nescaya nyawamu yang akan menjadi korban."

Tidak disangka, pertama kali dalam hidupnya dia perlu menyembah pada sesuatu yang mendorong ke arah syirik.

"Nyawa aku? Ini bukan janji yang aku mahukan. Aku cuma inginkan anakku dan Sari menikah!"

Tanpa membuang masa, Buk Loma berlari seperti lipas kudung untuk kembali kepada Anggit. Jantungnya berdetak sekuat mungkin. Dia perlu segera sampai ke gua sebelum terjadi sesuatu yang buruk ke atas dirinya.

"Anggit! Anggit! Tolong aku!"

Tercungap-cungap Buk Loma menarik nafasnya. Dia memberi lilin, mantera dan juga botol yang berisi minyak dagu.

Anggit hairan melihat adiknya yang seperti terkena sampuk.

"Kau kenapa?"

"Ta-tadi Mbah Pinot ada bersama aku. Katanya, jika aku tidak patuh padanya, nyawaku jadi pengganti. Bukan itu perjanjiannya Anggit! Tolong aku."

Anggit ketawa terbahak-bahak mendengar sebuah "ugutan" itu.

"Ya, memang benar itu janjinya. Kerana itulah aku pesan, sekali kamu sertai, kamulah yang akan menanggung semuanya."

"Jadi apa aku perlu buat?"

Penyesalan mula terbit dari jiwanya. Namun, semua itu sudah terlambat.

"Mbah Pinot ada di sebelah aku. Tenangkanlah diri kau Loma. Aku mahu berbicara sebentar dengan dia."

Buk Loma terkedu. Tidak tahu mahu membalas apa. Dia hanya melihat Anggit seperti menggelengkan kepalanya. Tidak tahu Mbah Pinot sedang berbisik perihal apa pada kakaknya.

"Loma, inilah tangkal yang kau kena pakai sentiasa. Dan ini juga minyak dagu yang aku sudah wangikannya dengan bunga cempaka."

Buk Loma hanya mengangguk perlahan. Kedua tangannya menerima barang itu dengan hati yang berat. Benar, fikirannya bercelaru memikirkan perintah dari Mbah Pinot sebentar tadi.

Tangkal itu disarungkan ke lehernya. Loket yang berbentuk seperti patung berdiri itu direnung tajam. Saiznya juga kecil sebesar ibu jari. Ukirannya hampir sama dengan wajah Mbah Pinot yang menyeramkan itu. Loket kayu itu berwarna hitam bercampur coklat gelap menambah lagi ketakutan dalam diri Buk Loma.

"Anggit, aku kena pakai tangkal ni ke? Jika aku buka, apa yang akan terjadi?"

Riak wajahnya sangat tidak suka akan tangkal itu. Kalau boleh, mahu saja dia melemparnya jauh dari diri sendiri.

"Tangkal empunya kau itu bererti 'rumah' bagi Mbah Pinot. Aku beri tangkal kerana lebih mudah daripada tanam atau sembunyi sesuatu di dalam tanah. Aku harap kamu terus memakainya sebelum dia cuba berbuat apa-apa yang buruk kepada diri kau, Loma."

Kali ini Buk Loma hanya mendiamkan diri. Dibeleknya minyak dagu yang sudah dia penuhkan cuma setengah dari botol akibat terkejut dengan kedatangan Mbah Pinot.

"Minyak itu pula kau hanya perlu calit pada nadi tangan atau di leher mereka berdua, Mardi dan Sari. Pandailah kamu mencari peluang ya."

Buk Loma hanya memandang tepat ke arah wajah Anggit. Mulutnya seakan terkunci; mindanya juga seperti buntu. Wajah mulus itu ditenung sedalamnya. Tidak tahu perkara apa yang sedang bermain di benak jiwanya.

Kali ini, kepalanya menunduk.

"Aku sangat-sangat menyesal".

Ayat itulah yang terpacul dari mulutnya. Perlahan. Namun masih jelas didengar oleh Anggit.

Anggit tidak menghiraukan adiknya. Sebaliknya dia terus mengemas barang-barang ritual dan bingkas bangun menuju ke pintu gua miliknya.

"Biasalah manusia, amarah menguasai sehingga lupa diri dan dendam jadi sebati. Mahu membalas dengan cara kotor, namun penyesalan berkerumun datang. Tetapi mereka lupa akan sesuatu; rakus. Hal itu akan datang saat permintaan mereka dikabulkan lalu mereka akan meminta lagi dan lagi. Dan akhirnya mereka sendiri yang semakin jauh daripada Tuhan."

Anggit mengukir senyuman sinis dan hanya bergumam sendiri. Kaki disilakan; dia mula bertafakur sambil memejam matanya. Bulan kelihatan mengambang penuh dan menerangi gua yang kelam itu.

Buk Loma yang masih melayan perasaan melirik matanya pada Anggit. Dia lekas bangun dari tempat ritual itu apabila telinganya berasa berdesing. Botol yang mengandungi minyak dagu itu disimpan kemas ke dalam beg tangannya.

"Anggit, bisakah aku pulang sekarang? Sebelum tu, aku mahu tanya, berapa pengeras yang kau mahukan?"

Dia membelek-belek wang kertas dalam beg tangannya.

Terganggu konsentrasinya; Anggit membuka mata.

"Tak usah. Aku tidak perlukan semua itu. Cukuplah aku dapat bantu kau. Sekarang pulanglah kau..."

Sebelum sempat Buk Loma bersuara, Anggit memetik jarinya dan serta-merta tubuhnya rebah di belakang Anggit.

BOJO BELING (WATTY'S WINNER 2019)Where stories live. Discover now